|
Kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat beberapa hari lalu bukanlah untuk 'memujuk' Yahudi, sebaliknya bagi menyampaikan ucapan berhubung Islam dan demokrasi di Asia Tenggara, kata ketua penerangan PKR. "Bukan untuk pujuk Yahudi. Beliau juga pergi untuk bertemu dengan anak lelakinya yang sedang menuntut di sana," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa ketua umum PKR itu berkunjung ke luar negara bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut. Utusan Malaysia melaporkan, tindakan itu ekoran Anwar dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti-Yahudi dalam isu firma perunding APCO Worldwide baru-baru ini. Memetik tulisan dalam Washington Post, akhbar Umno itu melaporkan Anwar meluangkan banyak masa untuk menawarkan penjelasan kepada rakan-rakan lama beliau termasuk pengerusi jawatankuasa luar negeri, Howard Berman dan beberapa pemimpin Yahudi. Malah, Anwar dalam tulisan itu juga dikatakan menyesal menggunakan istilah seperti "pencerobohan Zionis," yang biasanya digunakan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad. Ini kerana, kata Latheefa, sikap anti-Yahudi adalah satu bentuk rasis kerana Yahudi itu mewakili bangsa sesuatu kaum. 'Mereka American' "Anwar jelaskan bahawa beliau bukan anti-Yahudi tetapi anti Zionis," katanya yang menyifatkan pemimpin nombor satu Pakatan itu menjadi mangsa lobi Zionis di Amerika Syarikat yang terlalu luas. "Beliau tak pernah minta maaf kerana mengkritik Zionis." Latheefa juga menjelaskan pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin tertentu di luar negara hanyalah atas dasar "pertemuan pemimpin Malaysia dan Amerika". "Mungkin kebetulan mereka Yahudi. Tetapi ini bukan isu, merekaAmerican (orang Amerika)," katanya lagi. "Mereka tidak faham seluruh artikel (dalam Washington Post) dan tidak membacanya dengan penuh teliti," katanya. Katanya, jika dinilai berdasarkan tindakan Anwar mengkritik keganasan Israel dalam insiden berdarah flotila Mavi Marmara, jelas bahawa Anwar konsisten menentang keganasan Zionisme. Ditanya tentang laporan bahawa Anwar dikatakan menyesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis", Shamsul yang juga ketua majlis pimpinan PKR Melaka menjelaskan: "Saya tidak rasa artikel dalam Washington Post itu ada menggunakan perkataan kesal." |
No comments:
Post a Comment