Wednesday, June 20, 2012

Khalid Samad Membongkar Rahsia Hassan Ali Di Bawah Bungor 3 Final Episode



PEMECATAN HASSAN ALI
Bacaan saya berhubung Hassan Ali, persoalan yang paling utama baginya adalah untuk menjadi MB Selangor. Persoalan ini sering beliau sebutkan walaupun sudah bertahun-tahun selepas perlantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai MB Selangor.
Apabila beliau tidak lagi menjadi Pesuruh Jaya, beliau menganggap bahawa peluang beliau untuk menjadi MB melalui PAS sudah lenyap dengan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila tidak menjadi calon di kerusi yang sekuat Gombak Setia. Mungkin beliau menganggap beliau akan diletakkan di kerusi yang sukar untuk dimenangi kerana beliau bukan lagi pimpinan di Negeri Selangor.
Dengan dibekal sangkaan buruk sebegini, Hassan Ali memikirkan cara terbaik untuk beliau melepaskan diri dari berada bersama PAS tetapi dengan cara ‘terhormat’. Tiada cara lain melainkan dengan menyatakan bahawa PAS sudah tersasar dari matlamat asalnya. Ini bermakna bukan beliau yang terpesong tetapi sebaliknya PAS. Bukan beliau yang salah tetapi PAS.
Beliau terus melemparkan tuduhan bahawa PAS telah tersasar dari landasannya berkali-kali melalui media perdana dan walaupun dinasihati untuk berhenti oleh pimpinan tertinggi, beliau terus melakukannya. Oleh itu, tidaklah hairanlah apabila beliau dipecat. Beliau bukan sekadar melanggar amaran keras yang pernah diberi kepada beliau sebelum ini, beliau melampauinya.
Apabila dipecat, pada mulanya Hassan Ali mengatakan beliau tidak kisah. Selepas itu beliau kata mungkin beliau akan merayu. Selepas itu dikatakan tidak akan merayu. Begitu juga dengan pemecatan beliau sebagai exco. Pada mulanya dikatakan tidak mengapa. Kemudian ditulis surat kepada MB menyatakan tempoh rayuan belum habis. Selepas itu dikatakan tiada yang mampu melainkan dirinya. Akhirnya berkata tidak mengapa juga.
KENAPA SAYA YANG DISASARKAN
Dalam kemelut yang terhasil, Hassan Ali melihat saya sebagai punca kejatuhannya. Oleh itu saya disasarkan beliau. Dalam serangan beliau terhadap diri saya, Hassan Ali tidak kisah samada apa yang dikatakan adalah benar atau sebaliknya. Namanya roadshow untuk mempertahankan aqeedah tetapi saya dan pimpinan PAS menjadi sasaran. Mungkin beliau tidak tahu maksud perkataan ‘aqeedah’ itu dan dianggap apa sahaja yang keluar dari mulutnya adalah aqeedah. Itu saya tidak pasti.
Yang pasti beliau telah menunjukkan akhlak yang paling tercela dengan membuat tuduhan dan fitnah terhadap diri saya bahawa saya di antara yang merosakkan aqeedah ummat Islam. Dituduhnya juga saya sebagai orang yang menghalang pengharaman jualan arak, penutupan kedai judi dan rumah urut (pelacur) di Shah Alam. Amat jelas bagi saya Hassan Ali sudah gila talaq.
Bagaimanakah boleh saya menghalangnya? Kuasa apa yang ada pada saya? Saya PJ atau dia? Saya exco atau dia? Kalau benar saya ada kuasa untuk menghalang, kenapa tidak saya menghalang diri saya dari didakwa JAIS atas tuduhan mengajar tanpa tauliah?
Dalam soal pengharaman penjualan arak di kawasan ummat Islam dominan seperti di kawasan Shah Alam asal, ianya telahpun dilaksanakan tanpa kekecohan, dengan persetujuan pihak peniaga. Sebenarnya yang merampasnya dulu pun adalah pihak penguat-kuasa MBSA, bukan JAIS. MBSA bukan dibawah Hassan Ali tetapi beliau tumpang sekaki untuk dijadikannya isu.
Pada masa itu semua Ahli Majlis, termasuk yang dari DAP, telah bersetuju supaya penjualan minuman keras akan diharamkan di kawasan tersebut. Mereka hanya menunggu untuk menguatkuasakannya apabila lesen diperbaharui. Rancangannya ialah supaya disebut secara khusus larangan berkenaan dalam lesen baru. Tidak sempat lesen mati, pihak penguat-kuasa bertindak tanpa arahan dari pihak MBSA. Hanya atas arahan seorang ahli Majlis lama.
Hakikatnya kita berbeza dari segi pendekatan. Hassan Ali suka gunakan kuasanya dan suka memaksa sedangkan saya lebih cenderung kepada kaedah dakwah dan mendidik. Terhadap yang Islam dan yang bukan Islam.
KESIMPULAN
Melalui tulisan ringkas ini saya ingin memberitahu semua bahawa Hassan Ali sudah gila talaq. Maka jangan percaya apa yang dinyatakan beliau. Beliau sanggup berbohong dan memutar-belit semua perkara. Lagi beliau cakap lagi jelas kegilaannya.
Hadis Rasulullah (SAW);
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
“Terdapat pada orang beriman semua jenis kekurangan, kecuali khianat dan berdusta” (Dari Ahmad, Baihaqi dari Saad Bin Abi Waqas).
Hadis ini diketengahkan bukan untuk menafikan keimanan mana-mana pihak. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan betapa kejinya sifat khianat dan berdusta.
WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

1 comment:

Anonymous said...

Ikut suke kome ler...selagi kome bahagia..bila oghang lain buat ade aje daleh kome tapi bila kome buat ade juge daleh kome...kate tak buat...ate mun udah itu koje menkome..

Linkwithin