Wednesday, July 8, 2015

‘Cable’ apa Pemuda Umno dapat beli tanah di Australia


(Oleh: Nadia Hanafi)Keadilan Daily

KUALA LUMPUR 8 JULAI- Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli membidas Khairy Jamaluddin kerana memperlekeh pendedahan berhubung skandal pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketua Pemuda Umno itu  menyifatkan usaha National Oversight And Whistleblowers (NOW) mendedahkan tiga Exco Pemuda Umno yang terlibat dalam pembelian hartanah itu sebagai bodoh.
“Saya rasa kecewa ketua pemuda Umno yang berpendidikan di Oxford tapi mentaliti politiknya tidak banyak berbeza daripada Pekida (Pertubuhan Kebangsaan Dakwah Islamiah) dan juga rakan-rakan Umno yang tidak berpendidikan di Oxford,” sindirnya.

Menurut Rafizi beliau mempersolakan mengapa mereka yang tiada kaitan dengan MARA menjadi orang penting dalam urusniaga itu sehingga berlaku ketirisan RM129 juta.
Jelasnya, berdasarkan kaji selidik dan maklumat tidak rasmi, mereka mempunyai kepentingan perniagaan bersama dan hubungkait dengan Mara, selain sangat rapat dengan pimpinan Umno.

“Jadi saya mempersoalkan ‘cable’ mana yang dia dapat yang membolehkan mereka ini terlibat dalam urusniaga hartanah ini,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.
Isnin lalu, Rafizi mendakwa 5 Pemuda Umno terbabit dalam 3 pembelian hartanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.
Namun katanya, dua Pemuda Umno yang berada dalam syarikat Thrushcross Land Holdings Limited tiada kena mengena dengan Mara tetapi terlibat dalam urus niaga pembelian hartanah di 746 Swanston Street.

Mereka juga dikatakan terlibat dalam syarikat Optimus Capital Sdn Bhd dan Biosis Group Berhad. Individu yang berada dalam Biosis itu pula memegang jawatan kedua tertinggi dalam pergerakan sayap Umno itu.

Pada masa sama, Rafizi yang juga pengarah NOW memberitahu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun mengugut untuk menyamannya berikutan dakwaan itu.

“Azwan ugut untuk saman saya. Saya biasa kena saman dan saya rasa saya lebih tahu undang-undang fitnah dari dia. Saya yakin soalan saya tanya tu bukan bersifat memfitnah dan soalan yang sama juga akan ditujukan oleh rakyat,” katanya

Linkwithin