Oleh Ustaz Zulkifli Ibrahim (Ketua Penerangan PKR Perak).
1. Diri kita sebagai manusia terbahagi
kepada Rohani dan Jasmani atau di dalam Bahasa Arabnya disebut sebagai
Roh dan Jasad. Demikianlah kejadian manusia sebagaimana disebutkan di
dalam Al Qur'an.
2. Demikianlah juga jika kita bicarakan
tentang bentuk pembangunan sesebuah masyarakat di dalam sesuatu kawasan
atau konstituensi.
3. Konstituensi DUN Bota ditandai
sebagai N39 dibahagikan kepada 16 Daerah Mengundi. Kini anggaran
pengundi di DUN Bota mencecah kepada angka lebih kurang 18,000 orang
pengundi. Meskipun demikian, data ini perlu diperhalusi kesahihannya.
Barangkali ada data yang bila disemak di Laman Sesawang SPR kita tidak
menjumpai sebarang rekod tentang pengundi tersebut. Ada juga nanti
menunjukkan datanya di Konstituensi yang lain.
4. Adalah menjadi tugas kita semua untuk
menyemak hal ini secara bersama kerana kita akan nantinya berhadapan
dengan suatu proses demokrasi iaitu Pilihanraya Umum ke 13 bagi memilih
seorang dari kalangan kita untuk dilantik sebagai ahli Perundangan di
dalam Dewan Undangan Negeri Perak.
5. Bagi seseorang yang akan memikul
tugas sebagai seorang ahli Perundangan nanti hendaklah meneliti dua
aspek penting di dalam pembangunan sesuatu konstituensi yang
diwakilinya. Iaitu Pembangunan Rohani dan Pembangunan Jasmani.
6. Di dalam sistem pendidikan di
Malaysia hari ini, arus perdana membahagikan tiga tahap pendidikan yang
rata-ratanya akan dilalui oleh majoriti rakyat iaitu pendidikan rendah,
menengah dan pengajian tinggi. Bagaimanapun masih ada banyak lagi
institusi yang menjalankan Pendidikan Berterusan atau Continuing
Education samada secara formal atau pun tidak.
7. Saya melihat Pembangunan Rohani
adalah aspek yang amat penting diperhebatkan di konstituensi DUN Bota.
Di DUN Bota, premis Ibadah amat mencukupi dari segi fizikalnya, namun
pengisian kerohanian agak sangat kurang memberangsangkan.
8. Soal Pembangunan Kerohanian hendaklah
menjadi tugasan yang amat penting dan paling utama bagi seseorang Ahli
Perundangan atau biasanya disebut sebagai "Wakil Rakyat" DUN Bota.
9. Sesiapa sahaja yang telah pun
menyumbang kepada pengasasan, kewujudan, pembangunan dan penjagaan
premis Ibadah kita iaitu Masjid hendaklah diberikan kredit yang baik.
Namun janganlah sama sekali ada manusia yang menjadikan usahanya yang
terdahulu sebagai suatu "ego-politik" atau political-ego bahawa mereka
telah mengadakannya.
10. Ingatlah sekalian, Masjid adalah
Baitullah atau Rumah Allah. Adalah menjadi tanggung jawab kita semua
membangunkannya sehingalah kepada memakmurkannya.
11. Saya akan memilih untuk memakmurkan
Masjid-masjid (dan juga Surau-surau) yang berada di kawasan DUN Bota.
Pengisian kepada program-program Ilmu (keutamaan kepada Ilmu Wahyu) ke
dalam Masjid dan Surau secara lebih pesat akan menjadi agenda yang akan
kita laksanakan bersama.
12. Seterusnya, ikatan persaudaraan
Sillatur Rahmi akan kita perkukuhkan di kalangan kita sehinggalah
terlihat suatu ikatan Jemaah yang teguh di kalangan masyarakat di dalam
DUN Bota. Ayuh kita tanam suatu wawasan untuk melihat Masjid dan Surau
dimakmurkan dengan hebat dan seterusnya jumlah Jemaahnya bertambah dari
hari ke hari.
13. Inilah wawasan politik (siyaasi)
kita, tidak kira baju parti apa yang kita pakai. Masyarakat yang
memiliki Iman yang teguh akan dapat membuat perubahan kepada Pembangunan
Jasmani atau Pembangunan Fizikal bagi sesuatu kawasan geografi.
No comments:
Post a Comment