Friday, September 20, 2013

Ekonomi Bumiputera hanya untuk elit Melayu?

Hazayani Zakaria, 20 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tidak akan membantu memajukan ekonomi orang Melayu jika pelaksanaannya tidak telus, kata Pakar Ekonomi PAS Dr Rosli Yaakop.

Beliau berkata, kejayaan sesuatu dasar itu bergantung kepada ketelusan pelaksanaannya iaitu bebas rasuah, salah guna kuasa dan tidak berlegar di kalangan kroni kepada pemimpin tertentu sahaja.

"Apa pun dasar ekonomi yang diwujudkan untuk memperkasa ekonomi bumiputera kalau pelaksanaannya sama sahaja seperti yang ada sekarang iaitu mementingkan kroni, memberi bantuan hanya kepada kroni, memberi projek hanya kepada golongan Melayu tertentu, sampai bila-bila  pun ekonomi orang Melayu tidak dapat diperkasakan kecuali sekumpulan kecil kaum elit Melayu.

"Mungkin ada baiknya perkenalkan dasar ekonomi baru untuk memperkasa ekonomi Bumiputera tapi kalau pelaksanaannya cara lama natijahnya ekonomi bumiputera tak dapat diperkasa," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau juga, kerajaan juga harus memberikan perhatian kepada Orang Asal yang merupakan golongan termiskin di Malaysia selain memberi fokus kepada keseimbangan ekonomi di setiap wilayah di negara ini.

"Kerajaan kena beri perhatian kepada orang asal kerana Orang Asal merupakan golongan yang paling miskin di Malaysia ini. Kena beri perhatian kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak kerana dua negeri itu kaya sumber asli tapi merekodkan kadar kemiskinan tertinggi.

"Dasar apa pun mesti mengambil kira kepentingan ekonomi kaum lain secara menyeluruh, pembangunan ekonomi setiap negeri. Ada negeri yang ketinggalan dalam pembangunan di Semenanjung misalnya Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan masih di belakang. Dasar yang perlu diadakan ialah keseimbangan pembangunan wilayah-wilayah di negara kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau hairan apabila kerajaan tetap mahu memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pacific (TPPA) yang bertentangan dengan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Katanya, kerajaan bersungguh-sungguh mahu memeterai TPPA walaupun tahu TPPA tidak membolehkan kerajaan memberi keistimewaan kepada satu-satu golongan serta  tidak ada keistimewaan kepada rakyat dalam negeri dan luar negeri dalam ekonomi.

"Bila Malaysia beriya-iya nak menandatangani perjanjian TPPA, diperkenalkan dasar ekonomi yang pilih kasih. Ini bertentangan dengan dasar global yang ingin dibawa oleh TPPA.

"Ini bermakna kerajaan Malaysia sendiri tidak yakin terhadap perjanjian TPPA jadi kita mempersoalkan kenapa Malaysia sebagai negara yang begitu aktif dalam mempelopori draf TPPA tiba-tiba memperkenalkan program pemerkasaan ekonomi yang membantu satu golongan kaum sahaja di Malaysia yang mana dasar ini cukup bertentangan dengan dasar yang diperkenalkan di bawah TPPA," katanya.
Lima strategi dalam program pemerkasaan ekonomi yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Sabtu lalu ialah mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera, memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan Bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.-MK

1 comment:

MANSOR JUNUS said...

Tepat sekali. Lagi banyak peruntukan untuk ekonomi bumiputra, lagi joli kataklah kroni2 ini. Peniaga2 kecil tak payah mimpilah. Kalau nak minta pun birokrasi bertapis2. Usahawan2 kecil, tunggulah nasi tumpah saja. Dulu kini dan selamanya.

Linkwithin