Oleh Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
December 12, 2012
Gerakan Mahasiswa generasi 60an-70an
merupakan satu gelombang lahir dari hati nurani generasi muda bagi
memperjuangkan nasib rakyat dari ditindas pemerintah.
Syarahan Demonstrasi Baling anjuran
Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 10 Disember lalu menarik untuk kita ungkapkan
semula gelombang kebangkitan rakyat yang dipimpin oleh golongan tani dan
mahasiswa.
Gerakan Mahasiswa yang ditonjolkan
oleh generasi 60an dan 70an adalah merupakan satu gelombang yang lahir dari
hati nurani generasi muda bagi memperjuangkan nasib rakyat dari ditekan
oleh pemerintah.
Dalam melihat hal ini saya suka
untuk merujuk kepada sebuah buku lama yang diterbitkan pada tahun 1969 oleh
Prof Faeur dari Universiti Toronto dalam bukunya The Conflict of Generation –
The Character and Significant of the Student Movement.
Beliau menyatakan bahawa protes dan
bantahan yang ditunjukkan oleh mahasiswa adalah hasil daripada ‘konflik
generasi’ atau ‘generational conflict.’
Konflik antara ‘generasi baru’ dan
‘generasi lama’, adalah disebabkan oleh kerosakan bermoral, peradaban yang
rosak, lapok, penyalah gunaan kuasa, tidak bertanggungjawab dan melakukan
penindasan. Konflik antara generasi yang dicetuskan oleh penindasan adalah
faktor utama kebangkitan rakyat untuk menyatakan hak.
Peranan mahasiswa dalam kebangkitan
rakyat jelas terpancar ditambahkan lagi puisi yang dinukilkan oleh Usman Awang
(1967):
Dengan Buku di tangan kau nyayikan
lagu itu
Meresap pada jantung bangsa
Lagu daerah teluk gong
Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Dengan Berani berteriak
Untuk petani-petani yang tertindas
Lihat pancar mata ayah mu di desa
Lihat senyum ibu mu di kampung
Kebanggaan bahawa kau anak mereka
Tanda hormat
Sajak ini yang dinukilkan oleh Usman
Awang sebagai tanda hormat dan penghargaan beliau kepada mahasiswa yang pada
ketika itu memperjuangkan isu Telok Gong.
Tragedi yang sama juga berulang lagi
tujuh tahun selepas itu pada tahun 1974 yang mana selepas pilihanraya 1974
negara digemparkan dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan ekonomi
termasuklah kejatuhan harga getah.
Keadaan menjadi teruk apabila
dikejutkan dengan berita kebuluran yang berlaku di Kedah sehingga ada di kalangan
rakyatnya yang terpaksa makan sejenis ubi kayu gadum yang mengandungi racun.
Oleh kerana itu berlakunya kes kematian walaupun pihak kerajaan menafikan
dakwaan tersebut.
Malaysia ketika ini menyaksikan
kebangkitan besar-besaran mahasiswa pasca merdeka menyatakan pandangan dan
bantahan ke atas apa yang telah berlaku.
Dalam sejarah gerakan mahasiswa, ini
adalah merupakan gerakan terbesar yang pernah dicatatkan, dengan melibatkan
hampir 10,000 mahasiswa, hampir 2,000 mahasiswa ditangkap dan tahanan ISA yang
paling lama pernah dikenakan kepada mahasiswa.
Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar
Ibrahim yang ketika itu adalah Presiden ABIM telah ditahan selama dua tahun di
bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Dr Syed Husin Ali selaku
pensyarah Universiti Malaya pada ketika itu ditahan dibawah ISA selama enam
tahun.
Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) telah dirangka lebih awal iaitu pada tahun 1971, tetapi peruntukan
undang-undang di dalam akta tersebut dikatakan tidak cukup ketat bagi mengekang
gerakan mahasiswa pada ketika itu.
Demonstrasi Baling adalah merupakan
alasan oleh pihak kerajaan untuk meminda akta tersebut pada tahun 1975.
Pada ketika ini semua pertubuhan
mahasiswa adalah berdaftar di bawah universiti dengan meletakkan kuasa mutlak
kepada Naib Canselor dan Menteri yang dipertanggungjawabkan.
Tragedi hitam
Mahasiswa dilarang sama sekali untuk
terlibat dengan politik dan pertubuhan luar. Ini adalah merupakan satu tragedi
hitam dalam sejarah mahasiswa.
Saya juga ingin memetik beberapa catatan
yang diterbitkan dalam Makalah Ar-Risalah 1975:
“Perhimpunan pelajar-pelajar
tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata.
Pelajar-pelajar telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar
mereka.
FRU telah mengepung 8,000 pelajar
yang sedang berlindung di Masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih
mata ke arahnya. Ketika berada di dalam masjid pelajar-pelajar tersebut telah
melaung-laungkan kalimat “ALLAHU AKBAR” dan beberapa kali mereka setelah mengalunkan
azan.
Sementara menunggu ketibaan waktu
zohor mereka telah berzikir beramai-ramai selama kira-kira 20 minit. Setelah
masuk waktu mereka telah menunaikan Fardzu Zohor secara berjema’ah.
FRU terus berusaha untuk memberkas
pelajar-pelajar dan dalam operasi tersebut beberapa orang pelajar telah cedera.
Akhirnya FRU telah menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 orang,
pelajar wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfield dan
Jalan Bandar.
Pada sebelah malamnya mereka telah
ditempatkan di Polis Depot Jalan Gurney. Pelajar-pelajar yang ditahan hanya
diberi makan selepas 11.00 malam.
Ketika berada dalam tahanan pelajar
pelajar tersebut dikatakan telah melaungkan azan pada tiap-tiap kali masuk
waktu dan menunaikan sembahyang dengan berjemaah secara bergilir-gilir. Kesemua
pelajar-pelajar yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah pada keesukan
harinya.
Kesemuanya tidak mengaku salah.
Mereka telah dibebaskan dengan dibenarkan menjamin diri sendiri sebanyak antara
$200.00 hingga $300.00 seorang. Mereka akan dibicarakan antara Februari hingga
April tahun 1975. Tangkapan tersebut telah tidak dapat menahan pelajar-pelajar
dari terus berdemonstrasi meskipun hanya terbatas di kampus-kampus sahaja,
kerana dikawal ketat oleh FRU.
Gerakan menangkap
pemimpin pelajar
Demo dalam kampus itu berjalan
beberapa hari. Tindakan lanjut yang diambil oleh pemerintah ialah gerakan
menangkap pemimpin-pemimpin pelajar, pensyarah-pensyarah dan pemimpin-pemimpin
belia.
Polis telah memasuki kampus
Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan pada jam 2.00 pagi hari Ahad 8
Disember 1974. Polis telah menggeledah bilik-bilik asrama, pejabat-pejabat dan
lain-lain bangunan Universiti untuk mencari dan menangkap mahasiswa di bawah
ISA.
Pengajaran besar yang harus diambil
daripada Demonstrasi Baling selain daripada keberanian mahasiswa menjadi juru
bicara rakyat adalah iktibar kepada isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa
ketika itu tidak bersifat ‘self centered’ yang berlegar disekitar isu dalaman
dan isu yang remeh temeh. Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan adalah bersifat
nasional menunjukkan kematangan mahasiswa di dalam berfikir.
Menghayati sejarah bererti bukan
disimpan di dalam peti muzium untuk kenang-kenangan tetapi sejarah adalah
coretan pengalaman untuk membina sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.
Mahasiswa seharusnya berasa jelek dengan perkataan ‘senyap’.
Bersikap apologia dengan berdiam
diri dan berpeluk tubuh melihat kecelakaan berlaku kepada rakyat.
Mahasiswa adalah kelompok terdidik
dalam masyarakat punya idealisma dan aktivisma yang tinggi untuk menyatakan
hati nurani majoriti yang ditindas dan dizalimi. Kronisme dan pembaziran wang
ringgit negara untuk segolongan kecil dalam masyarakat tidak boleh ditolensi
lagi.
Dalam aspek ini saya amat bersetuju dengan
apa yang diungkapkan oleh Prof Diraja Ungku Aziz, “kepimpinan akan lahir
daripada mahasiswa yang ‘terpelajar’ dan ‘mencabar’ walaupun beliau sendiri
terlibat dalam mengekang mahasiswa dalam peristiwa 3 Disember 1974.
Diakhir tulisan saya, saya ingin
meninggalkan persoalan apakah yang bakal kita lakukan apabila harga barangan
dan bebanan sara hidup yang makin tinggi?
*Penulis ialah Pengarah Biro
Mahasiswa, Angkatan Muda Keadilan Malaysia
No comments:
Post a Comment