Sunday, July 26, 2015

DHPP Perak Umum Keluar PAS,PKR Sedia Bekerjasama Dengan Gerakan Harapan Baru

PKR Akhirnya Bersuara, Sedia Kerjasama Dengan Gerakan Harapan Baru



PKR bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik yang mengamalkan rangka kerja dasar yang sama, kata presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya ingat kita punya persahabatan dengan semua orang walaupun dengan Umno. Kita sama...kita mempunyai perjuangan.

"Kita ada kerangka kerja dasar yang sama di mana kita dan semua anggota politik bersama dengan rakyat Malaysia yang prihatin tentang krisis nasional yang melanda negara, kita ajak bersama untuk menyelesaikannya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Jelajah Amanat Presiden di Butterworth hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman dan barisan kepimpinan PKR negeri.

Dr Wan Azizah berkata demikian mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dalam Mingguan Malaysia hari ini yang menyatakan PAS bersedia menamatkan hubungan dengan PKR jika parti itu bersetuju menyertai DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang baru.

Haron dilaporkan berkata kemungkinan pendirian itu dibuat selepas meneliti kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menggambarkan seolah-olah mahu memutuskan hubungan dengan PAS.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah enggan mengulas berhubung perkara itu dan meminta untuk mengesahkan perkara itu terlebih dahulu.

Ditanya mengenai pendirian yang diambil PKR terhadap GHB, anggota Parlimen Permatang Pauh itu memberi 'jawapan selamat' dengan berkata: "Kita semua kawan...kita ada keterbukaan, mereka kawan lama kita. Kita sebagai kawan, kawanlah...atas kerangka kerja dasar yang sama, kita bersama," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata keutamaan dan pendirian PKR ketika ini adalah bersikap lebih inklusif untuk menjaga keharmonian dan memakmurkan negara serta ekonomi.

"Kita harus bersedia untuk menonjolkan kepimpinan dan di sini Keadilan perlu memainkan peranan penting bagi memastikan semua parti dan rakyat akan bersama-sama sebagai satu pasukan yang mantap bagi menyelamatkan negara," katanya.

Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu minggu lepas mengumumkan penubuhan GHB yang terdiri daripada pemimpin kanan PAS yang gagal dalam muktamar parti bulan lepas.

GHB, yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat sekarang selepas DAP dan PAS putus hubungan. Rakan kongsi ketiga dalam Pakatan Rakyat ialah PKR.

No comments:

Linkwithin