Saturday, June 20, 2009

Isu Kerajaan Perpaduan/Unity Government- 2


20 Jun 2009

Dari Blog Ustaz Ahmad Awang

Maksud firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An’Nisa’:59)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Konsep Kerajaan Perpaduan
Kerajaan perpaduan atau National Unity Government atau National Union Government adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.

Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865. Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atau Unity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931dan juga pada tahun 1935.

Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini. Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah.

Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan. Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

Bila Idea Kerajaan Perpaduan Dibangkitkan?
Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya. Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah. Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu.

Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib.

Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea Unity Government itu. Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja. Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat.

Bagaimana Isu Kerajaan Perpaduan Ditimbulkan
Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat. Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat. Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan.

Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas.

Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini. Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar.

Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja. Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Mengapa Tok Guru Nik Aziz Sensitif
Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN. Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini.

Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu. Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini. Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang. Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN. Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan.

Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka. Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pengalaman Saya Di Perak
Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak.

Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS.

Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya.

Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti.

Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.

Friday, June 19, 2009

Nizar mohon jawatan MB Perak digantung



PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah, digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Mohammad Nizar dalam permohonan untuk kebenaran merayu yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, di sini, memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu digantung sekiranya, kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan kira-kira pukul 3.30 petang tadi melalui Tetuan Leong & Tan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 dan 10 Julai ini untuk mendengar permohonan itu.

Dalam permohonannya juga, Mohammad Nizar turut menyertakan satu lagi permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar di hadapan 11 hakim.

(Mahkamah Persekutuan ketika ini mempunyai 12 orang hakim)

Beliau memohon diberi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Dr Zambry ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas yang mengisytiharkan beliau (Mohammad Nizar) sebagai menteri besar yang sah.

Mohammad Nizar, 52, yang berpakaian baju Melayu kelabu, hadir di mahkamah hari ini.

Dalam permohonan yang disertakan dengan afidavitnya, Mohammad Nizar turut merangka beberapa persoalan undang-undang penting berhubung interpretasi benar berkenaan Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu antaranya:

i. Dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

ii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

iii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar;

iv. Dalam keadaan di mana tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar; sama ada jawatan Menteri Besar boleh dan/atau telah dikosongkan;

v. Sama ada Fasal 16(6) UTKP memperuntukkan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam persidangan Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak atau sebaliknya;

vi. Sama ada UTKP memperuntukkan sebarang kuasa untuk seseorang Menteri Besar dipecat atau jawatannya dianggap kosong atau dikosongkan. BERNAMA

10 wakil PAS tolak k’jaan perpaduan



19 Jun 2009

Sepuluh daripada 24 anggota Dewan Rakyat PAS tiba-tiba membuat kejutan petang ini di lobi Parlimen.

Sementara itu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ds. Muhammad Nizar Jamaluddin yang tidak berada bersama sepuluh MP tersebut mengesahkan ketiak dihubungi CinaIslam bahawa beliau menyokong sepenuhnya kenyataan tersebut dan beliau telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut namun terpaksa meninggalkan Parlimen lebih awal atas urusan lain di Perak.

Mereka mengisytiharkan beramai-ramai menolak idea kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang “tidak pernah merupakan agenda PAS.”

Mereka juga menegaskan kembali pentingnya PAS berpegang teguh pada keputusan muktamar di Ipoh tahun lalu yang ingin menguatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan tersebut, bersama tandatangan sepuluh anggota Dewan Rakyat berkenaan, diedarkan dalam satu sidang media (foto kiri).

Ahli-ahli parlimen PAS itu seperti berikut: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, tidak hadir kerana berada di luar negara, manakala Nasharuddin (Bachok) pula menghilangkan diri sejak dibidas Nik Aziz petang semalam.

Mesyuarat ukhuwah

Sementara itu di Kota Bharu, Nik Aziz merancang mengadakan mesyuarat khas yang hanya dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa.

“Saya sendiri akan menjemput presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin PAS lain yang akan saya tentukan kemudian.

“Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah (persaudaraan) yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini.

“Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh,” Nik Aziz dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan hari ini.

Menurut Bernama lagi, Nik Aziz beliau belum dihubungi Nasharudin berhubung gesaannya agar timbalan presiden itu meletakkan jawatan, termasuk sebagai ahli parlimen Bachok.

Nik Aziz juga dipetik berkata Pakatan Rakyat ketika ini yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

“Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan ‘Islamophobia’ oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan,” katanya.

Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam PAS negeri dikekalkan kecuali jawatan setiausaha yang kini disandang Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.

Bekas bendahari Pemuda PAS itu juga timbalan speaker DUN Kelantan yang menarik diri saat akhir daripada bertanding jawatan ketua Dewan Pemuda PAS. Malaysiakini.

Thursday, June 18, 2009

Gabungan Pakatan Rakyat sebenarnya kerajaan perpaduan – TGNA


18jun 2009

TGNA Akan Menjemput Presiden,Timbalan Presiden dan beberapa pimpinan lagi untuk bincang isu kerajaan perpaduan

KOTA BHARU: Isu kerajaan perpaduan yang hangat dalam PAS ketika ini sehingga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan jika mahu meneruskan agenda itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas parti itu tidak lama lagi.

Nik Aziz berkata, selaku Mursyidul Am PAS, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengatur dan mempengerusikan mesyuarat yang hanya akan dihadiri pemimpin tertinggi Pas termasuk Nasharudin.

“Saya sendiri akan menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharudin) dan beberapa pemimpin PAS lain yang akan saya tentukan kemudian.

“Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini. Buat masa ini, masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut kenyataannya semalam yang meminta Nasharudin melepaskan jawatan, Nik Aziz berkata, beliau belum dihubungi Nasharudin.

Ketika ditanya mengenai kerajaan perpaduan mengikut kehendaknya, Nik Aziz berkata, gabungan pakatan pembangkang ketika ini adalah yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

“Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat sudah menghilangkan “Islam fobia” oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan,”katanya.

Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam PAS Kelantan masih dikekalkan kecuali jawatan Setiausaha yang kini dipegang Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.

“Hari ini adalah mesyuarat yang pertama penggal baru dan saya masih memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Kelantan,” katanya.

Air mata dan darah di Memali sudahkah terbela ?


kelulut@telokbakong.com

18.06.09
Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 18 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya telah terbunuh. Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara/Operasi Hapus'.

Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia berada di China.

Secara umumnya mereka terbunuh atau dibunuh dibawah Kerajaan Barisan Nasional .Setelah lebih 2 dekad nasib mereka masih belum terbela. Hari demi hari telah berlalu . Mangsa yang terselamat ketika itu pun sudah ramai yang meninggal dunia .

Bukan niat mahu meniupkan api sengketa tetapi sekadar menarik perhatian dikala mangsa Memali seakan dilupakan.

Kekejaman pihak tertentu yang menggunakan peralatan berat hanya menentang orang kampung , amat memilukan .

Jika di waktu Almarhum Ustaz Fadzil Noor Memali sentiasa dibibir malah diheret hingga ke parlimen .Tetapi kini tidak ada usaha bersepadu mahu mengembalikan kebenaran itu .Walaupun Kedah sudah dibawah Pas . Persoalannya kenapa ?

Ustaz Ibrahim Libya tidak pernah popular semacam para ustaz kini . Beliau berjuang memberi ilmu tanpa mengharap imbuhan apatah lagi pujian .

Beliau lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian menyambung pengajiannya di India dan Libya. Bekerja sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau kerap berceramah di RTM 1 Malaysia. Kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan menyertai PAS kemudiannya.

Pada tahun 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Penulis pernah mendengar bahawa kuliah zohor yang kini . Hampir disetiap surau pejabat kerajaan dan swasta pada hari ini adalah juga hasil idea beliau .

Senarai nama mereka yang terkorban .

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

Malangnya beliau dianggap pengganas dan sesat oleh UBN. Tetapi kini sudah berubahkah Umno?. Atau Pas yang diubah?.

www.telokbakong.com
www.telokbakong.blogspot.com

Tuesday, June 16, 2009

ISU BESAR NEGARA TENGGELAM - Najib Terselamat Dengan Isu Kerajaan Perpaduan - PAS MENADAH TANGAN?

16jun 2009
http://tokperan.blogspot.com/2009/06/isu-besar-negara-tenggelam-najib.html

INILAH masa yang amat lega bagi politik Umno/BN dan diri Najib Rosmah bila Isu Kerajaan Perpaduan yang diideakan oleh Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang bersama beberapa orang juak-juaknya mengisi ruang politik tanahair terkini!

Najib Rosmah bersama pimpinan Umno/BN harus berterima kasih pada Presiden PAS itu dan jika berlaku Kerajaan Perpaduan amat tidak patut jika TG Haji Abdul Hadi dan juak-juaknya tidak diberikan taraf Menteri dan Timbalan Menteri kalau pun tidak dapat memberikan Timbalan Menteri.
Isu rampasan Kerajaan Perak oleh Bn dari Pakatan Rakyat - Isu lapuran akhbar luar negara yang mengkaitan Perdana Menteri Malaysia sekarang dengan kes Pembunuhan Altantuyya - Isu PPSMI - Isu pembelian kapal selam dari Peranchis - Isu Pelabuhan Klang - Isu Jambatan Bengkok - Isu video Linggam dan beberapa isu lagi yang memanaskan pesada politik tanahair! Semuanya sudah dibelakangkan.

Namun rata-rata rakyat tahu bahawa Najib Rosmah tidak akan memberikan ruang pemimpin PAS untuk berganding sama dengan Umno/Bn menerajui negara ini. Haluan Umno terlalu jauh dengan haluan PAS!

Pemimpin Umno juga belajar dengan apa yang pernah berlaku ketika PAS dalam Bn dulu - PAS dianggap sebagai duri dalam daging oleh pemimpin Bn ketika itu. Masa itu pemimpin PAS tidaklah sehebat yang ada sekarang ini dari segi berpolitik.

Permimpin PAS sekarang ini hebat berpolitik sehingga mereka mampu menyanggah Mursyidul Am PAS dan ahli PAS juga mampu menyanggah pimpinan - tujuannya untuk mengkedapankan idea politik masing-masing yang tersirat dan tersurat - samada untuk kepentingan rakyat atau diri sendiri - wallahualam!

Walaupun TG Haji Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS tetap menolak idea Karajaan Perpaduan Presiden PAS namun pemimpin Umno terus memainkannya di dada media perdana seolah-olah PAS sedang menadah tangan untuk memohon restu rahmat dari pemimpin Umno.

Pemimpin Umno di semua peringkat sekarang ini amat sayang kepada TG Haji Abdul Hadi dan mereka juga menyuarakan rasa sayang mereka kepada PAS. Mereka menyatakan di mana saja bahawa mereka boleh berkawan dengan PAS jika dibandingkan dengan DAP dan PKR.

Malahan ada juga antara pemimpin tempatan Umno yang menyarankan kepada umum jika nak masuk parti pembangkang masuklah PAS kerana PAS itu akan membantu Umno menegakkan politik Melayu!

Pada pemimpin Umno semua perengkat, idea Kerajaan PerpaduanTG Haji Abdul Hadi bukan untuk politik sejagat tetapi untuk politik Melayu!

Pemipin Umno seolah-olah sudah tidak meletakkan TG Haji Nik Abdul Aziz sebagai seorang ulamak yang berpengalaman dan bijak berpolitik seperti mereka suarakan sebelum munculnya idea Kerajaan Perpaduan TG Haji Abdul Hadi.

Namun kejahatan pemimpin Umno/Bn harus dibaca sama ada yang tersurat atau yang tersirat. Keporakperandaan politik Umno/Bn sendiri tidak semudah itu boleh diselamatkan oleh idea Kerajaan Perpaduan TG Hahji Abdul Hadi - rakyat semakin kuat menolak Umno/Bn dari arus pemerintahan negara!

Apakah pemimpin PAS yang masih mahu meneruskan idea Kerajaan Perpaduan dengan Umno sekarang atau sebaik saja keputusan PRU 13 nanti juga akan ikut sama ditolak rakyat?

Monday, June 15, 2009

Allahyarham Fathi Yakan, seorang Ulama dan Profesional pergi mu tiada penganti .


kelulut@telokbakong.com

15.06.09

Sheikh Fathi Yakan lahir 9.02.1933-13.06.2009. Menduduki kerusi Parlimen Lebanon sejak tahun 1992. Dilahirkan di Tripoli, Libya.

Beliau diantara pelopor Gerakan Islam sejak tahun 50an lagi. Beliau meninggalkan seorang balu Muna Haddad. Empat orang anak perempuan dan seorang lelaki.

Sheikh Fathi Yakan menulis lebih 35 buah buku yang berkualiti. Dan sering menjadi rujukan para pejuang Islam kini. Antara karya beliau yang popular adalah buku berjudul " Apa erti saya menganut Islam" ?. Malah diterbitkan didalam pelbagai bahasa .

Karya ini sering dijadikan bahan usrah, rujukan bagi umat terutamanya bagi mereka terlibat didalam aktiviti Gerakan Islam.

Beliau juga pernah datang ke Malaysia.Pemergian beliau ke rahmatullah tiada galang gantinya. Beliau seorang yang berkelulusan didalam bidang kejuruteraan dan agama.

Dan juga dikenali sebagai pendakwah yang alim, warak dan berstatus ulama profesional .

Kehilangan Fathi Yakan pasti dirasai oleh umat.

www.telokbakong.com
www.telokbakong.blogspot.com

Isu Kerajaan Perpaduan

Promosi T- Shirt TBO sket hehehe

Kerajaan Perpaduan kini menjadi isu hangat dikalangan bloggers pro PR.Masing- masing cuba memberi pendapat menguatkan hujah pro dan kontra masing-masing. Malang sekali ia telah menimbulkan suasana yang kurang selesa sesama bloggers.

Apakah perlunya Kerajaan Perpaduan?. Kita perlu kepada perkara asas konsep kerajaan perpaduan.Didalam sistem demokrasi dimanakah kedudukan kerajaan perpaduan ini dan bilamana ia perlu di lakukan!. Apabila sesuatu keputusan PRU diumumkan maka tiada majoriti(deadlock) mana-mana parti maka saat ini boleh dibincangkan konsep kerajaan perpaduan. Bertujuan untuk mengelakkan PRU semula dan ini biasa berlaku dimana-mana negara.

Jadi apakah perlu isu kerajaan perpaduan di utarakan di waktu ini. BN sudah memperolehi majoriti di peringkat persekutuan dan berhak menubuhkan kerajaan. Apakah maksud yang akan berlaku kini jikalau usul kerajaan perpaduan diteruskan oleh Presiden PAS. Inilah yang mencetuskan pelbagai pendapat pro dan kontra. PAS menafikan akan masuk BN. Adakah itu cukup kuat untuk dijadikan alasan sedangkan konsep kerajaan perpaduan adalah mana-mana parti yang tiada majoriti bergabung membentuk kerajaan!!

Akibat respon yang majoritinya negatif maka pihak yang beria-ia melobi isu ini meminta semua pihak berdiam diri.Ingin di tegaskan di sini artikel ini bukan ingin menghentam ulamak. Setelah keputusan di buat menyokong PR di Ipoh tiba-tiba isu ini dibangkitkan di Muktamar PAS.Alasan yang di beri oleh Ustaz Nasa kerajaan perpaduan bukan bermakna PAS masuk BN.Kalau begitu ia tidak sesuai menggunakan perkataan 'KERAJAAN PERPADUAN'.

Adakah pandangan ini akan mengundang komen-komen pedas dari pro kerajaan perpaduan?Ini hanya menerangkan konsep kerajaan perpaduan.Semua pembaca bebas menyokong mana-mana yang berkenan di hati,nak pro kerajaan perpaduan atau pun menolak itu kome punya pasal.Perbezaan pendapat didalam sesuatu isu tidak seharusnya menjadi halangan menyuburkan demokrasi.Kita seharusnya menghormati pandangan orang lain yang berbeza fahaman dengan kita didalam sesuatu isu.

Semua bloggers PR seperti anak sengat, manjung mari, albanjari, MSK dan TBO sendiri mempunyai latar belakang yang berbeza dalam politik. Ada yang pro PAS,pro PKR dan ada yang tak berpro.Ada yang nyokong TGHH dan ada yang nyokong TGNA dalam isu kerajaan perpaduan.Itu semua tidak bernilai dengan nilai persahabatan sesama kita, setelah kita mengharungi perih jerih,dari tak kenal jadi kenal,makan minum semeja,kulu keyo dalam program PR.Alangkah sedihnya jikalau dalam mempertahankan ideologi masing-masing kita merenggangkan hubungan yang sedia ada terjalin.

Permintaan ikhlas dari TBO agar Al Banjari yang di kasihi dan Manjongmari yang disayangi dapat mengeratkan sillaturahim dan berbincang secara tertutup dengan semangat setiakawan.Bukan niat nak mencampuri urusan kalian berdua namun kami di TBO mengharap sangat kalian berjumpa dalam seisi 'bloggers perpaduan' sambil ngajak keme minum2 ker,makan roti zambry ker..tak gitu Ummi dan Sya Reformis.Tak pun jom makan nasi doyan kat romah MSK ker sambil minum ubat kuat Al Banjari.Perghhh!!

TBO tak nyokong Kerajan Perpaduan, Al Banjari (katanya tak ada ayat dia nyokong kerajaan perpaduan),Manjongmari(kome tengok blog dia le),MSK(kome leh agak ),anak sengat(nak pasti baca artikel dia)..ate takkan kita nak masam muka pasal ni...aku jumpa kome aku ajak juge minum,lantak ler kome suke ker ijak ngan TBO pasal tak nyokong Kerajaan Perpaduan..tapi kita ada satu titik pertemuan...musuh kita sama. Sape musuh kita...kome pikior ler sendiri...

'PAS, PKR dan DAP saling melengkapi'tiada sape leh mendabik dada. 3 parti ni tiada yang sempurna..Dua parti PKR dan DAP mempersoalkan tindakan TGHH.Inginkan penjelasan lanjut dan sepatutnya penerangan di buat segera kerana orang PAS sendiri ada yang tak faham...Komen dari pemimpin PAS pula TGNA yang lantang menentang, bagaimana pandangan MB Rakyat kita Ir. Nizar,Ustaz Ahmad Awang, Ketua Dewan Muslimat Parit,PAS Parit,Azmin Ali,Husam, Syed Azman dll. Ceekabo aihh...pendirian mikeme...

Sokong kerajaan perpaduan belakangi kuasa Mursyidul Am PAS - Nik Aziz




MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersalaman dengan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew (kiri) yang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau yang juga Mursyidul Am PAS di pejabatnya hari ini. Lee, 85, yang juga Bapa Singapura Moden melakukan kunjungan lapan hari ke Malaysia sejak Isnin lepas. --fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya bahawa mereka yang mempertahankan idea pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disarankan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai "boneka Umno".

Nik Aziz turut menegaskan pihak yang berkeras menyokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai tidak mendengar nasihat dan cuba membelakangkan kuasa beliau sebagai Mursyidul Am PAS.

"Bagaimanapun sebagai pemimpin parti, saya akan terus menasihatkan ahli, walaupun ada yang tidak mendengarnya.

"Isteri boleh jadi buat salah kepada suami, dan suami boleh jadi buat salah kepada isteri, anak boleh jadi buat salah kepada ibu bapa. Begitu jugalah dalam politik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan baru-baru ini membidas sesetengah pemimpin PAS yang masih mempertahankan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan meminta pemimpin PAS yang menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan tidak menyertai kempen parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, 14 Julai ini.

Timbalan Presidennya, Yap Kok Seng berkata ini kerana penglibatan sesetengah pemimpin itu hanya akan mengelirukan pengundi dan penyokong PAS di kawasan itu berhubung isu berkenaan.

"Kami Kelab Penyokong PAS tidak mahu pemimpin yang bersetuju dengan pembentukan kerajaan perpaduan itu turut berkempen dalam pilihan raya DUN Manik Urai kerana ia boleh mengelirukan rakyat, khasnya pengundi PAS kawasan itu jika mereka memperkatakan isu itu..

"Jadi, lebih baik mereka jangan datang berkempen dalam masa kempen pilihan raya DUN Manik Urai kali ini," katanya. BERNAMA

Linkwithin