Tuesday, October 27, 2009
Ikon politik dan kepentingannya
2009/10/27
- ABDUL AZIZ BARI
Semalam, saya memperkatakan mengenai kerangka dua demokrasi besar dunia yakni Westminster dan sistem berpresiden. Meskipun kedua-dua sistem itu mempunyai cara yang tersendiri dalam melaksanakan konsep perasingan kuasa ada beberapa persamaan antara keduanya dan ini bertumpu kepada kedudukan dan peranan individu yang menjadi pemimpin kelompok-kelompok yang bersaing dalam sistem-sistem itu. Dalam istilah hari ini inidividu-individu itu adalah ikon kumpulan atau parti masing-masing.
Sarjana-sarjana sains politik atau sosiologi politik mungkin mempunyai perspektif mereka sendiri tetapi saya ada beberapa sisi yang saya ingin kongsikan bersama pembaca.
Pada pendapat saya apa yang berlaku dalam Pas hari ini ialah betapa Presiden yang sepatutnya menjadi ikon tidak berkesan dan ini menyebabkan kegelisahan dan senario hilang kawalan muncul dalam parti. Parti seolah-olah tidak ada Presiden dan isu-isu terpaksa ditangani oleh para pemimpin yang lebih junior seperti Naib Presiden. Ini berlaku kerana timbalan Presiden juga semacam tidak berupaya mengawal keadaan.
Ada orang Pas yang mengutuk saya kerana menuduh pemimpin-pemimpin tertentu dalam parti itu pro-UMNO. Pada saya ini bukan isu pokok dan saya pun tidak berasa ia penting. Lagipun kalau mereka benar-benar hendak masuk UMNO apa salahnya. Itu hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang dijamin Perlembagaan. Begitu juga dengan kekalahan di Bagan Pinang. Takkan sebab kalau satu pilihan raya kecil hendak pecat Presiden.
Apapun Datuk Nik Aziz Nik Mat sehingga ini nampaknya masih tegas dan konsisten dengan pendiriannya mahukan Muktamar Khas untuk mengadili kepemimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Meskipun dalam Pas telah kedengaran suara-suara menentang Nik Aziz, beliau terus tegas. Ini menunjukkan ciri kepemimpinan yang jitu yang menyebabkan beliau dilihat menjadi ikon parti itu. Nik Aziz berani mengambil sikap sebegitu kerana kecekapan dan kelicikannya: masyarakat umum nampaknya setuju dengan langkah yang beliau ambil. Mereka, khususnya yang bukan Melayu dan bukan Islam, resah dengan kepemimpinan Pas yang ada yang dilihat lesu dan tidak bermaya, yang antaranya terserlah dengan tindakan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali di Selangor. Ini menggoncang kerajaan Pakatan Rakyat yang memang sedia digodam Barisan Nasional (BN) melalui pelbagai cara.
Terbaru dibangkitkan kemungkinan pendakwaan beberapa Ahli Parlimen Pakatan yang terlibat dengan beberapa kesalahan seperti perhimpunan tanpa permit. Minggu lalu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua disabitkan kerana menggigit anggota polis yang cuba menahan beliau dalam satu perhimpunan.
Keadaan yang semakin gawat bagi Pakatan itu memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan ahli Pakatan; bermula dengan ahli parti masing-masing. Dalam Pas hanya Nik Aziz yang boleh memainkan peranan itu.
Ahli politik yang karismatik dan berkaliber mampu mewarnakan suasana dan ini tidak hanya terbatas di dalam parti atau kelompoknya sendiri. Ahli politik yang istimewa ini malah boleh mempengaruhi permainan dalam sistem itu.
Kalau dalam permainan bola ahli-ahli politik itu umpama Pele, George Best atau Maradona. Skil dan kemampuan mereka mempengaruhi corak dan rentak permainan. Pemain lawan akan mula bermain kasar kerana mereka tidak mempunyai kelicikan yang dimiliki oleh pemain-pemain luarbiasa itu.
Itulah yang sebenarnya dimainkan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nik Aziz Nik Mat atau Lim Kit Siang.
Buat masa ini pemimpin UMNO tidak ada yang boleh disamakan dengan mereka. Bahkan apa yang kelihatan sekarang ialah mereka terpengaruh dengan rentak yang dimainkan Anwar.
Umpamanya, mereka cuba meniru cara Anwar berpidato. Lihat sajalah cara Datuk Seri Najib bercakap selepas menjadi Perdana Menteri. Begitu juga dengan ungkapan dan istilah yang pemimpin UMNO gunakan. Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin Yasin begitu banyak menggunakan istilah Arab yang dimulakan Anwar. Antaranya termasuklah 'wahdatul fikr' atau kesatuan fikiran. Istilah ini dibawa ke Malaysia oleh Anwar sewaktu beliau menjadi Presiden Abim pada 1977, setahun selepas beliau dibebaskan dari tahanan ISA buat kali pertamanya.
Muhyiddin juga berkali-kali menyerang Anwar, termasuk menggelarnya pengkhianat Melayu. Dalam perhimpunan Pemuda UMNO, baru-baru ini, Khairy Jamaluddin juga menyerang Anwar. Pemimpin BN juga menyerang Anwar pada kempen Pilihan Raya Umum 2008 lalu. Kita tahu bahawa pendekatan itu makan tuan dan menyebabkan BN mengalami kekalahan di Semenanjung: mereka hanya dapat 48 peratus undi popular.
Dalam keadaan seperti itu sepatutnya pemain lain sepatutnya mencari jalan untuk menjaringkan gol. Bukan bermain mengikut selera sendiri seperti Hasan Ali dan cuba menjaringkan gol sendiri! Atau menggagalkan usaha membentuk Kerajaan Persekutuan yang Anwar usahakan tahun lalu.
Saya sendiri berpendapat itu perlu kerana jika tidak Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan akan teruk dikerjakan BN. Saya diberitahu ada pemimpin Pas tertentu yang kononya iri hati dengan Anwar menyanyikan lagu yang berbeza ketika Anwar sibuk menyusun strategi 16 September. Orang ini tidak akan masuk UMNO. UMNO pun saya fikir tak minat dengan mereka. Tapi kerja sabotaj itu mengelirukan ahli. UMNO pasti seronok.
Negara kita, negara Persekutuan tapi BN tak peduli. Mereka langgar perlembagaan dan undang-undang. Itu semua boleh berlaku kerana mahkamah kita tidak macam mahkamah Amerika Syarikat atau United Kingdom. Sebab itulah hari ini rakyat biasa – yang tak pernah belajar undang-undang pun tahu – yang mahkamah tidak semestinya mengikut undang-undang. Macam kes melibatkan speaker di Perak.
Bila ia melibatkan speaker Pakatan diputuskan yang mahkamah boleh campur. Maka terlepaslah Datuk Seri Dr Zambry Kadir. Tetapi yang lucunya bila ia melibatkan Speaker BN lain pula jadinya: mahkamah tak boleh campur!
Dalam keadaan seperti itu yang untung ialah Najib. Walaupun karismanya tak sehebat Anwar, sistem yang ada berada di dalam tangannya.
Dalam keadaan itu Najib boleh merubah dan membawa lari tiang gol! Nik Aziz tahu dan faham kepayahan ini. Saya tak Pasti dengan Abdul Hadi. Apa pun orang-orangnya dalam Pas pernah mencadangkan namanya sebagai Perdana Menteri, bukan Anwar.
- Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment