Tuesday, February 9, 2010

Nizar: Malaysia menuju monarki mutlak

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan mengakibatkan situasi kemungkinan berlakunya monarki mutlak di Malaysia, dakwa menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.


Menurut beliau tidak perlu diadakan pilihan raya kerana raja-raja boleh menentukan siapa yang akan mengetuai kerajaan negeri ataupun pada peringkat persekutuan.

Pada sidang media, sejurus selepas mahkamah menolak permohonannya, hari ini, Nizar berkata: “Ini adalah risiko paling besar yang dihadapi oleh negara masa kini dan kita perlu perbetulkannya. Keputusan mahkamah itu mengketepikan prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam perlembagaan.”

Nizar juga berkata dia belum membuat keputusan samada akan merayu berhubung keputusan itu yang mengistiharkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.


“Kami akan teliti keputusan bertulis penghakiman dan kemudiannya membuat keputusan,” katanya sambil meminta penyokongnya supaya bertenang.

“Ini adalah hari yang paling sedih bagi Malaysia kerana ia membuktikan sistem penghakiman negara adalah tidak bebas. Sasaran kita sekarang ini ialah merampas semula Perak.

“Rakyat ingin melihat badan kehakiman bebas membuat keputusan. Tetapi berdasarkan apa yang didengar tadi, ia menunjukkan badan kehakiman masih tidak bebas dan dipengaruhi pihak tertentu.”

Menurut Nizar, krisis di Perak tidak sepatutnya berakhir dengan keputusan mahkamah tetapi perlu diserahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang patut mewakili mereka.

MKINI

No comments:

Linkwithin