Ketua Pembangkang Dari UMNO Bang Tajol Rosli
Usaha pembangkang diketuai mantan Menteri Besar Dato Seri Tajol Rosli Ghazali untuk menguji dan “memporak - perandakan” persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan tidak kecapaian.
Persidangan selama empat hari itu banyak diisi dengan “gertakan” dan usaha untuk melemahkan semangat bersuara para Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat diketuai Menteri Besar Dato Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin. Bagaimanapun “celahan dan persendaan” itu tidak mendatangkan hasil atau menggugat persidangan, malahan menjadi bahan gelak ketawa orang ramai.
“Dulu lain, sekarang lain,” bertepatan untuk mengambarkan sikap 28 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional pada persidangan ini yang baru pertamakali belajar menjadi pembangkang. Bagaimanapun mereka berjaya menjadi pembangkang jika melihatkan pada karenah mereka yang kerjanya sentiasa membangkang tanpa mendengar apa jua penjelasan kerajaan negeri.
Kalau hendak diambilkira, apa yang dituturkatakan pembangkang junior (walaupun Tajol sudah lebih 30 tahun menjadi wakil rakyat) itu lebih bersifat retorik, umpama memukul tin-tin kosong … yang kuat bunyinya tetapi tidak mempunyai isi pati yang konkrit. Mungkin terasa kejanggalannya bagi mereka yang puluhan tahun menjadi pemerintah dan kini menjadi pembangkang.
Benarlah, persidangan dewan undangan kali ini lebih bersifat medan “membangkitkan kemarahan” dan meluahkan “kebongkakan” pembangkang kerana gagal memenangi hati rakyat pada pilihan raya ke 12 lepas.
Pada hari permulaan, terpacul beberapa patah perkataan luahan kecewa Tajol yang ternyata masih belum dapat menerima kenyataan bahawa beliau bukan lagi Menteri Besar. Ketika meminta penjelasan atau bertanya Tajol kerapkali berkata ”Kalaulah saya menjadi Menteri Besar” …. dan ”Semasa saya menjadi Menteri Besar…” . Walhal tentunya beliau sedar bahawa beliau sekadar mantan Menteri Besar.
Pembangkang menggunakan sepenuhnya ruang dan kesempatan dalam dewan undangan negeri untuk membangkitkan unsur-unsur yang retorik yang tidak mendatangkan hasil kecuali untuk menghina dan mendabik dada bahawa merekalah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang berpengalaman.
Sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri, pembangkang menimbulkan isu yang remeh temeh dengan hasrat menguji kewibawaan Yang Dipertua Dewan V Sivakumar dan juga Menteri Besar Perak Dato Seri Haji Mohamad Nizar Jamaludin.
Pada hari ketiga pula menyaksikan 28 ahli Dewan Undangan Negeri BN bertindak keluar dari persidangan diketuai Dato Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) ekoran tindakan Sivakumar tidak memberi laluan kepada Dato Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN-Kubu Gajah) berucap. Insiden ini kononnya kerana Sivakumar tidak menepati janji (sehari sebelumnya Raja Ahmad menolak untuk berucap walaupun diberi kebenaran).
Semua ini adalah gara-gara mencari publisiti murahan, kata Sivakumar.
Pembangkang dikepalai Tajol, Raja Ahmad dan Zamberi (BN-Pangkor) merupakan rangkaian tekong yang sedaya upaya cuba mencari helah dan jalan mudah untuk menarik perhatian ramai. Bagaimanapun usaha mereka gagal.
No comments:
Post a Comment