Wednesday, August 14, 2013

Pelbagai NGO bentuk gabungan Bantah TPPA


tppa-demo2KUALA LUMPUR 14 Ogos: Pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) samada berhaluan kiri dan kanan bergabung bagi memberi tekanan terhadap Putrajaya berhubung  isu Perjanjian Kerjasama Trans- Pasifik (TPPA).
Gabungan itu, yang dikenali sebagai Badan Bertindak Bantah TPPA atau Bantah TPPA, dijangka memberi  rintangan kepada rundingan perdagangan 12 negara yang diketuai Amerika Syarikat (AS).
Ketua Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mashar dalam sidang akhbar hari ini berkata, gabungan itu berkembang sejak dua bulan lalu dan terus mendapat sokongan.
Kumpulan itu, terdiri daripada 50 organisasi termasuk Suaram, Majlis Perundingan Islam Malaysia, Majlis Aids Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) dan Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) berkata,  TPPA bertujuan mengembangkan cita-cita perniagaan multinasional AS dengan membunuh perniagaan tempatan melalui penyingkiran perlindungan perdagangan.
Minggu lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, TPPA menjadi alat mempromosikan hegemoni AS kerana kebanyakan fasal dalam perjanjian itu bertujuan menghadkan peranan kerajaan dan memperkukuhkan penguasaan korporat dalam dasar perdagangan.
Salah satu kebimbangan terbesar terhadap perjanjian berat sebelah itu adalah harga ubat-ubatan akan melambung sekiranya perjanjian itu diteruskan.
Kumpulan itu berkata, Amerika Syarikat mencadangkan satu fasal yang akan memudahkan syarikat-syarikat farmaseutikal besar untuk mendapatkan paten ubat dan hak cipta lebih lama, menjadikan sukar untuk rakyat biasa mengakses ubat generik  dengan harga berpatutan.
Kebimbangan lain adalah pelanggaran hak asasi terhadap pekerja tempatan dan juga dasar-dasar domestik berhubung penyelesaian pertikaian pelabur-negeri (ISD) yang  memberi keuntungan besar kepada pelabur asing.
Mohd Nizam berkata, surat bantahan dikemukakan kepada Kabinet, yang dijadualkan akan mendengar taklimat mengenai TPPA oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) esok, lapor portal The Malay Mail.
Bersetuju dengan pendirian Anwar dan Pakatan Rakyat, kumpulan itu turut menggesa Putrajaya menangguhkan rundingan sehingga analisis kos-faedah yang adil dan menyeluruh serta kajian mengenai TPPA didedahkan kepada umum.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54787

No comments:

Linkwithin