PERJUANGAN memakan masa yang lama, ia tidak
dinamakan perjuangan tanpa perjalanan yang panjang dan sebuah
pengorbanan yang mahal harganya. Perjalanan Parti Islam Se-Malaysia
(PAS) untuk kekal di persada perjuangan menyaksikan ramai pemimpin PAS
yang datang dan pergi, tidak ketinggalan yang pergi ‘meninggalkan’
perjuangan atau yang istiqamah hingga di titik akhir nafasnya.
Patah
tumbuh, hilang berganti, begitulah pewaris PAS meneruskan galas-ganti
amanah menetapkan garis perjuangan supaya tetap di paksinya. PAS tidak
pernah kemarau dengan pelapis yang senantiasa memenuhi ruang legar
kepimpinan yang cukup untuk semua kerana setiap individu dalam parti
dalam setiap posisinya ada peranan masing-masing, yang utama ialah
mencurahkan kebaktian untuk parti.
Walau apapun yang diperkatakan
orang tentang PAS dan sejarah panjangnya, muqaddimah ini adalah hakikat
yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pihak khususnya
pejuang-pejuang PAS.
NAMA YANG TERUKIR
Walaupun dalam PAS senarai nama yang tidak diukir lebih ramai
dari yang diukir, pun demikian nama yang terukir bukan atas permintaanya
tetapi di atas penghargaan dan amanah yang dipikulnya sebagai pengemudi
bahtera perjuangan lantas diberikan penghormatan.
Kepimpinan PAS
terbentuk melalui daya juang yang tinggi dilatari suasana tekanan
pesaingnya Umno yang selalunya memiliki kelebihan dari sudut kelicikan
dan kuasa. Keupayaan pimpinan PAS menongkah arus dalam suasana demokrasi
yang terhimpit wajib mendapat satu 'tabik spring'!
Tokoh-tokoh
PAS boleh dibahagi kepada mereka yang memimpin pada zaman sebelum
kepimpinan ulama dan selepas kepimpinan ulama. Kepimpinan Ulama adalah
kemunculan PAS pasca Dato’ Asri yang memimpin PAS dari tahun 1971-1982.
Sebelum
Dato’ Asri, Dr Burhanudin al Helmy telah membawa PAS ke persada kerana
namanya yang besar itu sehingga PAS berjaya menguasai Terengganu dan
kemudian Kelantan, seterusnya melebarkan sayapnya ke utara dan tengah
tanah air.
KEPIMPINAN ULAMA
Keluar daripada konflik bukanlah satu usaha yang mudah apabila
Allah SWT menguji bahtera perjuangan PAS dengan kocakan dalaman.
Hikmahnya ialah Allah SWT mengkehendaki PAS terus maju dan ini terbukti
dengan gagasan baru kepimpinan PAS yang menggelarkan dirinya sebagai
'Kepimpinan Ulama'.
Tokoh pertama yang menggalas tanggung jawab
ini sebagai Presiden ialah Tuan Guru Haji Yusof Rawa. Namanya tidak
tertonjol pada awalnya dan beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak
Yusof Rawa setia dengan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
dari tahun 1959.
Namanya muncul untuk jawatan Timbalan Presiden
pada tahun 1981 dan semasa Dato’ Asri meletakkan jawatan, Pak Yusof Rawa
memangku dan kemudian diamanahkan sebagai Yang DiPertua PAS Pusat tahun
berikutnya.
Gelaran itu kemudiannya ditukar kepada Presiden dan
itulah yang diamanahkan kepadanya sehingga tahun 1987. Pak Yusof Rawa
turut mencatat sejarah dalam PAS apabila menjadi Mursyidul ‘Am yang
pertama pada tahun 1987.
Jawatan Mursyidul ‘Am diwujudkan selaras
dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama dalam perlembagaan baru parti.
Jawatan tertinggi dalam PAS itu diamanahkan kepada Pak Yusof Rawa
sehingga tahun 1989 dan kemudiannya beliau meletakkan jawatan kerana
keuzuran.
PAS BANGKIT SEMULA
Kepimpinan Ulama menandai kesungguhan kepimpinan parti untuk
membentuk platform baru kepada parti. Apabila ide kepimpinan ulama
diketengahkan pada awal 80-an, permasalahan umat Islam pada waktu itu
menjadi fenomena dunia.
Kejatuhan Soviet dan kekalahan yang
memalukan kuasa komunis terbesar itu di tangan para Mujahidin di
Afghanistan mengisyaratkan kebangkitan kuasa Islam yang tidak boleh
dipandang ringan.
PAS mendefinisikan dirinya semula dalam suasana
tersebut dan kerana itu kelantangan suaranya kepada jati diri umat pada
persada alamiyah (antarabangsa) turut menyuntik semangat kebangkitan
Islam di Malaysia.
PAS juga harus membina kekuatan dari arah
dalam dengan membentuk program perkaderannya yang kini dikenali sebagai
'tarbiah'. Ahli disuntik dengan kekuatan dalaman dan mereka mesti
melahirkan ciri-ciri muslim yang memilik sahsiah Islamiah lewat usrah,
tamrin, mukhayyam dan ceramah.
Pada waktu yang sama PAS perlu
mendapat semula sokongan rakyat setelah kejatuhan Kelantan yang
merupakan kubu tradisinya. Ini bermakna PAS perlu mengekalkan pengundi
tegarnya dan sambil menggamit pengundi baru melalui sikap politik yang
diambilnya menentang BN melalui pendedahan salah laku pentadbiran
kerajaan diselitkan dengan ketegasannya terhadap ideal Islam dalam
pentadbiran.
Semasa PAS mendefinasikan semula kewujudannya, Pak
Yusof Rawa menggalas tugas selaku arkiteknya, malah seorang jurnalis
terkenal M.G.G Pillay menggelar Pak Yusof Rawa sebagai ‘arkitek’ yang
bertanggungjawab membina semula PAS dalam era Kepimpinan Ulama.
Pak
Yusof Rawa banyak tertumpu membina kekuatan baru PAS dari kalangan
profesional muda yang baru kembali ke tanah air dari UK, US dan
universiti tempatan manakala figurnya yang berlatarbelakangkan pengajian
Islam amat disenangi oleh para ustaz yang mendapat pendidikan formal
Islam dari dalam dan luar negara khusunya Al-Azhar.
MEMPROMOSI PAS
Tidak mudah kerja-kerja perhubungan awam dilakukan dalam suasana
politik baru yang dilalui oleh PAS dalam era kebangkitannya. Tembok
penghalang utama adalah tanggapan sinikal yang tersemat dalam persepsi
masyarakat khususnya bukan Melayu yang menganggap PAS sebagai untuk
orang Melayu sahaja.
Kesedaran yang tinggi di kalangan kepimpinan
waktu itu terhadap fahaman bahawa Islam sebagai agama merahmati semua
kaum mendorong kepimpinan PAS waktu itu menggapai sokongan masyarakat
Cina khususnya melalui dialog dan ceramah untuk kelompok bukan Melayu.
Kesungguhan
usaha ini memungkinkan terbentuknya CCC atau Chinese Consultative
Council, malah calon-calon bukan melayu turut bertanding atas tiket PAS
dalam persefahaman lewat CCC.
Sememangnya dilema antara
mengekalkan pengundi Melayu sebagai asas dan mempromosi PAS kepada
segmen pengundi bukan Melayu adalah umpama melakukan aksi berjalan atas
tali yang halus.
Keseimbangan mengekalkan momentum untuk berjalan
adalah keunikan kepimpinan dalam suasana Malaysia yang multi-kaum dan
kepimpinan ulama yang awal telah mengambil risiko tersebut.
Namun
hasilnya berbaloi dalam bentuk jangka panjang apabila suasana politik
hari ini menyediakan platform yang selesa untuk menerima kelompok bukan
Melayu sebagai sebahagian dari identiti PAS dengan terasasnya Dewan
Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
Kepimpinan di bawah Dato’ Seri
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hari ini tidak mungkin melakarkan
sejarah penting ini jika tidak diterokai lebih awal lagi oleh dua
pemimpin awal kepimpinan ulamak iaitu Pak Yusof Rawa dan Dato’ Ustaz
Fadzil Mohd Noor.
PAS HARI INI DAN SETERUSNYA
Generasi PAS hari ini tidak mungkin menuai hasil tanpa penat
jerih yang dirintis oleh generasi awal PAS. Dari Tuan Haji Ahmad Fuad
kepada Dr Abbas Alias kemudian dikemudi oleh Dr Burhanudin dan diambil
alih oleh Dato’ Asri Muda adalah bintang-bintang gemerlapan PAS.
Pada
waktu orang melihat PAS akan berakhir setelah era Dato’ Asri, muncul
pula Tuan Guru Haji Yusof Rawa lalu Dato’ Fadzil Noor memikul amanah dan
kini PAS terus kukuh di bawah kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang.
Pada setiap era, gandingan mantap pasukan
kepimpinan sentiasa memastikan PAS terus mara ke hadapan. Hari ini PAS
menyambut tahun ke-59 Muktamar Agung dalam suasana yang semakin
mencabar. -Dr. Mujahid Yusof