Saturday, November 1, 2008

ADAKAH PAS BERSEDIA UNTUK PAS FOR ALL?



Assalamualaikum,


Seorang kenalan saya semasa di USA, Muhammad Ali namanya, mubaligh kulit hitam yang menyebarkan Islam di kalangan banduan di penjara penjara USA, pernah bertugas sebagai tentera US semasa perang Korea. Dia memberi tahu semasa bertugas, tentera kulit hitam disuruh berada dibaris hadapan , tentera kulit putih dibaris belakang, kerana takut sikulit hitam menembak sikulit putih. Juga 20 tahun yang lalu, tiada quaterback kulit hitam dalam American football, tiada coach kulit hitam dalam basketball, tetapi hari ini mungkin mereka akan punyai presiden berkulit hitam. Begitulah perubahan persepsi manusia.


Apabila PAS mencanangkan slogan PAS FOR ALL dalam pilihanraya yang lepas, kelihatan seolah satu keterbukaan dalam PAS telah ada untuk sedia menerima pelbagai isu dan kerenah serta kehendak masyarakat Malaysia. Mungkin slogan ini telah memberi undi bukan Melayu kepada PAS.

Tetapi masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu telah ada beberapa permintaan yang mereka hendak kemukakan, bukan sahaja kepada UMNO dan PAS, tetapi kepada orang Melayu dan Islam keseluruhannya. Di sinilah cabaran PAS FOR ALL bermula.

Cara pemerintahan yang dilakukan oleh UMNO dan BN dilihat sebagai mengungkung, diskriminasi dan represif. Mereka mahu dibebaskan daripada ketidak adilan tersebut. Mereka mahu kuota 30% bumiputra dalam syarikat dan pemilikan harta dihapuskan. Apakah pendirian PAS di sini? Setuju? Atau tidak setuju!



Mereka mahu pengerusi PKNS dikekalkan dengan orang bukan Melayu menerajuinya. Setuju?Atau tidak Setuju? Kalau sekiranya jawatan Naib Cancelor IPTA diminta diperuntukkan kepada bukan Melayu, apakah pendirian PAS? UITM dibuka kepada semua bangsa, tidak kiralah berapa peratusnya.

Apakah pendirian PAS dalam hal konsert dan hiburan. Beri laluan atau tidak? Sebab pada kebanyakan non Muslim, konsert yang pernah diadakah berkeadaan sopan, sedang show yang dibuat oleh artis Melayu Islam ada yang membuka baju!

Dalam hal yang lebih berat lagi, seperti memeluk Islam. Mereka beranggapan kalau sudah masuk Islam, maka, kalau sudah tidak mau Islam lagi, boleh tukar ke agama lain. Sudah ada pun satu kes di mana mahkamah syariah membenarkan seorang yang dulunya memeluk Islam kembali ke agama asal.

Mereka juga mahu orang Islam dibenarkan tukar ugama ke ugama lain. Kita sebut murtad, tetapi pada mereka tukar agama aje. Telah ada pun kes kes yang sedemikian. Dihujahkah kalau orang bukan Islam dibenar menukar ugama kepada ugama Islam, kenapa pula orang Islam tidak dibenarkan tukar ugama ke agama lain? Adakah PAS sudah bersedia dengan persoalan ini?

Ada juga isu urusan rumah tangga yang terbit ekoran daripada masuk Islam, seperti perwarisan harta, penjagaan anak, tuntutan jenazah, hal kad pengenalan dan lain lain lagi. Kesemuanya ini membawa persoalan yang rumit yang perlu ditangani dengan cermat. Sekiranya ditangani cara Zulkifli Nordin ia tidak akan membantu, tetapi akan merugikan pula. Adakah PAS telah sedia dengan permasalahan yang timbul ini?

Bagaimana pula dengan konsep keadilan? Kedah pernah mengumumkan untuk mensyaratkan pemilikan rumah kos rendah dipunyai oleh orang Melayu sebanyak 50%, sedangkan kalau keadilan yang diperjuangkan, maka kriterianya ialah miskin, bukan bangsa. Benarkah membalak kayu secara heliharvesting itu seperti mencabut uban dikepala?

Bagaimana dengan isu penggunaan bahasa pada papan tanda jalan yang heboh diperkatakan oleh UMNO? Bagaimana dengan ketuanan Melayu? Bagaimana dengan peruntukan peruntukan dalam perlembagaan yang sering digembarkan oleh UMNO sebagai dicabar, adakah PAS menerima atau menolak apa yang digembar dan digemburkan?

Apabila PAS mencanangkan PAS FOR ALL maka sepatutnya PAS bersedia untuk mengketengahkan fiqh baru yang mengambil kira dan menjangka perkembangan perkembangan terkini dalam masyarakat. Apabila fiqh tersebut dihasilkan, maka ia menjadi pegangan yang sentiasa bersifat terkini dan terkehadapan.

Itu yang tidak diwujudkan seiring dengan slogan PAS FOR ALL

- http://hamirdin.blogspot.com

No comments:

Linkwithin