Saturday, April 5, 2014

GST jalan mudah selesai masalah – Rafizi

Rafizi Di Bota Kanan Suatu Ketika Dahulu
(Oleh: Azuan Ab Rahman)
KUALA LUMPUR 3 APRIL: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata tindakan Pakatan Rakyat menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah demi kepentingan rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau ketika perbahasan bacaan Kali ke 2 Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 menjelaskan bahawa pelaksanaan cukai tersebut adalah tidak adil kerana ia mengalihkan bebanan cukai kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah.
Beliau menegaskan walau apa juga alasan yang diberikan kerajaan bagi melaksanakan cukai tersebut, kerajaan sebenarnya melaksanakannya kerana masalah defisit yang sedang dihadapi oleh negara.

“Kita kembali kepada asas, sebenarnya alasan kerajaan mahu laksana GST ialah berkaitan dengan masalah defisit yang dihadapi negara, bukan kerana sistem percukaian ini lebih efisyen atau kerana sebab lain.

“Kerajaan telah berbelanja lebih sehingga akhirnya negara terpaksa menanggung hutang yang berpanjangan, di mana akhirnya rakyat dikenakan cukai GST untuk mengatasi masalah itu,” jelas Rafizi.

Malah Rafizi menegaskan  kerajaan sebenarnya mempunyai 2 pilihan bagi mengatasi masalah defisit yang sedang ditanggung negara namun bertindak memilih jalan mudah yang tidak popular.

“Kerajaan ada pilihan samada mengurangkan keborosan dan ketirisan seperti yang didesak oleh pakatan rakyat, tetapi mereka ambil satu lagi jalan penyelesaian mudah dengan terus boros dan mengalihkan beban tersebut untuk ditanggung rakyat dengan mengenakan cukai GST,” tegas Rafizi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=60475

Linkwithin