Wednesday, October 28, 2009

Husam nafi ada dalang EGM PAS



KOTA BHARU 27 Okt. - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang dilihat sebagai propakatan pembangkang hari ini menafikan segala desas-desus bahawa beliau adalah kalangan dalang di sebalik cadangan supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan.
Beliau yang kini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat selepas tewas ketika merebut jawatan Timbalan Presiden pada muktamar lepas menegaskan bahawa ia adalah keputusan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

''Orang kata saya di belakang tok guru (Nik Abdul Aziz) tetapi sebenarnya 100 peratus keputusan itu dibuat oleh tok guru sendiri.

''Nama saya dikaitkan dalam banyak perkara tetapi itu nasib saya. Alhamdulillah saya dapat bersabar dan tidak mengulas apa-apa tuduhan yang dibuat terhadap saya.

''Tetapi akhirnya saya percaya yang keruh akan hilang, yang jernih akan timbul dan orang akan tahu niat saya yang sebenar,'' katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Nama Husam dikaitkan oleh sesetengah pihak bahawa dalang di sebalik cadangan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu mempunyai hubungan rapat dan diberi kepercayaan dalam banyak perkara penting membabitkan pentadbiran negeri ini.

Husam juga dikatakan amat mementingkan hubungan dengan sekutu pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai teras untuk menguasai kerajaan kelak.

Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan nekad mencadangkan supaya EGM diadakan bagi membersihkan parti tersebut daripada pemimpin prokerajaan perpaduan.

Ekoran itu, satu mesyuarat khas Pas Pusat akan diadakan pada malam esok untuk membincangkan cadangan itu.

Husam yang juga Exco kanan kerajaan Pas Kelantan menjelaskan, berdasarkan perbincangan dengan Nik Abdul Aziz, cadangan EGM tersebut dibuat bukannya untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin tetapi ia adalah penegasan semula matlamat mereka.

''Saya telah bertemu dengan tok guru untuk mendapatkan penjelasan. Beliau memberitahu EGM ini bukan untuk pemilihan semula tetapi hanya penegasan semula sama ada Pas akan bersama pakatan pembangkang atau UMNO.

''Jadi saya kira EGM itu adalah untuk menentukan identiti dan imej Pas sebelum pilihan raya umum akan datang. Ia bukannya seperti yang digembar gemburkan media tentang pembersihan pemimpin,'' tambahnya.

Katanya, biar apa pun keputusan mesyuarat khas itu, beliau akan menerimanya kerana ia dibuat secara bersama oleh kepimpinan parti.

No comments:

Linkwithin