Wednesday, October 22, 2008

AKU BUKAN AHLI POLITIK, TETAPI.....



Setelah pulang dari menghadiri rumah terbuka PAS di Shah Alam dan PKR di Kelab Sultan Sulaiman, aku dihujani dengan sebilangan SMS yang membanjiri dalam inbox Handphoneku. Aku merasakan, kehadiran SMS ini adalah bersebab kehadiranku ke majlis rumah terbuka PAS itu bersama dengan seorang pemuda PKR diperingkat kawasan.

Ada satu SMS bertanya bahawa benarkah aku kini telah bertukar parti dari PAS kepada PKR. SMS itu beralasan bahawa aku agak kurang mahu berkawan dengan budak-budak PAS, tetapi lebih suka berkawan dengan budak-budak PKR.

Aku meyakini, SMS itu datang dari budak-budak PAS dari Parlimen Subang, yang melihat pergerakanku kebelakangan ini yang agak kurang bersama dengan mereka.

SMS sebegini mengingatkanku dikala belajar di Universiti Al-Azhar dahulu. Ketika itu, aku telah dimaklumkan oleh seorang mahasiswa Al-Azhar dari negeri terengganu bahawa ada seorang pimpinan PMRAM ketika itu menuduh aku berkeahlian UMNO. Alasan yang diberi adalah, aku lebih berkawan dengan budak-budak dari kelab UMNO, berbanding budak-budak PMRAM yang kononnya dari PAS.

Mendengar tuduhan itu, aku agak berang. Padaku, menuduh aku UMNO seperti menuduhku menjadi kafir. Aku berkeahliah PAS semenjak tahun 2001, walaupun didaftar lebih awal dari itu dan aku tidak pernah mendaftarkan diri sebagai ahli UMNO. Aku adalah anak muda yang amat benci dan jijik dengan UMNO, tiba-tiba ada sebilangan pemimpin PMRAM ketika itu yang melakukan tuduhan liar bahawa aku sebagai UMNO menyebabkan aku agak tidak selesa dengan tuduhan jahat itu.

Yang peliknya, selepas pulang dari menuntut di Universiti Al-Azhar, aku terus melibatkan diri dalam perjuangan Islam ini, bermula dari peringkat Cawangan sehingga keperingkat negeri. Tetapi, dapati yang menuduh itu tidak terlibat pun dalam PAS. Bahkan didapati bekerja sebagai guru di salah sebuah sekolah kerajaan, dan apabila dijemput untuk hadir program-program Parti, dikemukakan berbagai-bagai alasan yang menjijikkan untuk didengari.

Aku tidak nafikan, semasa menuntut di Al-Azhar, aku lebih suka berkawan dengan budak-budak dari Kelab UMNO, tetapi adakah mereka berfikir bahawa kini budak-budak itu sudah menjadi ahli PAS????

Mereka hanya pandai menuduh dengan disaluti sentimen PAS yang membeku jumud dalam pemikiran mereka, tetapi tidak pernah berminda untuk menyeru manusia kepada Islam yang diwadahkan PAS di Malaysia.

Keadaan yang sama juga berlaku pada diriku kini. Apabila aku lebih suka berkawan dengan budak-budak PKR dan budak-budak Hindu, menyebabkan aku sudah mula di tuduh sebagai seorang yang berkeahlian PKR.

Bagaimana aku mahu terlibat dengan Pemuda PAS di peringkat kawasan, kalau kapten mereka tidak bertanggungjawab dan cara berfikir terlalu jumud, dan menganggap diri mereka seperti ahli syurga, disamping melihat sinis kepada golongan-golongan yang telinga bertindik, berambut panjang, bermain gitar dan sebagainya.

Kalau inilah minda kita, tidak ada gunanya kita mendakwa sebagai orang dari gerakan Islam, kerana kita telah dilalaikan dengan berita-berita syurga, tetapi tidak pernah digerunkan dengan azab neraka lantaran tidak bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah kepada golongan-golongan ini.

Yang peliknya, ada suara mendakwa aku masuk PKR setelah berkawan dengan golongan ini, padahal pernahkah mereka berfikir, budak-budak ini kini, sudah mula tidak meninggalkan solat lagi, sudah mula minat dengan kuliah-kuliah agama dan ada sebilangan mereka meminta pandangan dariku untuk memakai jubah dan berkopiah.

BERDAKWAH

Aku tidak terpengaruh dengan sesiapa pun. Bahkan, aku mahu menyeru manusia kepada Islam yang syumul. Aku amat sedih apabila mendengar jawapan dari budak-budak yang dilihat ”tidak Syurga” itu bahawa mereka tidak tahu tentang perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Padaku, mereka ini kekosongan yang tidak diisi dengan Islam. Mereka menghadapi pelbagai masalah kehidupan, tetapi tidak pernah dibimbing oleh mereka yang kononnya pemimpin gerakan Islam.

Yang lebih menyedihkan lagi, mereka pernah menyebut bahawa mereka tidak suka kepada PAS disebabkan melihat kerenah pemimpin-pemimpin PAS tertentu yang merasa diri mereka ”terlalu bagus”. Yang lebih memualkan, apabila tiba waktu pilihanraya, pemimpin itulah yang terkial-kial dan terhegeh-hegeh datang meminta undi dari mereka.

Apakah ini konsep gerakan islam yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul??????

Apakah inilah yang disebut sebagai dakwah, seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW?????

Bukankah tindakan sebegini menggambarkan bahawa kita telah menggunakan dakwah bukan untuk kepentingan islam, tetapi untuk kepentingan parti semata-mata????

PERASAN BAGUS

Kadang-kadang aku berfikir, mengapa kita terlalu sombong dengan cara kita sendiri. Mengapa kita tidak mahu belajar dari orang lain. Padaku, orang berkelulusan sampai ke tahap PhD, belum tentu mempunyai idea yang bagus, bahkan kadangkala pekerja yang menyapu sampah itu mempunyai pemikiran yang cukup bagus dan terlalu bernas.

Pepatah arabkan ada berkata:

انظر الى ما قال و لا تنظر الى من قال

Maksudnya;
“Lihatlah kepada apa yang orang katakan, jangan lihat kepada siapa yang berkata”

Disebabkan kita merasakan diri kita terlalu bagus, melahirkan keadaan bahawa kita tidak perlu melihat baik pada orang yang tidak sehaluan dengan kita. Lantaran itu, lahirlah perasaan sombong dan bongkak.

ALA KAPITALIS

Aku agak tidak boleh menerima dengan bentuk majlis hari rumah terbuka PAS yang aku hadiri tadi. Perasaan itu timbul, Apabila aku dijemput oleh sebilangan pimpinan tertentu untuk makan dalam bilik VIP.

Dengan itu, hatiku terus berkata-kata bahawa, bentuk majlis ini dinamakan sebagai hari rumah terbuka PAS, tetapi rupa-rupanya ada ruang tertutup disebalik yang terbuka itu.

Hari rumah terbuka PAS merupakan hari dimana rakyat ingin bertemu dan makan bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin parti, tetapi yang berlaku adalah, pemimpin-pemimpin makan dalam bilik yang tertutup atas nama VIP.

Yang lebih memelikkan, apabila ada sebilangan rakyat biasa masuk ingin makan bersama pemimpin, mereka dihalau oleh Unit Amal, kononnya tidak layak makan dalam bilik yang digelar VIP itu. hal ini jelas berlaku, apabila kawanku dari PKR yang hadir sama itu telah dihambat keluar oleh Unit Amal dengan alasan bukan orang VIP.

Nampaknya, kita sudah terpalit dengan ”semangat ala kapitalis” dalam membawa Islam untuk memerintah.

Padaku, tidak salah mewujudkan MEJA-MEJA VIP, kerana kewujudan meja-meja VIP ini menggambarkan kebersamaan dengan rakyat masih berlaku, tetapi mewujudkan BILIK VIP adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh PAS disebabkan sudah wujud kasta antara rakyat dengan pemimpin parti.

JANGAN KRITIK ...

Aku juga dimaklumkan tentang sebilangan penulisanku kebelakangan ini yang nampaknya agak mengkritik. Yang aku amat tidak boleh menerima, apabila ada sebilangan mereka berkata ”ustaz boleh pergi jauh dalam parti. Jadinya, ustaz janganlah kritik kuat sangat”.

Mendengar ucapan sebegini, menyebabkan aku agak merasa meluat. Aku menjawab, ”ana masuk dalam PAS, bukan kerana nak pegang jawatan. Ana masuk PAS sebab PAS perjuangkan Islam”.

”kalau orang tak nak lantik ana untuk jawatan-jawatan tertentu, ana tak kisah, bahkan ana bersyukur ana tak pegang sebarang jawatan”

”bahkan, jawatan yang ana pegang ni pun, kalau orang nak pecat disebabkan sebilangan tulisan kritis ana, ana tak kisah pun” jawanku.

Padaku, setiap manusia itu mempunyai pandangan masing-masing. Perbezaan pandangan ini, sebenarnya memberikan satu gambaran betapa Indahkan ciptaan Allah SWT.

Kritikan merupakan luahan hati dari pihak yang mempunyai pandangan masing-masing. Sekiranya kritikan itu benar, tidak ada salahnya kita menerima kritikan itu, bahkan kalau kritikan itu salah, tidak ada salahnya kita menolak, tetapi hendaklah dengan hujjah yang bernas, luar dari sentimen jumud.

Aku melihat, Omar bin Al-Khattab sendiri pun mudah menerima kritikan daripada rakyat, walaupun jika diperhatikan, banyak fatwa-fatwa omar yang bersesuaian dengan wahyu. Ini dapat dibuktikan banyak kisah-kisah yang telah diceritakan oleh ulama-ulama hadis dan ulama-ulama tafsir. Hal ini boleh dibaca dari kitab-kitab Imam Ibnu Kathir, seperti kitab tafsirnya, juga kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah.

Tetapi, mengejutkan dengan keadaan sebilangan orang-orang tertentu dalam PAS, yang melihat kritikan dari pihak tertentu merupakan punca pihak mengkritik dilihat sebagai musuh.

PENUTUP

Aku pernah terlibat dengan jemaah Tabligh. Setelah setahun setengah bersama tabligh, aku agak tidak boleh menerimanya, apabila dilihat dakwah mereka terlalu sempit, iaitu terlalu terfokus kepada isu solat jemaah sahaja.

Lantaran itulah, Aku masuk PAS . masuk PAS itu, bukan mahu menjadi ahli politik tetapi berminat kerana perjuangan islam yang diperjuangkan oleh PAS itu bersifat syumul.

Tetapi, aku agak merasa sedih apabila ada sebilangan ahli-ahli, bahkan sebilangan pemimpin PAS yang tidak boleh belajar dari kebaikan orang lain. Pada mereka, kebenaran hanya datang dari PAS, adapun dari yang lainnya, ianya tidak layak diterima pakai.

Padaku, mungkin kita kena belajar dari hadis Nabi SAW;

الحكمة ضالة المؤمن ، حيثما وجد المؤمن ضالته فليجمعها إليه

Maksudnya;
”Kebijaksaan adalah barang keciciran orang beriman, sesiapa dari orang beriman yang mendapati barang keciciran itu, maka hendaklah dia memungutnya untuknya[1]”

Hadis ini membuktikan kepada kita, Islam tidak pernah menafikan kebaikan yang telah dilakukan oleh orang lain, pun begitu, penerimaan itu hendaklah tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW.

Sekian

Al-Bakistani
http://one-g.blogspot.com

abu_abdillah_azzam@yahoo.com
webmaster- kami juga menghadapi senario yang sama di Parit, tunggu kami sedang menyiapkan artikel berkaitan apabila kami dhambur dengan sms dari pimpinan PAS Parit.

Begitu jua dengan pandangan prejudis dari PKR Parit.Maklumlah orang Telok Bakong kene tangkap pasal 'sedekah seks' jadi ingat TBO ni 2 orang tu punya.Kami menafikan kaitan dengan mereka.Kami telus menyampaikan berita tanpa mengira parti mana,tak betul tetap kita dedahkan.Baru pegang kuasa sikit jangan exsen meleleh buat pemimpin PR semua.Rakyat memerhatikan anda semua!!!Jangan masuk parti nak rebut jawatan,kuasa dan rete kome!!!

Monday, October 20, 2008

Jamuan Eidul Fitri Peringkat Negeri Perak

Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Shah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak
Turut kelihatan Saudara Shamsul Timbalan Ketua Keadilan Bahagian Tambun
Saudara Misbahul Setpol MB Perak sibuk melayani hadirin

Sebentar tadi berlangsung Jamuan Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia,Ipoh Perak.Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Shah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohd. Ali tealh berkenan ke majlis bersejarah ini.Kelihatan jua Raja Di Hilir D.Y.A.M. Raja Jaafar bin Raja Muda Musa.Turut serta MB Perak Dato' Seri Mohamad Nizar B. Jamaludin serta isteri beliau Datin Seri Fatimah Bt Taat yang di iringi beberapa orang exco kerajaan negeri.

Hujan mencurah-curah tidak menghalang rakyat jelata pelbagai bangsa.Ribuan hadirin beramah mesra sambil menjamu selera dengan pelbagai juadah yang disediakan.Turut di sajikan persembahan dari pelbagai artis berkonsepkan Hari Raya.

Kelihatan juga pemimpin Pakatan Rakyat sibuk melayani rakyat dari meja ke meja.Anggota keselamatan telah menjalankan tugas dengan baik dibantu pelbagai agensi bagi memastikan ke lancaran majlis tersebut.

Linkwithin