Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memang dalam bahaya! Keadaan ini bukan kerana statement 'akan tumbang pada 31 Ogos' yang diucapkan oleh Dato' Seri Tajol Rosli. Bahaya itu sudah bermula sebelum Dato' Seri Hj. Nizar mengangkat sumpah sebagai MB lagi. Dengan kata lain, bahaya itu telah bermula pada tengah malam 8 mac 2008 selepas keputusan pengiraan undi PRU12.
Pakatan Rakyat ada 31 kerusi manakala BN 28 kerusi. PR membentuk kerajaan hanya dengan kelebihan 3 kerusi. BN hanya perlu 2 kerusi terbang menyeberang untuk membolehkan mereka berkuasa semula.
Sejak saat itu Pakatan Rakyat memang dalam bahaya. Syukur kepada Allah kerana memberikan kekuatan kepada semua 31 YB kita untuk kekal mempertahankan prinsip sehingga sekarang.
Namun begitu kekuatan pertahanan kita untuk menyempurnakan tempoh berkuasa antara 3 hingga 5 tahun lagi memang layak dibimbangi. Sejarah telah membuktikan betapa UMNO/BN sanggup melakukan apa saja demi kuasa yang merupakan satu-satunya jalan serta matlamat hidup mereka. Maruah dan dosa bukan isu bagi mereka yang hidup dengan prinsip 'matlamat menghalalkan cara'.
Tulisan ini bukan bermaksud membincangkan kemungkinan yang boleh berlaku atau cara mengatasi kemungkinan itu. Tulisan ini bertujuan mengajak rakan-rakan seperjuangan dalam PAS agar menghitung diri dan organisasi masing-masing secara menyeluruh demi pencapaian yang lebih bermakna di masa mendatang. Kita perlu lebih objektif dalam langkah dakwah kita serta dalam realiti percaturan politik negeri Perak.
Perak adalah negeri yang melahirkan PAS. Gunung yang merbahaya di bumi Perak ini bukan setakat menggerunkan musuh sekulit tetapi turut menggentarkan jiwa penjajah British yang punyai segala kelebihan fizikal. Perak memang hebat kerana melahirkan Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Prof. Dr. Zulkifli Mohamad, Hasan Adli Singa PAS dan ramai lagi tokoh perjuangan ini.
Di sebalik sejarah yang hebat itu, hari ini PAS tidaklah gemilang di bumi kelahirannya ini. Setakat ini PAS hanya boleh dikaitkan dengan kawasan di sebelah utara iaitu Parit Buntar dan Bagan Serai. Kawasan majoriti Melayu/Islam lain masih berkarat birunya. Selama dan Batu Kurau serta ratusan kampung Melayu yang mengelilinginya masih tak terdaya dihijaukan walau pun komitmen keagamaan penduduknya kelihatan terserlah berbanding Perak Tengah dan Selatan. Parit yang membuat kejutan pada tahun 1999 terus kecundang dalam dua pilihanraya berikutnya. Hilir Perak yang menyediakan tokoh-tokoh hebat kepimpinan negeri seperti Ustaz Misbah dan Sdra Muhaimin, juga tidak memperlihatkan perkembangan menarik. Kuala Kangsar, Lenggong dan Grik tak kemana dari dulu hingga sekarang. Perak Selatan yang memiliki Ustaz Tarmizi dan Ustaz Zulkarnain juga hanya bertahan dengan perkembangan yang perlahan dan berdikit-dikit.
6 kerusi yang dimenangi dalam PRU12 bukanlah petunjuk kepada kekuatan PAS yang sebenar di negeri ini. Umum mengakui bahawa faktor Makkal Shakti memainkan peranan besar bagi kemenangan calon Pakatan Rakyat di seluruh negara termasuk negeri Perak. Majoriti kemenangan yang agak selesa hanyalah di kerusi N.51 yang di wakili oleh Menteri Besar. Itu pun dibayangi kekuatan besar Makkal Shakti. PAS Lumut mengakui bahawa pertambahan undi Melayu/Islam hanya pada kadar 10% sahaja.
Kenapa majoriti Melayu Perak masih tidak dapat menerima PAS? Sukar dipercayai jika dikatakan Melayu Perak menolak PAS kerana dasar Islam yang diperjuangkan. Melayu tidak menolak Islam sebagai asas perjuangan.
Salah satu rumusan awal tentang asas penolakan itu ialah mereka tidak memahami Islam sebagai Ad-Deen dalam konteks sebenar seperti yang kita yakini. Sebab kedua ialah mereka masih percaya bahawa UMNO juga memperjuangkan nasib umat Islam dan sentiasa berusaha menegakkan syiar Islam.
Mind-set ini telah berakar umbi dalam diri majoriti orang Melayu. Penjajah berjaya menyemai persepsi itu dalam jiwa datuk-nenek Melayu sejak era Malayan Union lagi. UMNO/BN juga berjaya menyambung misi penjajah. Semua sistem dalam pemerintahan negara yang boleh menjurus kepada pembentukan jatidiri, telah diolah dengan penuh licik oleh UMNO untuk menghasilkan jiwa Melayu/Islam yang prejudis dan skeptik terhadap Islam.
Melayu jenis inilah yang masih setia menyokong dan mengundi UMNO/BN. Aktivis PAS wajib insaf bahawa UMNO masih menjadi pilihan Melayu/Islam. Daripada 28 kerusi BN dalam DUN Perak, UMNO menguasai 27 kerusi.
PAS menang 6 kerusi kawasan Melayu/Islam manakala PKR 3 kerusi. Jumlah kerusi kawasan Melayu/Islam yang kita menangi hanya 9 berbanding 27 milik UMNO.
Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan kombinasi 22 ADUN bukan Melayu/Islam (DAP-18, PKR-4)dan 9 ADUN Melayu/Islam (PAS-6, PKR-3).
Angka-angka ini patut direnung dengan penuh insaf oleh pemimpin dan aktivis PAS semua peringkat di negeri Perak. Pengaruh PAS memang bertambah berbanding masa lalu, tetapi hanya sedikit dan perlahan. Kejayaan Pakatan Rakyat bukan kemenangan perjuangan dan cita-cita Islam sebenar. Pencapaian ini hanya selangkah ke depan bagi matlamat perjuangan kita yang hakiki. Destinasi kita masih jauh.
Kita patut memeriksa semua asas, strategi dan pendekatan dakwah kita secara menyeluruh. Sunnah dakwah yang diwariskan oleh RasuluLlah SAW patut kita selongkar sehabis-habisnya. Tiada model lain yang boleh menggantikan asas, strategi dan pendekatan dakwah RasuluLlah sama ada dari sudut keberkesanan proses atau kegemilangan pencapaian. Ulama' perlu serius kembali kepada model ini. Profesional pun wajib akur untuk kembali kepada pendekatan sunnah ini. Sunnatullah dalam apa jua perkara hanya satu. Tiada dua atau lebih.
Pemerhatian secara sistematik dan perumusan berobjektif patut dibuat terhadap butiran seerah dakwah RasuluLlah SAW, diikuti akplikasi penuh bertanggungjawab dalam penetapan strategi dan pengurusan gerak-kerja PAS semua peringkat di negeri ini.
Sunnah dakwah RasuluLlah adalah raja segala ideal. Allah telah mengesahkan bahawa ideal sunnah itu adalah suatu yang praktikal serta realiti yang mampu dilaksanakan oleh ummat Muhammad.
Pemimpin dan aktivis PAS wajar memerhatikan binaan dakwah RasuluLlah pada semua juzu'nya. Di antara perkara yang perlu diselidiki ialah :
kemuktamadan prinsip – kesahihan fokus – wibawa kepimpinan – watak pemimpin – wibawa dan seni penampilan – pengucapan berkesan dan berhikmah – budaya cambah-fikir – syura pelbagai aras dan arah – pemikiran strategik – profesionalisme pengurusan – pemikiran tektikal – pendekatan kasih sayang – pendekatan hormat dan penghargaan – budaya hisbah
Juzu' keperibadian cemerlang RasuluLlah yang disenaraikan ini boleh dicungkil daripada keseluruhan kisah sepanjang tempoh hayat Nabi Muhammad seperti yang disusun di dalam kitab-kitab seerah. Juzu' kecemerlangan pemikiran, organisasi, pendekatan dan tektikal boleh dikaji mengikut peringkat masa atau peristiwa yang khusus.
Pemimpin dan aktivis PAS perlu menguasai seni keperibadian RasuluLlah dalam hubungannya dengan semua pihak. Hubungan dengan penjaga (datuk dan bapa saudara baginda), kaum keluarga yang lebih tua, isteri, mertua, kaum keluarga sebaya, anak, menantu, cucu, bisan, sahabat, musuh, pemimpin masyarakat, golongan elit, rakyat bawahan, peniaga, tentera, panjawat awam, buruh dan lain-lain.
Pemimpin dan aktivis PAS perlu menghalusi seni strategi dan tektikal RasuluLlah dalam segala cabang kepimpinan baginda. Dakwah period Makkah, dakwah period Madinah, dakwah rahsia, dakwah nyata, dakwah individu, dakwah kelompok, dakwah massa, dakwah raja dan kerajaan, pendekatan lisan, pendekatan tulisan, pendekatan ghaib (doa), pendekatan seru, pendekatan pujuk, pendekatan marah, pendekatan ancam, pendekatan logika, pendekatan pembuktian, pendekatan sejarah, penstrukturan organisasi, kepelbagaian idea, pemeringkatan proses, tindakan diplomatik, tindakan fizikal, tindakan ketenteraan, kepelbagaian tektik perang, aplikasi fiqh awlawiyyat dan lain-lain.
Kita yakin jika pemimpin PAS negeri, kawasan dan cawangan benar-benar ta'aqul keseluruhan sunnah dakwah itu dan menjiwai kefahaman itu dalam praktik diri dan organisasi, Islam akan segera difahami oleh Melayu negeri Perak.
Apabila Melayu negeri Perak tidak lagi prejudis terhadap Islam, insyaAllah hanya PAS lah satu-satunya pilihan mereka dalam pilihanraya yang akan datang sama ada PRU13 atau PRU seterusnya.
Sumber : PAS Beruas
http://paritbuntar.pas.org.my
No comments:
Post a Comment