Sunday, September 15, 2013

MEMBANGUN EKONOMI BUMIPUTERA PERLU BENTERAS AMALAN KRONI DAN GANGGUAN POLITIK

 
Kenyataan Media TERAS
15hb September 2013

MEMBANGUN EKONOMI BUMIPUTERA PERLU BENTERAS AMALAN KRONI DAN GANGUAN POLITIK

TERAS Pengupayaan Melayu melihat pelancaran Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera kelmarin akan menjadi tidak lebih dari menukar nama kepada program yang sama jika kerajaan tidak bersikap terbuka, telus dan membenteras amalan kronisme.

Bagi kami mendaya modal Insan Bumiputera tidak harus dilihat hanya kepada soal kemahiran dan pengijazahan semata. Hal ini telah dilakukan sedemikian lama namun maseh belum melahirkan bumiputera yang mempunyai jati diri yang kukuh untuk hidup berdikari.

Kami berpendapat tidak wajar graduan hanya dilihat dari sudut kebolehpasaran sahaja. Apa yang sangat diperlukan ialah membina keperibadian graduan yang kuat sehingga boleh menjadi warga masyarakat yang bermanfaat.

Apa yang menjadi persoalan utama ialah kedayaupayaan generasi muda yang lemah didorong oleh pelbagai pengaruh yang negatif dalam persekitaran sekarang.

Kemahiran tanpa jatidiri insan yang kuat akan mengakibat lahir generasi muda bumiputera yang rapuh. Apa yang sangat diperlukan ialah melahirkan bumiputera yang mampu berfikir kritikal , berdaya upaya dan mempunyai kekuatan akhlaq yang kukuh.

Kami juga prihatin kepada soal pelbagai skim yang diujudkan untuk meningkatkan pemilikan Ekuiti Bumiputera Dalam Sektor Korporat. Beberapa saham bumiputera yang telah diagihkan selama ini tidak menambah nilai ekuiti akibat harga saham yang menurun yang tidak menjana kekayaan yang diharapkan. Suntikan pelaburan atas nama bumiputera harus dilihat dengan kritikal supaya dayatahan pemilikkan saham tidak menurun.

Mentransformasikan program pelbagai skim hanya bermakna jika ia diuruskan dengan amanah dan tidak diganggu oleh keputusan politik yang akan menjejaskan ekuiti bumiputera.

Dalam hal memperkukuhkan pemilikan Aset Bukan Kewangan Bumiputera , kami memerhatikan berlaku ketidaktelusan dalam pembelian dan penjualan aset oleh pelbagai agensi yang mengendali aset atas nama bumiputera. 

Membeli bangunan atau aset hartanah yang tidak telus sehingga menjadi beban kepada kewangan agensi tidak membawa makna. Malah ada aset yang terbiar tanpa diurus secara produktif. Ada juga penjualan aset yang tidak wajar sehingga aset yang dimilikki sedemikian berpindah milik kepada bukan bumiputa.

Kami menuntut agar semua agensi yang diamanahkan untuk mengurus aset hartanah dipantau secara professional dan tidak dipengaruhi oleh ganguan politik.

Memperkemaskan Yayasan Wakaf Malaysia dan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd (AHB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawasan Nasional Bhd (Punb) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri mesti dilakukan secara professional.

Kami menilai bahawa memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dengan kerajaan negeri perlu dilihat secara menyeluruh dari sudut kualiti.

Kedudukan kawasan perumahan yang tidak munasabah untuk kaum bumiputera tidak akan mencapai matlamat sepatutnya. Hakikikat bahawa maseh banyak perumahan rakyat yang tidak ada pembeli kerana faktor kesesuaian tempat. 

Kami berpendapat kuota perumahan untuk kaum bumiputera dikawasan strategik hendaklah dikuatkuasakan dengan tegas dan tidak membiarkan pemaju melepaskan tanggungjawab sosial mereka untuk meningkat taraf kehidupan kaum bumiputera.

Peranan agensi seperti UDA Corporation untuk membangunkan hartanah dikawasan bandar hendaklah dinilai dengan kritikal kerana banyak hartanah orang Melayu yang terjual akibat pembangunan yang dijalankan oleh Uda yang akhirnya dimilikki oleh bukan bumiputera.

Demikian juga dalam hal saranan terhadap Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pembangunan hartanah. Pembangunan hartanah bumiputera hendaklah dilakukan dengan berhati-hati kerana matlamat keuntungan tidak boleh dibiarkan mengatasi tujuan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi bumiputera.

Mengenai membangunkan Keusahawanan Dan Perniagaan Bumiputera kami berpendapat para usahawan bumiputera perlu dibina dengan skim yang berbeza. Semua agensi yang sedia ada nampaknya tidak melahirkan usahawan bumiputera yang diharapkan. 

Prosidur perniagaan perlu dipermudahkan dan anugerah projek-projek kerajaan hendaklah dilakukan secara meritokrasi yang telus. Kaum bumiputera yang benar-benar menunjukkan daya perniagaan yang baik hendaklah diberi peluang meningkatkan perniagaan. 

GLC tidak harus menjadi pesaing kepada para usahawan bumiputera. Peniaga sederhana dan kecil perlu diberi kemudahan dan lokasi perniagaan yang strategik. Penyeliaan perniagaan bumiputera yang mendapat pinjaman dari pelbagai agensi perlu dilaksanakan agar tidak berlaku salahguna modal perniagaan.

Program pembangunan vendor perlu dilakukan berdasar penyeliaan yang rapi dan teliti. GLC yang mengujudkan skim vendor untuk bumiputera perlu melaksanakan skim pengukuhan daya maju vendor secara berterusan. Para Pengurus GLC yang tidak menunjukkan prestasi dalam melahirkan vendor bumiputera hendaklah ditukar.

Kami meneliti banyak usahawan bumiputera yang terbantut dan gagal ialah akibat amalan kronisme dalam menganugerah projek. Mereka yang maseh mengamalkan perniagaan atas angin tanpa menunjukkan daya kemahiran perniagaan yang layak maseh berterusan diberi projek. 

Polisi "carve out" yang dicadangkan oleh Perdana Menteri harus dilihat dengan teliti kerana perlaksanaannya terdedah kepada penyelewengan jika tidak dilakukan dengan telus.

Kami berpendapat menambah pelajar dan kampus UITM tidak akan bermakna jika keupayaan pengurusannya tidak dipastikan berjalan dengan baik . Kualiti pelajar UITM perlu dipastikan dengan menjaminkan pembinaan keperibadian dan jatidiri berjalan dengan sempurna.

Semua agensi yang berkait dengan memastikan sistem penyampaian berlaku dengan lancar hendaklah tidak terlalu birokratik. Agensi yang terlalu banyak dan mengguna peruntukan yang tinggi hendaklah dinilai semula.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS

No comments:

Linkwithin