Monday, March 16, 2009

Profesor Dr Aziz Bari sanggah pandangan Rais Yatim tentang kemelut Perak


PERLEMBAGAAN adalah satu dokumen istimewa yang tidak harus dibaca seperti dokumen undang-undang biasa. Demikian ditegaskan Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas huraian Menteri Luar, Dato Seri Utama Rais Yatim, mengenai krisis di Perak Rabu lalu.
“Memang kita semua tahu bahawa peruntukan di bawah Perkara 16(2)(a) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak itu sama, patah demi patah, dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Bahkan peruntukan itu sama dengan negeri-negeri lain termasuk yang tidak mempunyai raja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Dan sebenarnya idea yang sama juga ada dalam peruntukan-peruntukan yang berkaitan di Australia dan India serta kebanyakan negara Komanwel yang kesemuanya mengkanunkan konvensyen yang berasal dan berkembang di United Kingdom,” jelas profesor undang-undang perlembagaan itu ketika diminta memberi komen.
Bagaimanapun, kata Aziz lagi, peruntukan itu tidak harus ditafsir secara harfiah atau literal kerana ia akan menimbulkan masalah.
“Rais seolah-olah membaca peruntukan tersebut seperti membaca peruntukan dalam statut atau akta biasa. Atau macam membaca perjanjian jual beli rumah (S & P agreement). Ini tidak wajar walaupun tidaklah salah,” ujarnya.
Aziz berkata Umno memaki hamun raja selepas mereka kalah di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990 dan menuduh istana menjadi punca kekalahan mereka. selepas itu mereka cuba meminda peruntukan berkenaan.
Katanya “Mereka malah cuba hendak meminda peruntukan berkenaan dengan mewajibkan Raja-Raja mematuhi nasihat. Bagaimanapun mereka membatalkan rancangan itu apabila mereka menyedari bahawa pindaan sebegitu tidak boleh dilakukan kerana raja hanya berkewajipan menerima nasihat dari seorang yang telah dilantik menjadi menteri besar. Kalau belum dilantik apa hak Umno untuk memberi nasihat?”
Aziz menjelaskan meskipun perlembagaan menyebut ungkapan budibicara ia tidak bermaksud bahawa raja boleh melantik secara sesuka hati.
“Sebenarnya apa yang dikatakan budibicara itu hanya wujud atau timbul tatkala ada keraguan atau hung parliament. Tetapi ini amat jarang berlaku. Dalam keadaan biasa raja perlu melantik orang yang mendapat sokongan majoriti dalam dewan. Sebab itulah selama ini Presiden UMNO semacam automatik menjadi Perdana Menteri. Ini kerana ia mendapat sokongan ahli parlimen UMNO dan parti-parti komponen lain. Begitu juga di peringkat negeri di mana Perdana Menteri – meskipun tidak ada hak di sisi perlembagaan – memberitahu sultan siapa yang mereka mahu sebagai menteri besar atau ketua menteri,” jelas Aziz.
Kenyataan politik itulah, jelasnya, yang menyebabkan timbul tanggapan bahawa yang melantik ketua menteri dan menteri besar ialah Perdana Menteri dan bukan sultan atau Yang di-Pertua Negeri.
Rais sendiri ada membuat kenyataan yang membayangkan tanggapan itu tatkala Umno berhadapan dengan situasi sulit di Perlis dan Terengganu selepas Pilihan Raya Umum 2008. Bagaimanapun dalam menjelaskan kemelut politik di Perak sekarang Rais mengubah temanya.
“Beliau semacam melihat kuasa sultan kuasa mutlak yang saya fikir tak begitu tepat. Mengambilkira apa yang berlaku kita boleh berasa ragu apakah sultan sebenarnya menggunakan budibicara itu kerana kita mendapat tahu bahawa ada persaingan dalam jawatan menteri besar. Meskipun secara rasmi atau formalnya sultan melantik berdasarkan budibicara tetapi ada tanda-tanda bahawa sultan melantik orang yang ditunjuk oleh Perdana Menteri. Dan sudah pastilah Umno mempunyai mekanisme untuk memaksa semua ADUNnya menyokong calon berkenaan,” jelas pakar perlembagaan itu lagi.
Bagaimana pun Aziz bersetuju bahawa sultan tidak boleh diseret ke mahkamah kerana baginda masih kebal di dalam mahkamah biasa. Katanya sultan hanya boleh diseret ke Mahkamah Khas yang bagaimanapun hanya menangani soal-soal peribadi seperti gagal membayar hutang dan seumpamanya. Meskipun begitu beliau tidak nampak mengapa kritikan tidak boleh dibuat.
“Selagi ia tidak menghina atau melekehkan sultan apa salahnya. Apa yang menghasut ialah menimbulkan kebencian atau menghujah kenapa sistem beraja perlu dihapuskan. Apa akan jadi kepada demokrasi kita kalau kritikan tidak boleh dibuat?” soal Aziz lagi.
Beliau berkata Umno sendiri berbuat demikian. Dalam beberapa insiden tertentu, termasuk ketika krisis dengan Raja-Raja pada 1983 dan 1993, mereka lebih teruk lagi. Aziz berkata semua rakyat, baik di dalam Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, perlu diberi peluang untuk mendalami sistem kita dan sekarang adalah masanya.
“Sebab itu adalah malang jika Rais mencadangkan tindakan tegas diambil oleh Peguam Negara. Ini akan menimbulkan budaya takut di kalangan rakyat dan mereka akan terlepas peluang untuk mendengar pelbagai hujah dan perspektif,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Aziz lagi, krisis di Perak melibatkan banyak isu yang akhir-akhir ini sudah melarat kepada dewan dan speakernya.
“Seperti yang saya berulangkali katakan tindakan sultan melantik Zambry itu tidak salah tetapi saya fikir ia tidak wajar di dalam senario di Perak kerana ia jelas tidak menyelesaikan masalah. Malah kita mendapat masalah baru yang kemudiannya memaksa sidang diadakan di bawah pokok,” ujarnya.
Beliau berkata krisis di Perak adalah krisis politik yang paling buruk kerana ia memakan masa yang lama.
“Tidak pernah berlaku sebelum ini satu negeri mempunyai dua kerajaan,” ujarnya.
Sehingga ini telah timbul semacam pendapat sebulat suara bahawa pembubaran dewan bagi membolehkan pilihan raya adalah satu-satunya penyelesaian. Rabu lalu Dato Param Coomaraswamy menyatakan bahawa apa yang berlaku di Perak tidak akan terjadi sekiranya sultan membubarkan dewan pada 5 Februari lalu. Pendapat itu turut disokong oleh Majlis Peguam dalam satu kenyataan Selasa lalu.
Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Ahad, Mac 08, 2009 0 ulasan
Pesurujaya Kehakiman Ridzuan Ibrahim boleh diseret ke Dun Perak untuk diadili, dijatuhkan hukuman kerana hina Dun Perak!
PESURUHJAYA Kehakiman Ridzuan Ibrahim boleh diseret ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak untuk diadili oleh dewan kerana menghina dewan. Demikian ditegaskan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh yang turut menyatakan bahawa hakim tersebut telah melampaui bidang kuasanya di sisi undang-undang.
Selasa lalu (3 Mac) mahkamah tinggi membenarkan permohonan Barisan Basional untuk menghalang sidang Dun.
Pendapat Karpal dipersetujui oleh Prof. Dr Abdul Aziz Bari yang berkata Perintah Mahkamah Tinggi itu bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi tulang belakang kepada badan kehakiman yakni DUN, pihak eksekutif yakni Menteri Besar dan Exconya serta badan kehakiman.
“Nampaknya hakim tidak mengambil kira teori ini yang meskipun tidak disebut oleh perlembagaan atau perintah tetap DUN tetapi ia menjadi roh kepada semua peruntukan yang menyatakan kedudukan dan kuasa dewan dan speaker. Begitu juga dengan kuasa DUN dan mahkamah untuk menghukum sesiapa yang menghina perintahnya,” kata Aziz lagi.
Sebelum ini Dato Param Coomaraswamy turut menyatakan kesal atas apa yang beliau lihat sebagai pelanggaran kepada doktrin pengasingan kuasa yang penting itu. Param juga berpendapat bahawa mahkamah tidak harus campur dalam soal ini dan seharusnya krisis politik di Perak itu dikembalikan kepada rakyat melalui pembubaran dewan.
Aziz berkata kedudukan dan kuasa speaker yang luas – baik di Dewan Rakyat maupun dalam Dun – adalah berasaskan kepada kedudukannya sebagai badan perundangan (legislature).
“Dari apa yang kita lihat nampaknya mahkamah tidak menghiraukan kedudukan ini dan meletakkan kedudukan speaker sama dengan kakitangan awam biasa,” tambahnya.
Beliau berkata adalah ganjil apabila mahkamah mengeluarkan perintah melarang sidang dewan kerana ia amat bertentangan dengan teori pengasingan kuasa. Kata Aziz “ini tidak pernah terjadi, baik di Malaysia atau pun di negara-negara Komanwel lain”.
Sebab itu, jelasnya, perintah itu tidak perlu dihormati dan malah hakim berkenaan boleh dihukum oleh dewan kerana menghinanya. Aziz berkata kuasa mutlak sebegini bukanlah sesuatu yang terlalu ganjil.
“Mahkamah sendiri mempunyai beberapa kuasa yang diberi untuk menjaga kehormatannya. Perdana Menteri atau Menteri Besar pun ada kuasa mutlak dalam soal perlantikan dan pemberhentian ahli-ahli kabinet mereka,” katanya lagi.
- Dari Sanggah Tok Sago

No comments:

Linkwithin