Thursday, January 21, 2010

Baik buruk berebut nama Allah

Yussamir Yusof
Yayasan Pendidikan Islam al-Atsari,
Jogjakarta, Indonesia.

Terdapat beberapa orang meminta saya mengulas isu Tuntutan penggunaan nama Alah oleh agama Kristian. Sebenarnya saya sudah menulis perkara ini tahun lepas.


Namun ulasan pertama saya terpaksa diralat dan menukar dari bersetuju kepada tidak setuju. Hal ini berlaku selepas mengadakan perbincangan dengan mereka yang terlibat secara terus dalam isu ini dan juga dari pembacaan.

Tulisan ini saya siapkan semasa berada di Jogjakarta, dan kebanyakkan input dari beberapa progress terbaru saya dapati dari akhbar-akhbar online. Moga perkongsian saya ini sedikit sebanyak dapat merungkaikan beberapa persoalan dan permasalahan dari sudut beberapa sudut pandangan. Namun begitu, saya tidak menyetuh soal perlembagaan dan hal-hal kritikal yang melibatkan perundangan.


SEJARAH TUNTUTAN

Isu tuntutan penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian untuk Tuhan mereka sebenarnya sudah lama berlaku. Hanya sedar atau tidak, sejak tahun 1986 lagi, perkara ini telah dibangkitkan oleh orang Kristian melalui organisasi keagamaan mereka. Ketika perjumpaan antara agama yang diadakan di Kuala Lumpur, wakil-wakil Kristian telah menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap KDN kerana melarangan menggunakan perkataan alKitab untuk Bible dan beberapa istilah Islam seperti Allah, Firman, Syariat, Rasul, Wahyu, Injil dan beberapa perkataan lagi.

Kemudian setelah berpuluh tahun, isu ini dimainkan kembali. Maka ramailah yang melatah dan terpinga-pinga, lebih-lebih lagi umat Islam yang sekadar atas nama. Isu ini bukan sahaja memperalatkan sentimen dan sensetiviti umat Islam di Malaysia, tetapi ia juga sedang menguji tahap imuniti umat Islam terhadap akidah mereka.


Suka atau tidak, umat Islam harus sedar bahawa orang-orang bukan Islam tidak akan rela kepada Islam selama-lamanya. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 120,“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."

Kembali kepada isu pengggunaan nama Allah dalam Bible. Kebanyakkan tulisan-tulisan yang saya baca tentang isu ini, semuanya berbaur emosi yang pekat. Malah ada yang menggunakan perkataan yang buruk dan jelek, kononnya semua itu dilakukan demi mempertahankan kesucian agama Islam. Islam tidak memerlukan perkataan-perkataan buruk dan jelek untuk dijadikan perisai, kerana Islam adalah agama hujah dan rasional. Lebih dari itu, Islam sendiri melarang penganutnya menggunakan perkataan keji dan mungkar untuk diucapkan.



MEMAHAMI MAKNA NAMA ALLAH

Perkataan Allah berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud Tuhan yang Satu. Manakala penggunaannya pula khusus untuk merujuk kepadaTuhan yang Satu, Tuhan yang mencipta, mentadbir dan memiliki alam semesta. Perkataan ini juga digunakan selain dari agama Islam, iaitu Yahudi dan Kristian dalam bahasa Arab.

Dalam terjemahan Bible bahasa Melayu, perkataan Allah turut digunakan sebagai kata ganti perkataan Inggeris Lord. Selain daripada itu, asal perkataan Allah dari kata Arab Ta'allaha (atau Alaha) yang memberi maksud ‘Disembah’. Oleh itu, perkataan Allah itu boleh juga bermaksud, “satu-satunya yang layak disembah”.


Syeikh Abdullah Sirajuddin dalam Haula Tafsir surah al-Fatihah berkata, “Allah adalah isim alam. Menunjukkan terhadap zat Allah Ta’ala Rab al-Alamin, Tuhan yang disembah dengan sebenar, bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang tidak boleh dihitung, dihadkan dan terbatas. Allah suci dari segala keaiban dan kelemahan, Esa dengan sifat wajib dan tidak layak seseorang pun atau mana-mana makhluk pun menamakan dengan nama-Nya. Dengan sebab itulah kalimah Allah tidak diduakan atau dijamakkan (dibanyakkan). ”



MEMAHAMI DUA PANDANGAN

Sarjana Islam ketika membincangkan perkara ini, mereka terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, mereka menerima penggunaan nama Allah oleh orang-orang Kristian. Kedua, mereka menolak penggunaan nama Allah oleh orang-orang Kristian.


SARJANA YANG MENERIMA

Para Sarjana Islam yang menerima dan membenarkan penggunaan nama Allah oleh orang-orang Kristian menyatakan bahawa orang-orang bukan Islam khususnya Kristian dan Yahudi sudah lama telah lama digunakan. Malahan ia tidak pernah dilarang oleh Rasulullah dan juga generasi para salafusoleh, lebih-lebih lagi ketika mereka berdialog dengan orang-orang bukan Islam.

Mereka berdalilkan dengan beberapa firman Allah dalam al-Quran misalnya dalam surah at-Taubah ayat 30, “Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu putera Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al Masih itu putera Allah." Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?”

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 25, “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah."Katakanlah : "Segala puji bagi Allah"; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”
Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 61, “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentumereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).”

Firman Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 87, “Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka menjawab: "Allah", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah )?”


Selain daripada dalil-dalil di atas, Kitab bible berbahasa arab yang bernama al-Kitab al-Muqaddas juga telah lama digunakan dan di dalamnya terdapat nama Allah. Dan Allah yang digunakan ini merujuk kepada Tuhan mereka. Misalnya dalam Kitab Kejadian (Genesis).



SARJANA YANG MENOLAK

Manakala sebahagian Sarjana Islam yang lain telah mengharamkan penggunaan nama Allah ini secara mutlak. Pengharaman ini dilakukan kerana orang-orang bukan Islam khususnya Kristian, tidak menyifatkan nama Allah pada sifat yang benar.

Pada pandangan mereka, nama Allah seharusnya mempunyai sifat yang Esa, tidak ada sekutu bagi Dia, tidak diperanakkan, dan lain-lain. Sifat-sifat Allah yang sesuai dan layak bagi-Nya telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Ikhlas dari ayat pertama hingga akhir.

Firman Allah, “Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”

Menurut sebuah riwayat, ayat ini diturunkan oleh Allah ketika orang-orang Musyrikin meminta penjelasan tentang sifat-sifat Allah kepada Rasulullah shallahu-alaihi wasalam, dengan berkata: “Jelaskan kepada kami sifat-sifat Tuhanmu.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah dari Abi Aliyah yang bersumber dari Ubay bin Ka'ab. Diriwayatkan pula oleh at-Thabarani dan Ibnu jarir yang bersumber dari Jabir bin Abdillah dan dijadikan dalil bahwa surah ini adalah ayat Makkiyah)


Manakala dalam riwayat yang lain diceritakan bahawa orang-orang Yahudi telah datang menghadap kepada Nabi Shallahu alaihi wasalam. Dan diantaranya Ka'bubnul 'asyraf dan Hay bin Akhtab. Mereka berkata: “Hai Muhammad, lukiskan sifat-sifat Tuhan yang mengutusmu.” Kemudian turunlah ayat ini bagi menjelaskan sifatt-sifat yang layak bagi Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Ibnu Abbas. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Qatadah dan Ibnu Mundzir yang bersumber dari Sa'id bin Jubair. Dengan riwayat ini Sa'id bin Jubair menegaskan bahwa surah ini Madaniyyah)



Yang jelas dari kedua-dua padangan ini ialah, nama Allah harus diletakkan pada sifat zat yang hak dan sesuai untuk-Nya. Sifatnya yang Esa, tidak beranak dan diperanakann, Maha berkuasa dan tidak ada sekutu bagi-Nya.

Namun dalam kondisi untuk mengikuti syarat ini, orang-orang bukan Islam khususnya Kristian, tidak meletakkan sifat-sifat ini pada nama Allah yang mereka mahu gunakan. Orang-orang Kristian merujuk Allah kepada tuhan yang ada sekutu bagi-Nya iaitu akidah Triniti ; 1 Tuhan dalam 3 Peribadi yang berbeza.

Prof Dr HAMKA dalam bukunya yang bertajuk Hak Asasi Manusia ketika menjelaskan mengapa orang-orang bukan Islam; Nasrani, Yahudi dan Jahiliah yang menyebut Allah, dengan berkata, “Mereka mengakui ke-Esaan Allah, tetapi itu sekadar pengakuan. Namun hakikat sebenarnya tentang hubungan manusia dengan Allah tidaklah mereka percayai dan tidak mereka endahkan. Mereka telah mencabut kekuasaan yang ada pada Allah...Mereka tahu nama Allah tetapi mereka memuja benda yang lain...Malahan ketika ditanya mengapa mereka menyembah berhala, mereka menjawab sepertimana yang disebutkan Allah dalam surah az-Zumar ayat 3, “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya”.


KESIMPULAN

Isu penggunaan nama Allah ini harus dilihat dari sudut waqi’ (masyarakat) dan juga negara. Malaysia adalah negara yang berbilang agama dan bangsa. Kepelbagaian ini boleh mendatangkan bermacam persepsi dan tanggapan, sama ada yang buruk atau baik. Lebih-lebih lagi isu penggunaan nama Allah yang menjadi isu yang sensItif antara Islam dan Kristian.

Para pemerhati dan juga para tokoh-tokoh Agama Malaysia melihat isu ini lebih kepada provokasi dan percubaan menghuru-harakan masyarakat Malaysia.

Misalnya, Prof Dato’ Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Pensyarah Jabatan fiqh dan Usul di UIAM berkata, “Hasil penelitian saya, Akhbar Herald Catholic sengaja mencetuskan provokasi Islam Melayu kita dengan menyentuh perkara paling sensetif. Ia memburukkan lagi dengan tindakan seorang menteri yang tidak menjaga sensitiviti ini. Kita sanggup bangkit mempertahankan hak ini kerana Allah sendiri mewajibkan kita berjuang sekiranya kesucian Islam dicemari. Jangan sentuh semangat jihad kami.”


Hujah mereka yang menyokong penggunaan nama Allah ini dengan mengatakan bahawa sudah lama terdapat penggunaan nama Allah di dalam bible berbahasa Arab dan Indonesia juga tidak dapat diterima. Seperti yang dibincangkan di atas, Allah yang disebut dan ditulis haruslah mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Manakala Bible berbeza dan tidak selari, kerana dengan jelas telah merujuk Allah kepada akidah Triniti; Bapa Allah di Syurga, Jesus adalah anaknya, dan Ruhul Kudus merupakan salah satu oknum (sifat) dari tiga Oknum Triniti.

Dari segi berjaga-jaga bagi melindugi atau memastikan keamanan dan keselamatan semua orang di Malaysia. Penggunaan kaedah Sad Zara’i iaitu menutup pintu-pintu kejahatan dan keburukan adalah perlu dalam isu ini.

Tindakan kerajaan mengharamkan penggunaan nama Allah orang agama lain khususnya Kristian bertepatan dengan kaedah Sad Zara’i ini. Sesuai dengan tugas pemerintah iaitu menjaga kemaslahatan rakyat, larangan ini seharusnya diwartakan dengan segera, dan sesiapa yang cuba menafikan atau menguji larangan ini haruslah didakwa dan dikenakan tindakan mahkamah.

Sesuai dengan kaedah menjaga kemaslahatan ummah, Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dr Mohd Roslan Mohd Nor mengeluarkan kenyataan bagi pihak PUM, “Menterjemahkan perkataan God kepada Allah bagi agama lain tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang merujuk kepada Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa. Setelah menimbang maslahah dalam konteks Malaysia, Persatuan Ulama’ Malaysia bersetuju mengambil pendirian bersetuju bahawa perkataan Allah tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam.”


SARJANA KRISTIAN TURUT MENOLAK

Untuk tambahan maklumat untuk para pembaca. Bukan sahaja sarjana Islam yang membincangkan perkara ini. Para Sarjana Kritian dan juga para Paderi mereka sendiri berbeza pandangan mengenai penggunaan nama Allah merujuk Tuhan mereka.

Misalnya Presiden Liga Katolik bagi Hak Agama dan Sivil telah membantah saranan dari Biskop Tiny Muskens yang menyeru penganut Kristian menggunakan nama Allah. Begitu juga dengan Pengerusi General Synod of The Dutch Protestant Church, Gerrit de Fijter yang menolak saranan Muskens.

Mashall G.S Hodgson dalam bukunya yang bertajuk The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization juga menyatakan ketidaksetujuan penggunaan nama Allah di kalangan penganut agama Kristian.

Yang jelas penggunaan nama Allah hanya layak untuk Islam kerana konsep Tauhid yang berbeza di kalangan penganut agama Islam dan agama lain, khususnya Kristian dalam konteks Malaysia. Selain itu penggunaan bahasa Malaysia juga menjadi hujah bahawa Allah adalah Tuhan yang sebenar tanpa dipersekutukan dengan yang lain, dan ini hanya Islam yang layak.

Manakala hujah bahawa orang-orang Musyrikin dan ahlu Kitab dahulu telah menggunakan nama Allah seperti yang disebutkan dalam al-Quran hanyalah membabitkan kepercayaan ketauhidan Rububiyah (iaitu mempercayai bahawa adanya Tuhan), tanpa melibatkan Uluhiyah (percaya bahawa Allah tuhan yang satu dan hanya Dia yang layak disembah) dan Asma’ as-Sifat (sifat-sifat Allah yang layak untuk-Nya). Sedangkan penganut agama Islam meletakkan Allah ke dalam tiga-tiga perkata tersebut iaitu Rububiyah, Uluhiyah dan juga Asma’ Sifat.

Justeru, pengharaman menggunakan nama Allah oleh agama lain lebih mendatangkan kebaikan dalam konteks Malaysia berbanding membenarkannya. Tambahan, dalam kita ghairah menangani isu nama Allah ini, umat Islam seharusnya melengkapkan diri dengan kefahaman ilmu Islam yang mantap.

Kita tidak boleh selama-lamanya menggunakan undang-undang bagi mempertahankan nama Allah . Selagi mana kefahaman Islam dikalangan masyarakat Islam tidak mantap dan masih ada lompong-lompong kosong. Selagi itu umat Islam di Malaysia akan menghadapi masalah-masalah ini dan akan terus diuji dari semasa ke semasa.


WaAllahualam.

No comments:

Linkwithin