Wednesday, June 20, 2012

Terkini!! Video Penuh Rakaman: Debat Demonstrasi Jalanan: Meruntuh atau Mengukuhkan Demokrasi: Datuk Saifuddin Abdullah Vs Salahuddin Ayub

Had Pengeluaran KWSP Swasta Dilanjut Ke Umur 60 Tahun untuk Kepentingan Kroni?

50 tahun kekal
Oleh Syed Azwan Syed Ali

Dari Berita Hairan-2012/06/15
Pelarasan hanya babit pengeluaran penuh usia 60 sejajar pelaksanaan Undang-Undang Umur Persaraan Minimum

KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih boleh mengeluarkan wang daripada Akaun Dua ketika mencapai umur 50 tahun walaupun umur persaraan minimum pekerja swasta ditingkatkan kepada 60 tahun mulai tahun depan.

Pada masa sama pengeluaran penuh hanya boleh dibuat selepas mencapai umur persaraan 60 tahun, berbanding 55 tahun sekarang.
Peraturan itu selaras dengan penetapan umur persaraan minimum kakitangan swasta menerusi Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen kelmarin dan berkuat kuasa mulai Januari 2013.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, bagaimanapun berkata pihaknya memberi tempoh peralihan kepada 13 juta pencarumnya merancang kewangan persaraan mereka ketika menyelaras had umur pengeluaran 55 tahun kepada 60 tahun.

Kita akan mengambil kira semua maklum balas, namun memandangkan objektif umur pengeluaran 55 tahun bagi membiayai per-saraan, KWSP perlu menyelaraskannya dengan umur persaraan minimum berkenaan.

Dalam menguatkuasakan sebarang perubahan dalam umur pengeluaran, notis diberikan lebih awal bagi membolehkan pencarum merancang dan menyesuaikan persaraan mereka sewajarnya, katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata penetapan umur persaraan minimum itu memerlukan pindaan dan penyelarasan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Katanya, penetapan umur persaraan minimum 60 tahun akan membabitkan lebih 10 juta pekerja swasta yang sebelum ini tidak ada umur persaraan minimum.

Peningkatan umur persaraan minimum akan meningkatkan jaringan keselamatan sosial pekerja swasta yang bergantung kepada KWSP untuk faedah persaraan dan PERKESO. Caruman mereka bertambah lima tahun dengan simpanan lebih banyak. Kebajikan ketika persaraan lebih terjaga, katanya.

Maznah berkata, penetapan umur persaraan minimum itu juga sejajar dengan perubahan jangka hayat rakyat Malaysia yang meningkat kepada 72 tahun bagi lelaki dan 77 tahun bagi perempuan.

Secara purata, jangka hayat penduduk Malaysia adalah 74 tahun dan angka ini jauh lebih tinggi daripada purata jangka hayat sebelum ini, katanya.

Msinc TBO-Musti ada sebab kenapa ianya dilanjutkan..cuba fikir..sapa yang mengaut keuntungan dari langkah ini??..yang jadi mangsa kita..kin lama kin susah..nak pakai duit sendiri pun macam minta sedekah...ooohh Tuhan...

Khalid Samad Membongkar Rahsia Hassan Ali Di Bawah Bungor 3 Final Episode



PEMECATAN HASSAN ALI
Bacaan saya berhubung Hassan Ali, persoalan yang paling utama baginya adalah untuk menjadi MB Selangor. Persoalan ini sering beliau sebutkan walaupun sudah bertahun-tahun selepas perlantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai MB Selangor.
Apabila beliau tidak lagi menjadi Pesuruh Jaya, beliau menganggap bahawa peluang beliau untuk menjadi MB melalui PAS sudah lenyap dengan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila tidak menjadi calon di kerusi yang sekuat Gombak Setia. Mungkin beliau menganggap beliau akan diletakkan di kerusi yang sukar untuk dimenangi kerana beliau bukan lagi pimpinan di Negeri Selangor.
Dengan dibekal sangkaan buruk sebegini, Hassan Ali memikirkan cara terbaik untuk beliau melepaskan diri dari berada bersama PAS tetapi dengan cara ‘terhormat’. Tiada cara lain melainkan dengan menyatakan bahawa PAS sudah tersasar dari matlamat asalnya. Ini bermakna bukan beliau yang terpesong tetapi sebaliknya PAS. Bukan beliau yang salah tetapi PAS.
Beliau terus melemparkan tuduhan bahawa PAS telah tersasar dari landasannya berkali-kali melalui media perdana dan walaupun dinasihati untuk berhenti oleh pimpinan tertinggi, beliau terus melakukannya. Oleh itu, tidaklah hairanlah apabila beliau dipecat. Beliau bukan sekadar melanggar amaran keras yang pernah diberi kepada beliau sebelum ini, beliau melampauinya.
Apabila dipecat, pada mulanya Hassan Ali mengatakan beliau tidak kisah. Selepas itu beliau kata mungkin beliau akan merayu. Selepas itu dikatakan tidak akan merayu. Begitu juga dengan pemecatan beliau sebagai exco. Pada mulanya dikatakan tidak mengapa. Kemudian ditulis surat kepada MB menyatakan tempoh rayuan belum habis. Selepas itu dikatakan tiada yang mampu melainkan dirinya. Akhirnya berkata tidak mengapa juga.
KENAPA SAYA YANG DISASARKAN
Dalam kemelut yang terhasil, Hassan Ali melihat saya sebagai punca kejatuhannya. Oleh itu saya disasarkan beliau. Dalam serangan beliau terhadap diri saya, Hassan Ali tidak kisah samada apa yang dikatakan adalah benar atau sebaliknya. Namanya roadshow untuk mempertahankan aqeedah tetapi saya dan pimpinan PAS menjadi sasaran. Mungkin beliau tidak tahu maksud perkataan ‘aqeedah’ itu dan dianggap apa sahaja yang keluar dari mulutnya adalah aqeedah. Itu saya tidak pasti.
Yang pasti beliau telah menunjukkan akhlak yang paling tercela dengan membuat tuduhan dan fitnah terhadap diri saya bahawa saya di antara yang merosakkan aqeedah ummat Islam. Dituduhnya juga saya sebagai orang yang menghalang pengharaman jualan arak, penutupan kedai judi dan rumah urut (pelacur) di Shah Alam. Amat jelas bagi saya Hassan Ali sudah gila talaq.
Bagaimanakah boleh saya menghalangnya? Kuasa apa yang ada pada saya? Saya PJ atau dia? Saya exco atau dia? Kalau benar saya ada kuasa untuk menghalang, kenapa tidak saya menghalang diri saya dari didakwa JAIS atas tuduhan mengajar tanpa tauliah?
Dalam soal pengharaman penjualan arak di kawasan ummat Islam dominan seperti di kawasan Shah Alam asal, ianya telahpun dilaksanakan tanpa kekecohan, dengan persetujuan pihak peniaga. Sebenarnya yang merampasnya dulu pun adalah pihak penguat-kuasa MBSA, bukan JAIS. MBSA bukan dibawah Hassan Ali tetapi beliau tumpang sekaki untuk dijadikannya isu.
Pada masa itu semua Ahli Majlis, termasuk yang dari DAP, telah bersetuju supaya penjualan minuman keras akan diharamkan di kawasan tersebut. Mereka hanya menunggu untuk menguatkuasakannya apabila lesen diperbaharui. Rancangannya ialah supaya disebut secara khusus larangan berkenaan dalam lesen baru. Tidak sempat lesen mati, pihak penguat-kuasa bertindak tanpa arahan dari pihak MBSA. Hanya atas arahan seorang ahli Majlis lama.
Hakikatnya kita berbeza dari segi pendekatan. Hassan Ali suka gunakan kuasanya dan suka memaksa sedangkan saya lebih cenderung kepada kaedah dakwah dan mendidik. Terhadap yang Islam dan yang bukan Islam.
KESIMPULAN
Melalui tulisan ringkas ini saya ingin memberitahu semua bahawa Hassan Ali sudah gila talaq. Maka jangan percaya apa yang dinyatakan beliau. Beliau sanggup berbohong dan memutar-belit semua perkara. Lagi beliau cakap lagi jelas kegilaannya.
Hadis Rasulullah (SAW);
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
“Terdapat pada orang beriman semua jenis kekurangan, kecuali khianat dan berdusta” (Dari Ahmad, Baihaqi dari Saad Bin Abi Waqas).
Hadis ini diketengahkan bukan untuk menafikan keimanan mana-mana pihak. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan betapa kejinya sifat khianat dan berdusta.
WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Tuesday, June 19, 2012

11 ketua kampung menjadi Pembodek Umno di Parlimen Parit



, 10 NGO di Seremban buat laporan polis

Utusan Pencacai yang meloyakan melapor...PARIT 11 Jun - Seramai 11 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Parlimen Parit membuat laporan polis bagi mendesak siasatan dijalankan berhubung dakwaan akaun individu bernilai RM3 bilion yang dikawal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

JKKK terlibat ialah dari Kampung Selat, Kampung Lengkuas, Kampung Tepus, Kampung Titi Gantung, Kampung Baru Bota Kanan, Kampung Teluk Kepayang, Kampung Kuchai, Kampung Bakong, Kampung Pulau, Kampung Dusun dan Kampung Senin.

Mereka yang disertai kira-kira 70 ahli jawatankuasa JKKK masing-masing membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Bandar Seri Iskandar di sini pada pukul 4 petang.

Pemimpin JKKK terlibat turut membawa sepanduk yang antaranya tertulis 'Mana lepasnya duit rakyat', 'LHDN kenapa diam' dan 'SPRM harus siasat'.

Turut serta membuat laporan polis berhubung isu sama ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Daerah Perak Tengah.

Menurut Pengerusi Persatuan Ketua-ketua Kampung Parlimen Parit, Mior Hanafi Hashim, 54, mereka mahu pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu tersebut.

"Pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini kerana rakyat berhak tahu dari mana wang itu diperoleh dan ke mana ia pergi kerana RM3 bilion merupakan satu jumlah yang sangat besar," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan IPD Perak Tengah di sini hari ini.

Tok Sidang pun turut digunakan oleh Umno..cuba anda perati gambar..siapa yang anda kenai?patut siasat diri sendiri dulu..berapa banyak dah makan..ye lah deme nak jaga periuk nasi kena lah bodek sikit..tok tok sidang ni tanah sawit pun banyak dapat..melancung ,projek plb,nebas dan racun ban,repair surau dsb semua deme dapat,elaun dah naik...boleh gi Mekah free..patut lah bersungguh sungguh betol bodeknye...tu pasal semua berebut rebut nak jadi tok sidang..bila tak dapat mula lah merajuk..lompat parti..tapi bila dah disuap..lompat balik...ohhh dunieee..

Khalid Samad Membongkar Rahsia Hassan Ali Part 2

Khalid Samad Membongkar Rahsia Hassan Ali – Bahagian Ke 2
Saya mengesyorkan pula suatu jalan lain iaitu PAS meminjam 5 Adun BN untuk menguatkan kuasa melayu dan dalam keadaan darurat.Cadangan saya di tolak oleh Pak Lah kerana perkara ini tidak pernah terjadi dalam sejarah politik Malaysia.Pada saya penolakkan ini bermakna hasrat Umno itu hendak bergabung bukanlah untuk melindungi Melayu dari diinaya atau dizalimi tetapi adalah lebih terjurus kepada keinginan Umno mengekalkan kuasa untuk terus memerintah Selangor. Kami berjaya mengagalkan usaha kerjasama bersama UMNO dan dengan itu cita-cita Hassan Ali untuk menjadi MB hancur berkecai.Rundingan tersebut gagal.
Ada pun kerjasama Umno dan Pas ini tidak boleh dilaksanakan kerana Umno tidak bermatlamatkan Islam.Pendirian,langkah,tindakan,aktiviti dan dasar Umno terbukti tidak mendukung cita-cita perlaksanaan Islam yang menyeruruh.Budaya dalaman Umno dan semua pendekatan partai itu nyata membelakangkan akhlak dan hukum Islam.Ianya juga prejudis terhadap kemampuan Islam sebagai suatu sistem hidup yang lengkap.Umno juga turut memusuhi dan membenci cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh kumpulan umat Islam di negara ini,khususnya perjuangan Pas.
Bermula dari saat itu saya merasakan hubungan kami sudah mula berubah dan Hassan Ali mula membawa agenda tersendiri.
MELAGA PAS DENGAN DAP & PKR
Selepas Menteri Besar dilantik dan isu itu saya anggap telah selesai, saya melihat Hassan Ali berusaha untuk menimbulkan ketidak-stabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor. Beliau berusaha untuk mencari peluang untuk menunjukkan perbezaan di antara PAS dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran di antara parti komponen PR. Saya beranggapan niatnya adalah untuk membuktikan kerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang mustahil.
Saya sering menegurnya dan meminta supaya ditumpukan pada persamaan yang banyak di dalam PR. Saya ingatkan beliau akan keputusan muktamar PAS yang diadakan di Ipoh supaya PR dikukuhkan. Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu.
SAYA DIPECAT SEBAGAI TPJ
Akhirnya, oleh kerana saya sering menegurnya, saya dipecat dari jawatan Timbalan Pesuruh Jaya 2 PAS Selangor pada pertengahan tahun 2008. YB Iskandar dinaikkan pangkat menjadi TPJ 2 dari TPJ 3 dan YB Dr Che Rosli dilantik menjadi TPJ 3. Itu semua saya tidak hairan, itu hak Hassan Ali sebagai PJ. Oleh itu saya tidak menjadikan pemecatan saya sebagai satu isu sepertinya sekarang. Tetapi saya telah sempat berpesan sambil saya keluar mesyuarat setelah dipecat, “ingat keputusan muktamar adalah untuk kukuhkan PR, bukan merosakkannya”.
Walaupun saya bukan lagi TPJ 2, saya tetap YDP PAS Kawasan Shah Alam. Saya tetap merupakan ahli mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Oleh itu saya hadir di mesyuarat Negeri dan setiap kali Hassan Ali menimbulkan isu melalui media untuk melaga-lagakan PAS dengan parti komponen PR yang lain, saya membantah dalam mesyuarat tersebut dan juga melalui media. Ini saya lakukan kerana saya sudah dapat membaca agenda dirinya. Pada masa yang sama, hubungan beliau dengan OKU (UMNO) semakin kukuh, termasuklah dengan Tan Sri Rozali Puncak Niaga (SYABAS).
TUDUHAN GOLONGAN ERDOGAN
Kumpulan yang menyokong beliau mula mempopularkan istilah ‘golongan Erdogan’. Istilah ini digunakan terhadap diri saya dan beberapa pimpinan Negeri dan Pusat yang lain dan kami dituduh tidak wala’ pada pimpinan dan terlalu kuat menyokong DSAI. Oleh itu, penggunaan istilah yang bertujuan untuk menghina dan menjadikan orang prejudis terhadap saya bukan perkara baru. Dulu Erdogan dan sekarang parasit. Penggunaan nama untuk tujuan menghina merupakan senjata kegemaran golongan seperti ini rupanya.Namun dapat dilihat kepincangan beliau yang mahu akan kepimpinan ulama,beliau menubuhkan JATI dan melantik diri nya yang bukan ulama itu sebagai pemimpin.Hassan Ali adalah lulusan PHD Perancang Bandar Dan Wilayah bukan nya lulusan ugama.
SAYA DAN HASSAN ALI DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN
Akhirnya perbalahan kami dirujuk kepada PAS Pusat pada tahun 2009. Saya digantung semua jawatan parti selama 6 bulan. Hassan Ali didapati bersalah dan diberi amaran keras supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar kerajaan PR melalui media massa. Kalau ada yang tidak dipersetujui, maka hendaklah dibawa berbincang bukan diheboh melalui media.
Berbeza dengan saya, hukumannya tiada tempoh masa. Ianya berkuat-kuasa selagimana PAS bersama PR.
SOKONGAN HASSAN MERUDUM
Walaupun saya yang dikenakan tindakan yang lebih keras oleh jawatan kuasa disiplin, ahli PAS melihat dan menilai apa yang sedang berlaku. Ramai beranggapan bahawa tindakan Hassan Ali menjejas kestabilan PR dan menguntungkan pihak lawan. Maka pada tahun 2011, semasa pemilihan AJK PAS Pusat dijalankan, sokongan Hassan Ali di kalangan ahli PAS terbukti merudum.
Pada 2009 Hassan Ali mendapat undi yang ke-empat tertinggi semasa pemilihan AJK PAS Pusat. Pada 2011, beliau mendapat undi yang ke 16 tertinggi.
Dalam kes saya pula adalah sebaliknya. Pada 2009 saya tidak terpilih apabila menduduki tempat ke 23 tertinggi sedangkan hanya 18 yang tertinggi akan dipilih. Pada tahun 2011, saya mendapat undi ke 8 tertinggi.
Peribahasa menyatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Inilah apa yang berlaku ke atas diri Hassan Ali pada tahun 2011. Setelah melihat popularitinya jatuh sedemikian rupa, beliau tidak pula dilantik untuk menjawat jawatan PJ Selangor oleh DS Presiden. Pemilihan PJ dilakukan semasa mesyuarat pertama selepas muktamar diadakan. Dalam mesyuarat itu Hassan Ali hadir dan selepas pemilihan dimuktamadkan, beliau terus keluar.
Sokongan beliau terjejas bukan sekadar di kalangan ahli, tetapi jelas, ianya juga terjejas di kalangan pimpinan.
Untuk melengkapkan kekecewaan beliau, pada penghujung tahun 2011, semasa senarai nama dikemukakan oleh cawangan untuk diturunkan sebagai calon dalam PRU ke 13, nama beliau tidak dinaikkan untuk DUN Gombak Setia kerana selalu tidak datang mesyuarat dan aktiviti yang diadakan.Cuma 2 cawangan sahaja yang mencalonkan beliau.. Walaupun telah dinyatakan bahawa keputusan belum muktamad dan sekiranya Gombak Setia tidak mahu, maka tempat lain bersedia, Hassan Ali tidak peduli.
Pada ketika itu, mungkin Hassan Ali melihat bahawa masa depannya bersama PAS tidak secerah dahulu. Oleh itu beliau terpaksa menyusun ‘exit strategy’ atau ‘strategi untuk keluar PAS’. Inilah apa yang dapat saya rumuskan berhubung tindakan beliau semenjak peristiwa mutakhir tahun 2011 yang saya ceritakan di atas.
Sambungan bahagian 3..Pemecatan Hassan Ali

Oleh Khalid Samad
Akan bersambung dibahagian ke 3

Monday, June 18, 2012

Khalid Samad Membongkar Rahsia Hassan Ali Di Bawah Bungor Kg Gajah.



Bertempat di Kg Bawah Bungor Kg Gajah,semalam 16 hb Jun 2012 telah berlangsung ceramah umum anjuran PAS Kg Gajah.Antara penceramah yang di undang ialah YB Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam.Dalam Ucapannya YB Khalid mengimbau kembali tentang peristiwa pemecatan Exco Negeri Selangor Dato Hassan Ali.Pada beliau, Dato Hassan Ali dianggap sudah meroyan dan meraban kerana hajat beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor tidak kesampaian.Ikuti cerita beliau selanjutnya.
Saya dan Hassan Ali bukan baru berkenalan. Sebenarnya saya diantara yang paling gembira dengan kemasukan beliau dalam PAS pada tahun 1998. Sebagai orang yang menyertai PAS lebih awal dari beliau, iaitu pada tahun 1983, saya telah sambut kemasukan beliau dan membantu beliau setakat mana yang saya mampu. Sebagai seorang ‘baru’ dalam PAS, penerimaan beliau oleh orang ‘lama’ seperti saya pasti memudahkan pergerakan beliau di kalangan ahli lama yang lain.
Saya sering berceramah bersama beliau dan pada tahun 2003, apabila beliau dilantik Pesuruh Jaya PAS Selangor buat kali pertamanya, saya dilantik beliau sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor. Hubungan dan kerjasama kita menjadi semakin rapat dan pada tahun 2005, apabila beliau dilantik kembali sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi kedua, saya diminta untuk mengambil alih jawatan Bendahari yang dikosongkan oleh Tuan Haji Nasir. Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi ketiga, saya dilantiknya sebagai Timbalan Pesuruh Jaya 2.
Pada ketika itu saya tidak dianggap beliau sebagai parasit tetapi sebaliknya sebagai orang kanan beliau.
DUGAAN JAWATAN MB SELANGOR
Pada 8 Mac 2008 hubungan saya dan Hassan Ali mula berubah. Perubahan bermula apabila setelah PAS menang 8 kerusi,PKR 15 dan DAP 13.saya menolak usaha kerjasama dengan UMNO yang dikemukakan. Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hassan Ali akan dilantik sebagai Menteri Besar dan itu adalah apa yang ditawarkan oleh UMNO.Pada Umno ,kerjasama dengan Pas terpaksa dilakukan kerana Melayu sudah menjadi minoriti dalam DUN Selangor.Umno beranggapan keadaan begini menyebabkan melayu di Selangor akan diinaya dan dizalimi.
Pada masa itu Pakatan Rakyat belum wujud lagi.Cuma yang ada Barisan Alternatif yang membuat perjanjian antara ketiga tiga parti agar tidak bertanding sesama sendiri dalam PRU 12.
Ketika usaha kerjasama dengan UMNO dijalankan, Hassan Ali pernah bertanya pada saya, “siapa patut menjadi MB Selangor?” Saya jawab sambil memandang terus ke muka beliau, “Tan Sri Abdul Khalid”. Beliau terdiam, perasaan kecewa jelas kelihatan terbayang di mukanya. Mungkin beliau merasakan saya mengkhianati dirinya. Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanannya memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi MB. Mungkin bagi dirinya, itulah peranan seorang kanan. Saya tidak tahu, mungkin itulah yang difikirkannya. Beliau diam dan terus berpaling.Pada saya PKR wajar dilantik menjadi Menteri Besar kerana mereka memenangi kerusi paling banyak di Selangor.Mesti ada tolak ansur kerana PAS telah menjadi MB di Kelantan,Kedah dan Perak manakala DAP di Pulau Pinang.Sekiranya di Selangor pun PAS inginkan jawatan Menteri Besar,ini akan tidak menunjukkan semangat setiakawan didalam suatu pakatan.
Pasti ada yang masih ingat bagaimana saya telah menggantinya dalam pertemuan dengan Pak Lah dan Khir Toyo. Khir Toyo pada masa itu kelihatan tidak bermaya dan seperti tidak tahu nak buat apa akibat kehilangan kuasa.Dalam keadaan tidak keruan tersebut,Khir Toyo sampai dua kali menuangkan air kopi saya. Pak Lah mengesorkan agar 8 ADUN Pas menyertai BN untuk mendapatkan majority Melayu dalam Dewan Undangan Negeri.
Ikuti sambungan cerita Khalid Samad di bahagian ke 2 daripada 3 bahagian.

Linkwithin