Wednesday, July 8, 2009
Telok Bakong: Anak pasangan daif terbiar
PARIT: “Sebagai jiran, saya merayu kepada orang ramai bagi mengurangkan penderitaan yang dialami mereka. Itu sahaja yang saya mampu lakukan,” kata Embang Ngah Abdul Rahman, 67.
Embang adalah jiran kepada pasangan warga emas Abdul Hamid Kulup Natin, 65, dan isteri, Salmah Ahmad, 41, serta dua anak mereka Rashidah, 16, dan Mohamad Hairil Abdul Hamid, 10, yang kini terpaksa hidup serba kedaifan dan tidak terurus di sebuah rumah usang di Kampung Padang Marhum, di sini.
Selain hidup serba kekurangan, keluarga ini terus ditimpa malang apabila Abdul Hamid yang sebelum ini bekerja kampung tidak lagi berkemampuan menyara keluarganya selepas diserang penyakit gout sejak empat bulan lalu manakala, isterinya pula mempunyai masalah mental.
Embang berkata, apa yang menyedihkannya, kedua-dua anak pasangan terbabit kini berada dalam keadaan tidak terurus termasuk dari segi persekolahan.
Katanya, dia merayu kepada pihak tertentu membantu menguruskan persekolahan anak pasangan terbabit sama ada meletakkan di rumah anak yatim ataupun asrama bagi membantu mereka mendapat pelajaran lebih sempurna.
“Kami sebagai jiran terdekat sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka termasuk makanan dan wang ringgit bagi meringankan mereka sekeluarga.
“Tiada sesiapa yang menanggung keluarga ini sejak suami pasangan itu terlantar sakit kerana penyakit gout dan mereka hanya mengharap belas ihsan daripada jiran serta derma orang ramai saja,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, dia kasihankan anak pasangan itu yang terbiar dan tidak ke sekolah kerana baginya hanya pelajaran saja dapat mengubah nasib keluarga itu kelak.
Sesiapa yang bersimpati terhadap keluarga ini, boleh menghulurkan sebarang bantuan atau mengunjungi mereka di alamat Batu 14 ½ Kampung Telok Bakong, 32900 Lambor Kanan Parit.
Pihak TBO pernah memberi sedikit bantuan namun tetap gagal membuka pihak yang berwajib membuka mata...
Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment