Friday, June 12, 2009
Mengambil pengajaran Perang Siffin dan usaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan PAS - Khalid Samad
Sanggah Tok Sago
SHAH ALAM: Pada hari terakhir Muktamar, saya telah ke depan, menyokong usul yang dibawa oleh PAS Tambun berhubung pembentukan Suruhnjaya Di Raja untuk mengkaji ‘rampasan kuasa’ di Perak. Dalam penghujahan saya pada hari itu, saya telah menyebut peristiwa perang Siffin dan bagaimana ianya mempunyai kaitan dengan keadaan politik kita pada ketika ini. Oleh kerana masalah masa yang diberikan amat singkat, saya tidak sempat untuk menjelaskan persoalan ini dengan lebih terperinci. Saya akan cuba lakukannya di sini.
Untuk mereka yang tidak tahu mengenai peristiwa Perang Siffin, ianya merupakan peperangan di antara tentera Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah. Ianya berlaku pada penghujung pemerintahan Saidina Ali.
Dalam peringkat-peringkat awal peperangan ini, tentera Saidina Ali memang jelas menguasai pertempuran. Mereka mengasak kedudukan Muawiyyah hingga kelihatan seolah-olah mereka akan mencapai kemenangan. Dalam saat-saat yang genting sebegini, Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita”. Tindakan ini bertujuan untuk meminta pihak Saidina Ali untuk sama-sama menghentikan peperangan dan merujukkan persoalan dan perbalahan yang sedang mereka hadapi kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, biarlah ianya diputuskan secara berbincang berdasarkan Al-Quran dan bukannya peperangan.
Matlamat sebenar tindakan ini dijelaskan oleh Amr Al-As sendiri. Beliau berkata kepada Muawiyyah, “Bila sebahagian dari mereka menolak, pasti akan ada kelompok yang lain yang berkata; ‘Sepatutnya kita menerima’. Maka dengan demikian akan terjadilah perpecahan di kalangan mereka. Dan sekiranya mereka semuanya sepakat untuk menerima saranan kita ini, kita mendapat kesempatan untuk menunda peperangan ini hingga waktu yang tertentu.” Penundaan ini bertujuan untuk melepaskan diri mereka dari keadaan yang begitu tertekan pada ketika itu.
Saidina Ali (KW) yang tidak kurang handalnya dalam soal peperangan serta tipu helah musuh dan juga sebagai seorang yang mengenali Muawiyyah, telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju.
Dengan itu tercapai hajat Amr Al-As. Tentera Ali tidak lagi mengasak kedudukan mereka, kekalahan pada hari itu dapat dielak dan akhirnya Muawiyyah mencapai kemenangan pada waktu lain selepas peristiwa itu.
Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesame kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.
Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. Ini dinyatakan sebagai bukti keikhlasan mereka untuk ‘berdamai’ dengan kita. Tetapi seperti yang saya katakan tempohari, “apalah nilai sepanduk-sepanduk ini berbanding mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing”? Walaupun dengan mushaf-mushaf Al-Quran sendiri, sejarah membuktikan penipuan berlaku! Ya, memang, kita tidak sebaik tentera Saidina Ali. Tetapi ingat! Mereka juga jauh lebih buruk dari tentera Muawiyyah!
Seterusnya mereka akan memuji dan melambung pemimpin-pemimpin yang mencadangkan ‘perpaduan’ ini dan menyatakan betapa mereka berterima kasih dengan cadangan tersebut. Mereka bermesra dengan PAS, bermanja dengan pemimpin-pemimpin pro-perpaduan ini dan dengan itu merejamkan lembing perbalahan di antara kita!
Punca perbalahan dan ‘perpecahan’ di kalangan kita adalah kerana cadangan ‘perpaduan’ yang datang tanpa perbahasan dan tiada yang mempersetujuinya kecuali sedikit. Namun yang sedikit yang setuju bercakap bagi yang ramai yang tidak!
Yang agak pelik, dalam senario peperangan Siffin, cadangan perdamaian datangnya dari pihak yang diasak kerana hampir-hampir dikalahkan. Dalam keadaan kita sekarang, perdamaian dicadangkan oleh kita yang sedang mengasak yang hampir-hampir menang! Dengan itu akan terlepaslah peluang untuk mencapai kemenangan yang muktamad!
UMNO/BN akan menggunakan ‘persetujuan’ mereka untuk menimbangkan cadangan PAS sebagai bukti keikhlasan mereka. Penolakan oleh PKR dan DAP yang hampir pasti berlaku akan digunakan sebagai bukti ketidak-ikhlasan mereka berdua. “Mereka tidak mahu orang Islam Melayu bersatu” akan dilaungkan secara nyaring oleh pemimpin-pemimpin yang sedang seronok dilambung pujian dan sanjungan dari semua pihak. Pegawai Kerajaan, Professor Universiti, Pakar perubatan Melayu UMNO dan sebagainya akan disusun satu demi satu untuk memberi sanjungan dan akhirnya apa yang dinginkan akan berlaku, seperti berlakunya apa yang diinginkan oleh Amr Al-As dalam perang Siffin.
Perbalahan akan berlaku di antara kita di dalam PR dan malah di dalam PAS itu sendiri dan akhirnya, pemimpin-pemimpin yang disanjung dan dilambung itu akan menjadikan PAS berseorangan berpakat dengan UMNO. Tidak mungkin PAS menolak apabila cadangan itu datang dari PAS sendiri! Pemimpin pro-perpaduan ini akan berusaha supaya perhubungan kita dalam PR semakin keruh hingga akhirnya PAS diminta keluar kerana dilihat semakin rapat dengan UMNO. Akan kedengaran pada masa itu, “Bukan kami yang nak keluar, kami diminta keluar!” dan “Kalau dengan PKR dan DAP boleh bersama, takkan dengan UMNO tidak boleh”. Mereka akan bertanya kepada ahli-ahli yang masih terpingnga-pingnga dengan keadaan yang baru ini. Hanya semalam menyerang UMNO/BN, hari ini menjadi kawan? Hanya semalam bersama PR, hari ini menjadi lawan?
Adakah ini disebabkan inginkan kemenangan yang segera seperti mi segera atau mi celup? Adakah ianya kerana tidak sedar bahawa kita sebenarnya sudah berada diambang kemenangan? Atau, lagi teruk, adakah ianya disebabkan keengganan mencapai kemenangan melalui Pakatan Rakyat? Ini semua merupakan persoalan yang valid dan wajar difikirkan bersama.
Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan oppurtunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.
Namun yang lebih teruk, keadaan kita akan begitu terdedah, bergantung kepada ihsan UMNO. Sekiranya kita dikhianati UMNO, ke mana hendak kita pergi? Sekiranya selepas mencapai matlamat mereka dan berpisahnya kita dari PR dan kekuatan PR tergugat, UMNO mengusir kita seperti dahulu, ke mana hendak kita pergi?
Berseorangan, bagaikan parti politik murahan, ayam tak patuk, itik tak sudu. Ke PR pun tidak dan ke BN pun tidak. 3 penjuru? Yang akan menang ialah salah satu dari dua kumpulan parti yang lain, tetapi bukan PAS! Mahu merayu dan kekal bersama ‘perpaduan’ PAS-UMNO-BN? Kerusi dimenangi UMNO tetap ditandingi UMNO. Kita bertanding kerusi yang kita menang dan kerusi yang PR menang. Dengan sokongan golongan anti-BN yang terdiri dari Cina dan India serta Melayu yang dibelakang mereka, kita akan kalah. Kecuali di Terengganu dan Kelantan.
Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain…
Oleh YB ABDUL KHALID SAMAD
Yang Dipertua PAS / Ahli Parlimen Shah Alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
saya cukup bersetuju dengan pandangan tuan haji khalid tersebut. semua ahli pas dan penyokonh pas seumpama saya tertanya tanya apakah sebenarnya yang kita ingin capai hasil dari cadangan perpaduan ini. kami bukan berhasrat untuk menentang pemimpin tapi pemimpin yang dilantik dengarlah luahan ini. bak kata tuan guru nik abdul aziz, kita sama sekali tidak sama dengan perjuangan yang dibawa oleh pas. bayangkan tatkala kita bercakap atas dasar soal kerajaan perpaduan, bererti kita berpadu dengan umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, ambil kata hanya kerajaan perpaduan bukannya parti perpaduan, bererti kita tetap mengiktiraf umno. sudah tentu kita kena bekerjasama dengan umno sampailah pilihanraya berikutnya. sedeangkan apa yang kita ingin impikan ialah kerajaan pakatan rakyat dalam pilihanraya berikutnya. so, buat apa lagi ingin fikirkan kerajaan perpaduan dengan umno sedangkan pilihanraya berikutnya hanya dalam 3 tahun lagi. berusaha kearak pilihanraya dan tubuh kerajaan pr. selepas itu andai menang kita dah menjadi kerajaan dan umno sudah menjadi pembangkang. so tatkala itu kerajaan perpaduan sudah tiada nilai lagi. percayalah sebagai pemimpin janganlah sesekali mempersiakan harapan bergunung rakyat malaysia terhadap kita.
Sebenarnya PAS atau PKR tidak menang besar pada PRU12 yang lalu, Yang menang besar ialah DAP. Kerana kemenangan PAS dibantu DAP, kemenangan PKR di bantu DAP. Itu sebab PAS dan PKR terpaksa menurut perintah DAP di negeri Perak dan Selangor. Di P Pinang pula PAS terus di pandang sepi oleh DAP.
Setiap gerak dan perbuatan PAS dan PKR mesti selaras dengan kehendak DAP. Lihat saja berkenaan 'kerajaan perpaduan', DAP dengan lantang memberi amaran dan ugutan kepada PAS. Sepatutnya PAS boleh buat apa saja kerana PAS BUKAN sebahagian dari DAP. Mengapa DAP berani memberi amaran kepada PAS?
Bah
tidak faham...
tulisan seumpama ini kelihatan berat sebelah dan ditulis atas tafsiran 'perpaduan' yang bukan dari org yg mencadangkannya.
saya kira kesilapan besar presiden ialah istilah perpaduan yg digunakan dan dgn mudah diterjemah umum mengikut selera mereka bukan menurut kefahaman presiden sendiri.
Saya lihat UG juga adalah strategi....cumanya mungkin belum dijelas secara terperinci maka ia menjadi salah faham dan bahan spekulasi...
saya sedih....pemimpin pas mengukur kemenangan kita cuma dari sudut memenangi beberapa siri pilihanraya kebelakangan ini. pemimpin seperti dato' khalid juga kelihatan lebih teruja menguburkan UMNO dan sgt gembira mereka dlm situasi lemah sekarang.
mungkin dalam bayangan kita....TAK SABAR menjulang anwar di kerusi PM dan memasuki pejabat di putrajaya...
setakat memenangi pilihanraya ini kita patut bertanya di kedudukan mana Islam yg berjaya kita laksanakan yg kita akui sebagai matlamat perjuangan pas...
selain dari menang pilihanraya apa kekuatan Islam yg boleh kita julang didalam pakatan ? Hatta nak sebut pasal hudud dan negara Islam pun kita tak boleh lantang dan kenA BANYAK PERTIMBANGAN...
saya harap kita bersatu atas semangat perjuangan Islam.
PR sekadar jalan....ia akan jadi sesuai sebagai jalan jika ia turut memperjuangkan Islam...
Pemimpin kita tidak berhati-hati dalam menengahkan isu seperti Kerajaan Perpaduan ini.
Secara tidak sedar kita telah membiarkan kita terbelit dalam strategi kita sendiri.
UMNO telah mengambil kesempatan sepenuhnya untuk memerangkap kita dalam kemelut Kerajaan Perpaduan dan sekarang kita telah terbelit yang boleh membunuh PAS itu sendiri.
UMNO hanya mahu lihat perpaduan dalam PR dipecahkan. Mereka tidak pernah ikhlas pun untuk bersatu dan ianya hanyalah provokasi bertujuan untuk melemahkan PR.
Isu perpaduan Melayu dimainkan begitu rupa sehingga sebahagian Pimpinan kita terpengaruh dan melatah.
Saya menyeru kepada Pimpinan PAS supaya segera duduk semeja dengan Pimpinan PR yang lain agar isu ini dapat dimatikan dan menyekat UMNO dari terus memutarbelitkan.
Tidak akan ada untungnya untuk PAS, PR maupun orang-orang Melayu Islam dalam Kerajaan Perpaduan ini.
Apakah dengan kerjasama dengan UMNO, maka UMNO akan membenarkan PAS mengetuai Kerajaan?
Pastinya TIDAK.
Pimpinan PAS harus memainkan peranan yang lebih besar dalam PR jika PAS ingin mengetuai PR bukan dengan meninggalkan PR dan lari kepada UMNO/BN.
Peranan bererti berupaya mencorakkan PR kepada satu model politik yang dapat diterima oleh semua. Pemerintahan Islam sebenarnya dapat diterima oleh semua, Muslim dan bukan Muslim tetapi kita harus bijak menterjemahkannya agar ianya dapat diterima.
Masyarakat Quraish asalnya adalah kafir dan mensyirikkan Allah swt tetapi kebijaksaan Rasullah saw telah merubah kesemuanya kepada Islam. Antara perkara penting dalam dakwah Rasullallah saw ialah tentang akhlak baginda.
Antara akhlak Rasullallah saw yang disanjung dan disegani adalah AMANAH. Berpegang pada janji adalah suatu AMANAH.
Maka bagi Pemimpin Islam agarnya dapat diterima oleh semua adalah mesti AMANAH kepada janji yang telah dimeterai. Ini adalah perkara asas yang akan membuat Islam itu diterima dan akan menjadi ikutan.
Jika perkara asas inipun tidak dapat kita laksanakan usahlah kita berharap akan Islam ini dapat diterima terutama oleh bukan Islam yang memang sedia jahil. Apatah lagi dalam mana Islam berada dalam suasana negatif pada bukan Islam akibat dari propaganda jahat oleh musuh-musuh Islam diseluruh dunai.
Berfikirlah wahai Pemimpin-Pemimpin ku.
Post a Comment