Wednesday, June 10, 2009

Demi UMNO, PAS berkorban dan dikorbankan (Udah Abih Codek)

http://jantantuya.blogspot.com

Teman dimintak oleh seorang kenalan untuk mengulas tentang pembentukan kerajaan perpaduan di Malaysia. Dan teman mengaku bahawa teman pernah dan selalu menulis di blog ini tentang sokongan teman terhadap idea ini. Pendirian teman masih sama, teman hanya menyokong kerajaan perpaduan yang diilhamkan oleh DSAI pada 16 September 2008. Bukannya kerajaan perpaduan ala PAS.

Ada dua bentuk kerajaan perpaduan yang teman paham. Pertama kerajaan perpaduan yang disokong oleh 82 AP PR dan lebih 30 lagi AP BN termasuklah AP UMNO. Kerajaan perpaduan ini diketuai oleh DSAI yang telah meletakkan sasarannya boleh dilaksanakan pada 16 September 2008. Tetapi PAS menolak idea ini kerana jumlah AP Melayu kurang berbanding AP bukan Melayu. Hasrat kerajaan perpaduan ilham DSAI dan mungkin juga Kuli telah gagal dilaksanakan angkara hilangnya sokongan pimpinan utama ulamak PAS. Sebab itulah DSAI kelihatan tidak bersungguh-sungguh ketika membantah penolakan usul undi tidak percaya kepada Pak Lah di parlimen.

Kedua, kerajaan perpaduan yang diketuai oleh pimpinan utama UMNO dengan kerjasama PAS. UMNO telah berjaya mempengaruhi PAS kerana ahli-ahli parti ini adalah Melayu dan Islam. Lagipun PAS tidak mungkin mampu mengIslamkan perjuangan DAP dan PKR. Pada waktu yang sama parti-parti komponen BN telah mula berani mempersoalkan kewibawaan UMNO. Hanya dengan kerjasama PAS sahaja, Melayu dan Islam boleh kembali menjadi ‘tuan’ di negara ini.

Bukankah sebaik sahaja selesainya PRU 12 pada 8 Mac 2008, UMNO telah mula merisik dan meminang PAS? Yang merisik tidak mungkin mengenakan syarat. Yang merisik mesti bersedia menerima apa sahaja syarat yang diminta. Hatta jawatan MBpun boleh diserahkan kepada PAS. Begitu juga dengan beberapa kementerian akan dipimpin oleh PAS. Tawaran yang paling menarik ialah segala urusan agama dan dakwah Islam diserahkan bulat-bulat kepada PAS. Memang inilah perjuangan PAS iaitu mendaulatkan Islam melalui al-quran, hadis dan qisas. Dan peluang untuk membuktikannya telah terhidang. Jikalau kekal bersama DAP dan PKR, amat sukar untuk PAS melaksanakannya. PAS tidak yakin yang DAP akan menyokong kehendaknya. PAS masih meragui dan berprasangka buruk terhadap rakan pakatannya.

Teman sendiri sebagai orang Melayu dan beragama Islam langsung tidak percaya dengan niat ‘murni’ UMNO. PAS mungkin mahu berdamai dengan UMNO, tetapi UMNO tetap UMNO. Membantu UMNO seumpama melepaskan anjing yang tersepit. Meraung minta ditolong. Takkan Melayu dan Islam PAS tak tolong UMNO. Bukankah Islam itu bersaudara? Sakitnya UMNO, sakit juga PAS. Lupakanlah kisah silam. Yang telah berlalu biarkan berlalu. Melayu dan Islam mesti diperkasakan di bumi ini. UMNO dan PAS mesti memulakan politik baru. Cantik dan indahnya susunan ayat-ayat bicara janji manis UMNO pada PAS.

Sebagai rakyat marhaen, teman mengharapkan UMNO dapat dimatikan secepat yang mungkin. Peluang untuk mematikan UMNO begitu cerah pada PRU 13 nanti. UMNOpun sedar yang ia akan mati jikalau PAS memberi komitmen terbaiknya kepada PR. Tetapi sayang PAS masih ada sisa simpati pada lawannya UMNO. PAS tidak sanggup membunuh lawan yang selalu berhelah dan memukulnya. PAS sentiasa berkorban demi UMNO walaupun PAS juga sedar bahawa PAS pernah terkorban oleh UMNO.

Biarlah PAS hilang sokongan pengundi asalkan UMNO boleh terus memerintah Malaysia. Terima kasih PAS.

1 comment:

Kamarul@manodin adalah perunding Takaful Ikhlas anda hubungi 019 -390 9495 sms @ emel kamarul_baharin74@yahoo.com untuk maklumat lanjut . said...

Memang inilah perjuangan PAS iaitu mendaulatkan Islam melalui al-quran, hadis dan qisas.

petikan diatas mgkn tersilap taip

sepatut mungkin dibaca

"Memang inilah perjuangan PAS iaitu mendaulatkan Islam melalui al-quran, hadis, ijmak, dan Qias


wallahualam

Linkwithin