Saturday, October 24, 2009

BIMBANG ISLAM TIDAK MENANG




aku hanya yakin dengan dua tokoh ini sahaja dapat melaksanakan islam di malaysia


BIMBANG ISLAM TIDAK MENANG

Islam mesti menang. Itulah ajaran Tuan Guru-Tuan Guru yang sampai ke telingaku. Di Malaysia, PAS adalah wadah jelas menjadikan islam sebagai dasar perjuangan.

Islam tidak akan menang tanpa kebijaksanaan pejuang-pejuangnya. Berjuang islam dengan hentam semborono akan melahirkan natijah buruk kepada Islam itu sendiri.

Bukankah para salaf terdahulu pernah menyebut, "kebatilan yang mempunyai system boleh mengalahkan kebenaran yang tidak mempunyai system".

Di Malaysia, wadah pilihanraya merupakan kaedah untuk melaksanakan islam. Justeru, kehadiran PAS di Malaysia dengan menggunakan pilihanraya merupakan kebijaksanaan dalam usaha hendak memenangkan islam. Jika dibaca dalam al-Quran dan as-Sunnah, memang tidak pernah kendengaran istilah pilihanraya, tetapi ijtihad ulama sentiasa berkembang, menyebabkan pilihanraya diterima pakai untuk melawan musuh islam.

PAS hendak memenangi kerusi secara bersendirian merupakan satu perkara yang amat susah. Negeri-negeri yang pernah dikuasai oleh PAS, tidak pernah disebabkan isu yang dikemukakan oleh PAS, sebaliknya adalah menumpang dari isu orang lain.

PAS memerintah di kelantan, bukan kerana kekuatan PAS, tetapi kebersamaan PAS bersama Semangat 46 atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Ternyata, PAS pimpinan Tuan Guru nik Abdul Aziz di kelantan menunjukkan imej Islam yang baik, menyebabkan mereka yang tidak ikhlas dengan islam mengambil sikap keluar dari APU. Makanya, banyak ahli-ahli dari parti lain mendaftarkan nama untuk menjadi ahli PAS. selepas dari itu, sebarang pilihanraya umum berjaya memberikan kemenangan kepada PAS di kelantan, waima tidak bersama dengan parti-parti yang lain lagi.

Di Terengganu pula, PAS berjaya memerintah pada tahun 1999. kemenangan ketika itu, bukan kerana kekuatan PAS, tetapi kelemahan musuh yang berada dalam keadaan teramat sangat. Isu Anwar Ibrahim yang baru sahaja dipecat dari Timbalan Perdana menteri menjadi buah mulut orang melayu, seterusnya mereka lakukan sabotaj kepada UMNO dengan memberikan undi kepada PAS.

Pun begitu, ketika isu Anwar Ibrahim semakin hari semakin tenggelam, menyebabkan pada tahun 2004, PAS mengalami kalah teruk, malahan UMNO/BN mencapai kemenangan dengan menyapu bersih. Kekalahan PAS itu, sehingga hari ini terengganu tidak sampai ke tangan PAS.

Apa yang dapat dinilai, PAS tidak pernah menang – menguasai negeri - dengan sebab kekuatan sendiri. tetapi, kemenangan PAS adalah menumpang dengan kekuatan orang lain.

Keadaan sama juga menimpa PAS dalam PRU ke 12, pada 8 mac 2008 yang lalu. dalam pilihanraya itu, sepatutnya PAS tidak merasa senang dengan mendakwa bahawa PAS sudah menang, tetapi PAS selayaknya meletakkan satu tanggapan bahawa PAS sedang menuju kepada kejayaan untuk memerintah dengan islam.

Justeru, dengan penubuhan kerajaan pakatan rakyat, usaha dakwah, memperkenalkan model kerajaan islam, kempen kerajaan kasih sayang, kempen mewujudkan kerajaan yang adil yang berasaskan islam perlu dilaksanakan.

Mulakan dengan dakwah di ruang-ruang yang tersedia ada, seperti sering mengadakan ceramah-ceramah di masjid dan surau, mengadakan kempen Islam secara berkesan dan berstrategi kepada rakyat. Semuanya ini bertujuan, untuk memperkenalkan Islam kepada rakyat, agar mereka akan memilih PAS dalam pilihanraya akan datang, seterusnya PAS berjaya melaksanakan islam.

Pun begitu, menyedihkan bahawa semua tindakan sebegini tidak dilakukan secara serius, sebaliknya PAS hanya mengambil sikap tamak dan haloba dalam pemerintahan pakatan rakyat. Waima dari golongan manoriti, tetapi PAS tidak menghormati hak demokrasi, sehingga sanggup berusaha hendak merampas dari hak parti-parti majority.

Di selangor sebagai contoh, di mana sahaja wujud PAS, maka disitu PAS mahu monopoli sesuatu jawatan – seperti Ketua kampong-, walaupun tempat tersebut bukan kerusi PAS. Di tempat PKR dan DAP pun, PAS mahu sesuatu jawatan. Adapun di tempat PAS pula, tidak diberikan ruang kepada PKR dan DAP untuk memegang sesuatu jawatan.

Tidak dinafikan, kejadian sebegini hanya dilakukan oleh segelintir pimpinan PAS, terutama mereka yang mempunyai kepentingan melayu disamping memperjuangkan islam. Pun begitu, tindakan segelintir itu menjadi barah yang merbahaya sehingga mampu melahirkan kebencian rakyat terhadap PAS. lebih-lebih lagi, apabila isu kaum melayu menjadi bahan perbincangan PAS.

Alangkah bodohnya jika isu melayu yang dibicarakan, sedangkan sering kali Tuan Guru nik Abdul Aziz menyebut, "perjuangan melayu tidak ada nilai satu sen pun disisi Allah SWT".

PENUBUHAN PAKATAN RAKYAT

Penubuhan Pakatan rakyat sebenarnya dapat memberi banyak manfaat kepada PAS. ini kerana, PAS sebelum ini mempunyai masalah pendekatan dengan masyarakat selain melayu. Justeru, dengan tertubuhnya Pakatan Rakyat, PAS sudah berjaya melepasi tembok dalam usaha hendak merapatkan diri dengan masyarakat selain melayu.

Pun begitu, menyedihkan apabila peluang ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kewujudan sebilangan pimpinan PAS yang berjiwa 'hang tuah' yang sayangkan melayu, melahirkan balik tembok pemisah ini. malahan, ia lebih tebal dari tembok pemisah sebelum ini.

Sepatutnya, dengan peluang yang ada, hendaklah digunakan sepenuhnya menceritakan kepada masyarakat selain melayu tentang islam dan keadilannya. Berdakwah dengan sebijaksana yang mungkin, sehingga mereka meletakkan keyakinan kepada Islam yang diperjuangkan islam. menyedihkan, tindakan ini tidak pernah diambil peluang sebijaksana mungkin.

Lebih menyedihkan, di kala PKR dan DAP saling kukuh mengkukuhkan kerajaan pakatan rakyat, kehadiran PAS dilihat seperti anai-anai yang mahu meruntuhkan kekukuhan yang sedang dibina. Isu-isu yang dikemukakan oleh PAS, banyak tidak mengukuhkan Pakatan rakyat, malahan bersifat mahu meruntuhkan.

Sayugiyanya, PAS perlu berada sebagai parti yang mengukuhkan kerajaan pakatan rakyat. Gunakan kesempatan ini, mengemukakan model-model keadilan yang merujuk kepada islam, bukannya membuat seribu satu masalah kepada kerajaan.

Ternyata, ada pimpinan PAS yang otak melayunya lebih tebal berbanding keislamannya, menyebabkan seribu satu masalah dilakukan sehingga melahirkan kebencian rakyat terhadap PAS.

Lebih parah, apabila wujud kelembapan pada sebilangan pimpinan PAS dalam memonopolikan sebarang isu agar dijuarai oleh PAS. kelembapan ini, bukan sekadar merugikan PAS, malahan kadang-kala merugikan islam itu sendiri.

Kalau keadaan ini terus berlaku, sampai bila pun islam tidak akan menang. sebab itu, baru kita faham mengapa nabi SAW berjaya membina kerajaan islam waima tidak sampai 20 tahun berdakwah, sedangkan PAS sudah berjuang dan berdakwah lebih 50 tahun, tetapi sehingga hari ini tidak berjaya membina kerajaan islam di Malaysia.

Sekian

P/s : di awal kemenangan pakatan rakyat, aku meletakkan harapan dalam dua penggal pilihanraya lagi, PAS akan berjaya melaksanakan islam di Malaysia. Tetapi, dengan kewujudan sebilangan pimpinan PAS yang berotak melayu, dan pimpinan yang lembab, lagi tidak bijak berpolitik. Harapanku hendak melihat kerajaan islam dalam jangka 2 penggal lagi, hancur lebur.

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

No comments:

Linkwithin