Saturday, September 26, 2015

Dr M: Singkir Najib selamatkan Malaysia



13.9K115
   

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kegawatan ekonomi dan penyusutan nilai ringgit hanya akan dapat dipulihkan jika Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.
Dalam entri terbaru beliau petang ini, Dr Mahathir berkata, disebabkan itu rakyat Malaysia mesti menuntut supaya Najib diketepikan daripada jawatannya dan langkah itu "demokratik sepenuhnya".

"Tindakannya menahan orang ramai kerana berhimpun untuk menuntut peletakan jawatan adalah tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara," katanya.
Dr Mahathir menjadi antara pengkritik tegar terhadap Najib dan berkali-kali mendesak supaya anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu meletak jawatan.
Ketika media arus perdana kebanyakannya menyekat kenyataan dibuat Dr Mahathir, beliau yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun menggunakan saluran media sosial seperti blog untuk menyatakan pandangannya dari semasa ke semasa.

Beliau juga hadir sebanyak dua kali ketika BERSIH 4 berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Menurut Dr Mahathir, beliau juga menggesa rakyat negara ini menuntut Najib membenarkan dirinya disiasat oleh badan bebas.

"Najib mesti membenarkan proses perundangan diteruskan. Jika didapati dia melakukan perkara haram, dia mesti meletak jawatan," katanya.
Berusaha keras untuk Najib

Dalam entri terbarunya bertajuk Najib itu, Dr Mahathir juga mendakwa perdana menteri mengupah orang ramai untuk menunjuk perasaan di jalanan sebagai tanda menyokong pentadbirannya.
"Dia bagaimanapun mengharamkan orang ramai menunjuk perasaan menuntut dia meletak jawatan," katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan pertubuhan bukan kerajaan pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu.
Dianggarkan seramai 45,000 orang hadir di program turut dikenali sebagai himpunan baju merah itu.
 Perhimpunan itu diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Dalam entri hari ini, Dr Mahathir menyingkap semula pelantikan Najib sebagai perdana menteri dan pelbagai "kesalahan" dilakukannya.

"Saya bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia. Tetapi kini saya mahu dia disingkirkan, berundur daripada menjadi perdana menteri. Ia bukan sebab peribadi, tetapi sebaliknya kerana dia gagal teruk sebagai perdana menteri.

"Saya sedar awal kesalahan-kesalahan yang dilakukannya," kata Dr Mahathir.
Beliau mengakhiri entri kali ini dengan penegasan bahawa hanya pengunduran Najib dapat menyelamatkan negara ini.

"Hanya melalui penamatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keadaan ekonomi akan pulih, nilai ringgit kembali naik dan kos sara hidup turun.
"Hanya selepas penyingkirannya Malaysia kembali gah," katanya.

Linkwithin