(MStar) KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah pertengahan minggu ini, malam ini melahirkan minat untuk mencuba nasib di kawasan Bandar Tun Razak di sini.
Selari dengan pengumuman itu, Anwar juga berkata, pihaknya masih yakin akan membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September ini.
Bagaimanapun kata Anwar, beliau hanya akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya minggu depan.
Kira-kira 2,000 orang membanjiri kawasan Masjid Isaniah, Bandar Tun Razak untuk mendengar ucapan Anwar malam ini - sebahagian daripada siri jelajah beliau ke seluruh negara sejak isu meliwat timbul sebulan lalu.
Mengenai nama empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut akan menyertai Pakatan Rakyat, Anwar berkata, ia akan diumumkan sebaik sahaja beliau menang kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil.
Pertengahan minggu ini, tumpuan Anwar menjurus ke arah bahagian Kulim-Bandar Baharu sebagai kerusi yang bakal ditandinginya.
Anwar mendedahkan beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan penyandang kerusi berkenaan, Zulkifli Noordin.
“Saya dah berbincang dengan Zulkifli dan beliau maklumkan bersedia untuk memberi laluan kepada saya jika pilihan raya kecil diadakan,” kata beliau.
Anwar yang memperoleh lampu hijau untuk aktif berpolitik dua bulan lalu memberitahu, beliau sudah berbincang dengan pemimpin PKR, Pas dan DAP bagi sebarang kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil yang pengumumannya ditangguhkan oleh mahkamah sehingga 16 Ogos ini.
Pada 26 April lalu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang kalah kepada Zulkifli dengan perbezaan 5,583 undi memfailkan petisyen mendakwa Zulkifli kerana gagal mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya pilihan raya umum ke-11.
No comments:
Post a Comment