Panda dapat rumah mewah, rakyat pula diusir, rumah diroboh
KUALA LUMPUR 10 JUN: Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat lebih prihatin terhadap dua panda yang dipinjam dari China dengan memberi tempat tinggal istimewa mewah dan berhawa dingin, tetapi sanggup mengusir dan merobohkan rumah rakyat.
Suasana cemas itu berlaku di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul apabila penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bertindak mahu meroboh kediaman yang diduduki lebih 60 tahun lalu.
Menurut Setiausaha Politik Ahli Parlimen Batu, Tian Chua – Rozan Azen Mat Rasip, situasi cemas berlaku apabila pihak DBKL terus membawa jentolak untuk merobohkan kediaman walaupun menyedari ada penghuni wanita dan kanak-kanak di dalam rumah terbabit.
Menurut Rozan, penduduk tetap bertahan walaupun pihak DBKL memaklumkan bahawa keputusan Mahkamah Sesyen tidak memihak kepada penduduk.
“Bagaimanapun penduduk memaklumkan, pihak mereka sedang membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi untuk mencari keadilan, lantaran itu mereka meminta budi bicara DBKL dan PTG agar jangan bertindak terburu-buru dalam perkara ini.
“Lebih mengecewakan DBKL dan PTG yang hadir hari ini (9 Jun) gagal mengemukakan sebarang dokumen atau notis untuk meroboh enam rumah penduduk terlibat,” dakwa Rozan.
Jelas beliau lagi, penduduk hanya mahukan keadilan, ini kerana jumlah pampasan yang ditawarkan kepada penduduk terlibat adalah tidak masuk akal, iaitu sebanyak RM7,000 untuk sebuah rumah. Sedangkan ada penduduk kampung berdekatan menerima RM100,000.
“DBKL memaklumkan pihaknya ada menyediakan rumah di blok B Perumahan Rakyat Batu Muda. Datang tanpa notis dan untuk berpindah ke PPRT terlibat, penduduk perlu membayar RM400 deposit dan terpaksa menunggu untuk mendapatkan kemudahan elektrik,” kata Rozan.
Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui – Zaini Abdullah berkata, apa yang berlaku adalah satu penghinaan terhadap mahkamah. Ini kerana ada di antara rumah yang terlibat masih lagi dalam kes mahkamah.
“Rumah Halim Hamid,68, dan Hamid Saad,56, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 17 Jun ini, DBKL dan PTG sepatutnya menghormati proses ini.
“Dalam sistem kehakiman kita, pihak yang berwajib sepatutnya tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati kerana proses mahkamah masih berlaku.
“Perkara ini membabitkan banyak prosedur dan perjanjian yang perlu diteliti, sudahlah pembayaran pampasan tidak adil, datang pula secara kasar dan tidak menghiraukan nyawa kanak-kanak apabila tetap merobohkan bahagian depan rumah,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=61850
Msinc-Minta makcik makcik semua berenti ler mangkah dacing tu...
No comments:
Post a Comment