Monday, June 22, 2009

Tarik desakan perletakan jawatan Nasharuddin, isu panas kerajaan perpaduan tamat serta-merta!



KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat petang tadi mengumumkan menarik balik kenyataannya yang mahu Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Tok Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di Pejabat Agung PAS di ibu negara.

Kenyataan penuh Tok Guru Nik Aziz bernada begini:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat Agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ustaz Nasharuddin, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas Naib Presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nuridah Mohd Salleh.

- Sanggah Tok Sago

2 comments:

Tuk Ketuo said...

SYUKUR ALHAMDULLILLAH KE HADRAT ALLAH TUHAN SEMESTAR ALAM YANG MEMBERIKAN TAUFIK HIDAYAH KEPADA PENDOKONG DAN PEJUANG ISLAM.

MAKA KAMI AKAN JUGA MENGHENTIKAN SEGALA KRITIKAN PEDAS TERHADAP MEREKA YANG TERLIBAT DALAM MASALAH KERAJAAN PERPADUAN DAHULU,TAPI ITU TAK BERMAKNA KAMI TIDAK AKAN MENEGUR DAN TERUS MENGKRITIK DEMI KEBAIKAN AGAMA BANGSA DAN NEGARA.

yes said...

Alhamdulillah dan terima kasih pada TGNA yang berjiwa besar.

Linkwithin