Wednesday, January 20, 2010
Tidur bermandikan air hujan
KAMPUNG PADANG MARHUM - “Makcik takut untuk tidur di bahagian bawah rumah kerana bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan sesuatu yang tidak diingini dan hanya tidur bahagian atas rumah, namun masalah lain pula timbul.
“Bahagian atas rumah pula kebanyakannya sudah reput dan bumbungnya bocor di sana-sini, namun makcik terpaksa juga tidur di atas kerana tidak berani tidur di bawah, kata seorang warga emas, Samsiah Uda Abdul Rahman, 76, mengenai keadaan rumahnya yang sudah uzur dan banyak mengalami kerosakan.
Samsiah berkata, dirinya tidak mampu untuk membaiki rumah itu kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Saya hanya membuat kerepek pisang dan menjualnya di kedai-kedai berhampiran tetapi itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan seharian sahaja.
“Jika ada pisang barulah saya buat kerepek dan pendapatan yang diperoleh tidak menentu, kadangkala dapat RM100 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Menurutnya, dia memohon agar ada pihak berkenaan dapat memberi bantuan untuk membaik pulih rumahnya terutamanya bahagian dinding dan bumbung rumah.
“Saya bukan mahukan sebuah rumah baru tetapi hanya baik pulih rumah kerana dindingnya sudah reput dimakan anai-anai manakala bumbung pula bocor.
“Apabila hujan saya perlu menadah air hujan dengan besen bagi mengelakkan ia membasahi lantai yang juga sudah uzur,” katanya.
Samsiah berkata, dia hanya tinggal berseorangan di rumah walaupun anak-anak tinggal di kawasan berhampiran, namun masing-masing sudah berkeluarga dan hidup sederhana.
“Untuk perbelanjaan harian saya tidak kisah kerana mampu untuk mencarinya tetapi membaiki rumah ini saya tidak mampu kerana perbelanjaannya agak besar.
“Anak-anak juga tidak mampu untuk menolong kerana mereka juga perlu menanggung keluarga masing-masing dan hanya bekerja kampung sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Baitulmal Daerah Seri Iskandar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, Norfazilah Bawadi berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada warga emas itu untuk baik pulih rumah pada tahun lepas.
Menurutnya, permohonan itu tidak diluluskan kerana berdasarkan siasatan warga emas berkenaan tidak tergolong dalam golongan asnaf ataupun miskin.
“Permohonannya sudah kita panjangkan ke ibu pejabat tetapi setelah siasatan dibuat, dia tidak layak menerima bantuan kerana mempunyai simpanan sendiri dan anak-anak juga ada membantu menghulurkan kewangan.
“Namun begitu pemohon boleh membuat rayuan jika permohonan mereka gagal dan ia boleh dibuat di daerah ataupun di ibu pejabat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.
http://www.sinarharian.com.my/perak/content/story6387271.asp
P/s : Nota dari we dasan kepade penduduk Telok Bakong Puan Samsiah ialah kakak kepada Nangnang Ude Tilan
Penulis:
KTB
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment