Tuesday, October 27, 2009

PM sebagai presiden de facto



- ABDUL AZIZ BARI

Wacana kita minggu ini ada kaitan dengan isu minggu lalu yang tak semena-mena meletup dan menimbulkan kontroversi dalam Pas; khususnya kedudukan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang saya cadangkan boleh diganti oleh Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Khamis lalu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kejutan dan mencadangkan Muktamar Khas untuk memutuskan kedudukan Abdul Hadi dan pasukannya.

Saya melihat kepemimpinan Abdul Hadi lesu dan tidak bermaya. Saya tidak mempertikaikan wibawa beliau sebagai ulama dan ini pada saya bukan isu. Saya juga tidak cuba mempromosikan golongan profesional dalam Pas kerana saya juga kritikal kepada Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, iaitu Pesuruhjaya Pas Selangor dan Exco Kerajaan Negeri itu. Hasan mewakili kelompok profesional dan bukan ulama. Apa pun Pas Bukit Bintang mencalonkan Nik Aziz untuk jawatan Presiden dalam muktamar tahun ini. Walaupun beliau tidak meletakkan namanya pencalonan itu sudah cukup untuk memberi isyarat betapa kedudukan Abdul Hadi sudah mula dipersoalkan.

Saya tidak mahu mengulas konflik atau politik dalam Pas kerana itu bukan bidang saya. Saya cuma hendak mengaitkan apa yang berlaku itu dengan beberapa aspek kenegaraan dan perlembagaan yang ada kaitan dengan apa yang saya lebih tahu.

Negara kita tergolong dalam sistem yang dipanggil Westminster yang secara rasmi dipanggil demokrasi berparlimen. Ia adalah sebuah demokrasi yang mempunyai beberapa kelainan dengan demokrasi berpresiden, yakni model demokrasi yang diamalkan di Amerika Syarikat. Sistem Wesminster yang mengambil sempena nama istana raja yang kini menjadi bangunan parlimen Britain di London itu mempunyai dua ketua; yakni ketua negara dan ketua kerajaan.

Ia berbeza dengan sistem Amerika yang menggabungkan kedua-dua jawatan berkenaan. Sebab itu Presiden Barack Obama memegang kedua-dua jawatan; yakni sebagai ketua negara dan ketua kerajaan. Begitu juga dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Indonesia. Tetapi di Malaysia ketua negara ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, manakala ketua kerajaan adalah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jika di Amerika atau Indonesia, Presiden dipilih secara terus oleh rakyat di Malaysia dan United Kingdom (UK) Perdana Menteri dilantik oleh ketua negara dalam kalangan Ahli Parlimen. Jika di Amerika, Presiden tidak ada kaitan dengan Kongres di Malaysia dan UK Perdana Menteri adalah seorang Ahli Parlimen dan bertanggung jawab kepada dewan.

Meskipun ia dilantik oleh ketua negara – berdasarkan kuasa budibicara – Perdana Menteri tidak boleh dipecat. Hanya dewan yang boleh menamatkan riwayat Perdana Menteri melalui undi tidak percaya. Sebab itu pendapat yang lebih sahih mengatakan apa yang dilakukan oleh Sultan ke atas Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin salah. Justeru saya berasa aneh bagaimana Profesor Emeritus Datuk Dr Shad S Faruqi dari UiTM boleh mengesahkan tindakan Sultan itu.

Di sisi undang-undang, Perdana Menteri adalah kerajaan dan kerajaan adalah Perdana Menteri. Perdana Menteri disebut 'primus inter pares', yakni yang paling utama sesama rakan. Di sisi undang-undang, Perdana Menteri boleh memecat menteri-menteri bila-bila masa tanpa sebarang sebab. Di negara-negara Westminster yang bersifat republik seperti India atau Singapura Perdana Menteri adalah orang yang paling berkuasa kerana ketua negara hanya bersifat simbolik dan tidak penting.

Walau apa pun di kalangan sarjana perlembagaan dan politik sekarang telah timbul istilah 'presidential premiership' atau 'Perdana Menteri bersifat Presiden'. Lebih memeningkan lagi di Britain ada tulisan-tulisan yang bertemakan 'republican monarchy' yakni sistem beraja republik. Pelik bukan? Tetapi inilah hakikat dan kenyataan politik yang mewarnakan sistem perlembagaan Westminster sekarang. Saya fikir ini tidak dapat dielakkan kerana perlembagaan dan undang-undang perlu bergerak selaras dengan hakikat dan tuntutan demokrasi dan bukan sebaliknya.

Itu semua menyebabkan di UK yang sistem politiknya sudah maju pemimpin parti dilantik melalui undi sulit dalam kalangan Ahli Parlimen parti itu. Cara itu menyebabkan pengerusi parti hanya berfungsi sebagai pengerusi tetap. Di Malaysia ini belum berlaku. Pemimpin parti di negara ini umumnya adalah pemimpin organisasi parti; baik Presiden mahupun Setiausaha Agung. Tapi ini juga sudah ada perubahan. Sebab itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai pemimpin PKR dan bukan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.

Begitu juga dengan DAP, Penasihat parti yakni Lim Kit Siang dilihat sebagai pemimpin dan bukan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng. Dalam konteks Pas, Presiden kelihatannya sudah tidak penting lagi. Ikon Pas hari ini ialah Nik Aziz, bukan Abdul Hadi. Sebab itu dalam pilihan raya kecil Manek Urai, gambar Abdul Hadi pada mulanya tidak dinaikkan. Khabarnya ada politik di sebalik itu tetapi saya lebih suka untuk merujuk kepada teori yang saya sebutkan di atas tadi.

Kewujudan pemimpin parti penting dalam memantapkan pelaksanaan perlembagaan, khususnya perlantikan kerajaan. Sebab itu di UK meskipun kuasa melantik kerajaan – sebagaimana di Malaysia - adalah kuasa budibicara Baginda Ratu pada hakikatnya baginda hanya melakukan fungsi formal dan upacara semata-mata. Ini kerana perdana menteri sebenarnya telah ditentukan oleh proses pemilihan pemimpin secara sulit di kalangan Ahli-ahli Parlimen parti majoriti atau gabungan parti-parti di Parlimen. Sebab itu di UK orang tidak terfikir akan wujud Perdana Menteri yang bersembunyi di sebalik gaun Baginda Ratu. Hanya di negara-negara yang demokrasinya primitif seperti Malaysia sahaja ada ketua kerajaan yang menjaja nama Sultan bagi mengesahkan kedudukannya.

Pada saya gambar pemimpin utama parti dalam poster pilihan raya ada makna yang tersendiri. Baik Najib mahupun Anwar ia memberi isyarat kepada pengundi bahawa itulah orang yang akan memimpin kerajaan sekiranya parti atau parti-parti mereka dapat membentuk majoriti di dalam dewan. Ini bermakna meskipun pengundi di Malaysia tidak memilih kerajaan secara langsung sebagaimana rakyat di Amerika Syarikat atau Indonesia mereka tahu bahawa kalau mereka mengundi parti yang Najib pimpin maka mereka menerima atau menyokong Najib sebagai perdana menteri.

Begitu juga bagi mereka yang memilih calon-calon yang berketuakan Anwar. Dengan kata lain meskipun kerangka dan peraturan sistem Westminster tidak berubah stail dan perjalanan politiknya telah beranjak. Satu hari nanti pemimpin parti yang bertanding mungkin perlu berdebat secara terbuka untuk meyakinkan pengundi. Tetapi ini hanya boleh berlaku jika Malaysia mempunyai sistem dua parti yang mantap.

Saya tidak fikir Nik Aziz memikirkan soal itu. Nampaknya apa yang membuatkan beliau nekad mencadangkan Muktamar Khas ialah soal imej yang kritikal dalam menentukan harapan Pas. Jika itu tidak dilakukan kemungkinan besar imej Pas – dan mahu tidak mahu Pakatan juga – akan menurun dan impian untuk menakluk Putrajaya akan tinggal mimpi di siang hari. Nik Aziz tidak pernah mempersoalkan kepemimpinan Anwar dan ia tidak mahu partinya dipimpin oleh kelompok yang suka memasang angan-angan. Ini bukan sahaja membuang masa tetapi mengikis kepaduan Pakatan yang amat penting dalam memikat hati rakyat. Golongan ini sebenarnya menebuk lubang yang boleh menyebabkan bahtera Pakatan karam dipukul ombak dan Nik Aziz mahu mereka dicampak keluar dari kapal!


* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak.

No comments:

Linkwithin