Friday, June 14, 2013

Ramai Tolak Najib?..Lawan atau tidak: Muhyiddin masih dalam dilemma


Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Sumber Umno memaklumkan kepada Harakahdaily untuk menasihatkan agar berhati-hati dengan perang saraf di media yang dikhaskan untuk tatapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber Umno itu merujuk kepada dua perkara pelik yang berlaku di alam maya baru-baru ini.

Perkara yang pertama ialah tindakan di kalangan blogger Umno yang membuat kajian online sendiri mengenai soalan “Apakah Datuk Seri Najib Tun Razak harus kekal sebagai presiden parti Umno?”

Kajian yang sengaja dipublisitikan oleh blogger Rocky Bru dan OutSyed the Box berkata lebih 70 peratus tidak bersetuju untuk Najib kekal sebagai presiden Umno.

Menurut tulisan OutSyed the Box, pada 12 Jun 2013, seramai 1,291 atau 75 peratus daripada 1,702 pengundi mengundi ‘Tidak Setuju’ manakala seramai 411 mengundi ‘setuju’ untuk Najib kekal sebagai presiden Umno.

Dalam pol terbaru yang blogger ini buat dengan soalan, "Apakah anda setuju tidak perlu diadakan pemilihan untuk jawatan tertinggi UMNO?, 95 peratus respondan atau 1264 mahu pemilihan Umno diadakan untuk peringkat tertinggi.

Ia berdasar dua pilihan jawapan yang diberi iaitu tidak perlu pemilihan (4%) dan Tidak setuju - pemilihan mesti diadakan (95%).

“Ini cuma perang saraf pada team Muhyiddin. Jika Muhyiddin membaca Harakahdaily selama ini, beliau patut lebih tahu bahawa geng-geng Najib sedang merekacipta satu keadaan bahawa presiden Umno diserang untuk menagih simpati ahli-ahli Umno untuk mempertahankannya,” kata sumber Umno kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, ramai orang Najib yang tidak senang dengan laporan Harakahdaily mengenai seruannya menyuruh Muhyiddin untuk mencabar Najib.

“Sebab itu perang saraf terhadap Muhyiddin dimulakan. Selain itu, serangan pada adik Najib (Datuk Seri Nazir Razak) semua itu hanyalah satu wayang untuk mengajak Muhyiddin atau orangnya turut menyerang sama untuk mengundang simpati pada Najib dan mendedahkan hasrat Muhyiddin untuk merampas takhta Umno,” katanya.

Permainan saraf juga terus dimainkan dengan ura-ura bahawa terdapat sebilangan besar ahli parlimen BN mengambil keputusan untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

“Psywar ini bukan sekadar pada laporan media. Lawatan jumpa Ku Li juga adalah psywar. Mesejnya jelas untuk memancing Muhyiddin menunjukkan belangnya lebih awal samada beliau akan mencabar Najib. Najib perlukan jawapan ini. Muhyiddin masih menunggu masa yang sesuai untuk membuat keputusan,” kata sumber Umno itu lagi.

Apakah Muhyiddin sedar pada perkara ini?

“Beliau sedar tak sedar tak pasti. Yang pasti, pasukan Muhyiddin dah seperti masuk perangkap. Sekarang Muhyiddin masih dalam dilemma. Tiga Naib presiden Umno masih tidak menunjukkan sebarang petanda jelas antara Najib dan beliau, mereka akan berada di pihak siapa.

"Sudah tentu, orang Umno hanya nak berada di pihak yang akan menang. Tapi siapa yang akan menang? Sudah ada yang sengaja menghantar mesej bahawa dua gajah bergaduh, kancil di tengah-tengah mendapat keuntungan dengan menjual tiket,” katanya sambil gelak.

Namun begitu, sumber Umno tetap dengan pendiriannya agar Muhyiddin mencabar Najib.

“Muhyiddin perlu mencabar untuk menyelamatkan dirinya. Saya masih berpendapat asalkan ada Datin Seri Rosmah Mansor, peluang beliau untuk memenangi hati orang Umno dan Tun Dr Mahathir masih cerah,” katanya sebelum menamat perbualan.

Wednesday, June 12, 2013

Penduduk Bota Membuat Laporan Polis Tentang Dakwat Kekal Yang Tidak Kekal

Seri Iskandar 8hb Jun 2012-Pengundii pengundi di DUN Bota  hari ini membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai isu dakwat kekal yang digunakan pada hari mengundi, 5 Mei lalu.

Laporan ini adalah sorotan selepas pemimpin tertinggi parti mengambil tindakan membuat laporan Polis terhadap dakwat kekal yang digunakan didalam PRU 13 , Salah seorang dari pengundi yang membuat laporan itu,Encik Nazri Hassan 47,berpendapat bahawa rakyat seluruh negara juga perlu mengambil inisiatif tersebut untuk menguatkan petiyen yang akan dibuat oleh Pakatan Rakyat nanti.

Kira-kira 10 pengundi telah membuat laporan polis di kawasan Parlimen Parit,dan dijangkakan akan ramai lagi pengundi pengundi kawasan Parit akan berbuat seperti itu.


"Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan membuat laporan polis mengenai isu dakwat kekal.Kami akan beramai ramai akan terus membuat lapuran Polis terhadap isu ini"kata Tuan Haji Zakaria,Setiausaha PKR Cabang Parit.


Laporan Polis dilakukan di Pejabat Polis Daerah Seri Iskandar.Turut sama menyertai dan memantau ialah Ustaz Zulkifli Ibrahim,Calon DUN Bota pada PRU 13.Beliau menyeru kepada pengundi pengundi yang mendapati dakwat kekal hilang dalam jangkamasa 5 hari agar tampil membuat laporan Polis,dengan cara ini beliau berharap suara rakyat yang mahukan pilihanraya yang adil serta telus akan didengari oleh pihak pihak yang terbabit.

"Sekarang saya percaya seluruh negara akan mengambil inisiatif membuat laporan polis, apabila cuci jari, dakwat hilang tak sampai pun 5 hari.Seluruh Malaysia, telah ada berapa puluh ribu laporan polis dibuat," katanya pada TBO di sini, hari ini.

Monday, June 10, 2013

Bolehkah mangsa curi redha – TG Nik Aziz

Harakahdaily, 09 Jun 2013
KUALA LUMPUR: “Jika seorang pencuri mengajak mangsa redha dengan kecurian dan tidak perlulah lagi berusaha mendapatkan lagi haknya?” tanya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu menulis demikian di Facebooknya sebagai respons kepada seorang pemimpin Umno Kelantan yang mengajak Pakatan Rakyat menerima sahaja keputusan pilihan raya baru-baru ini.

“Saya membaca Sinar Harian hari ini yang memuatkan kenyataan seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mengajak Pakatan Rakyat menerima sahaja keputusan pilihan raya, usahlah dipersoalkan lagi ketelusannya.


“Saya terfikir, jika seorang pencuri mengajak mangsa redha dengan kecurian dan tidak perlulah lagi berusaha mendapatkan lagi haknya, bolehkah mangsa tersebut redha?” tulis beliau.

Friday, June 7, 2013

Parlimen Milik Siapa?

sim_tze_tzin

Desak Shahidan Kasim tarik larangan sidang media di lobi Parlimen

(Oleh Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 6 JUN: Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, orang ramai berhak membuat sidang media di lobi Parlimen kerana institusi itu adalah milik rakyat Malaysia.
Beliau membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim yang menghalang rakyat, aktivis dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari mengadakan sidang media di bangunan Parlimen pada sesi kali ini.
“Dewan Rakyat adalah tempat pengundi meluahkan masalah kepada pemimpin yang mereka pilih. Saya mendesak Shahidan tarik balik larangan itu,” katanya kepada Keadilan Daily.
“Saya menggesa rakyat tidak takut mengenainya kerana Parlimen adalah milik rakyat yang memilih wakil mereka,” katanya yang juga ahli parlimen Bayan Baru.
4 Jun lalu, Shahidan yang baru mengendali hal ehwal Dewan Rakyat meneruskan larangan sidang media dalam bangunan Parlimen atas alasan mengganggu tugas wakil rakyat.
Ia lanjutan larangan dibuat bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin pada November 2012 bahawa ruang sidang akhbar di bangunan Parlimen khas dan eksklusif untuk ahli parlimen sahaja.
Sim menegaskan, Shahidan jahil konsep parlimen kerana melalui sidang media, wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi mendapat bahan berita.
“Kadang kala suara mereka bukan sahaja tidak didengar di kawasan mereka, malah tidak disiar media yang dikawal Umno-BN.
“Kunjungan rakyat ke Parlimen tidak menyusahkan Pakatan Rakyat. Malah kami sangat menghargai hak pengundi meluahkan masalah mereka di Dewan Rakyat,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=53110

Wednesday, June 5, 2013

SELAMAT PENGANTIN BARU,DR NOOR MUHAMMAD AZLAN SHAH & DR FATIN ADLIA PADA 01 JUN 2013 DI BOTA

Pengantin Bergambar Dengan Keluarga
Bergambar Dengan Keluarga Sebelah Pengantin Laki Laki

Keluarga Dari Pahang
Perjuampaan Keluarga Uda Ghafar

Cicit Cicit  Keturunan Uda Ghafar Bin Hj Mat Akil

Sunday, June 2, 2013

Sekitar Majlis Kenduri Rakyat Sempena 5 Tahun MUAFAKAT Di Madrasah Tarbiah Kg Banda Dalam


Majlis Kesyukuran sempena lima tahun penubuhan Muafakat dan terselamatnya tujuh buah kampung Melayu warisan di sekitar ibu kota daripada dimusnahkan oleh kerajaan BN dalam Draf Rancangan Kuala Lumpur 2020

Pengerusi Muafakat, Hj Ishak Surin berpesan kepada anak-anak muda agar pertahankan kampung warisan tidak kira orang Melayu ,Tionghua dan India kalian nanti jangan jadi bangsa Palestin yang di tindas , kita tolak 1 Malaysia , kita mahu Malaysia Bersatu,  dan   lawanlah  penipuan licik oleh golongan penindas



 Lauk pauk masakan kampung yang amat menyelerakan 

Kenduri Rakyat 


SELAMAT PENGANTIN BARU,DR NOOR MUHAMMAD AZLAN SHAH & DR FATIN ADLIA PADA 26 MEI 2013

Sambutan Mempelai Di Rumah Pengantin Perempuan Di Kota Damansara
Majlis Santapan Raja Sehari
Bonda Dan Nenda Pengantin Lelaki
Rombongan Pengantin Lelaki Dari Telok Bakong Perak

GST bantu orang kaya, bebankan rakyat miskin

Wong Chen

(Oleh Aisha Geoffrey & Ruqayya Rahman)

PETALING JAYA 20 MEI: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan BN hanya membantu golongan kaya dan membebankan majoriti rakyat miskin, kata Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong Chen.
Menurutnya, pelaksanaan tujuh peratus GST di negara ini adalah tidak rasional kerana rakyat terbeban dengan krisis kewangan akibat asas cukai yang lemah, pembaziran perbelanjaan serta rasuah yang ketara.
“KEADILAN memahami rasional bagi GST adalah untuk memperluas dan meningkatkan asas cukai sedia ada.
“Bagaimanapun, kelemahan asas cukai bukanlah berpunca dari pengelakan cukai (tax evasion) tetapi dari fakta bahawa pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia adalah terlalu rendah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
“Majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk membayar cukai pendapatan. Dalam erti kata lain pelan GST BN hanya membantu orang kaya dan majoriti rakyat membayar lebih cukai,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Kelana Jaya itu, krisis kewangan yang dihadapi kerajaan BN boleh dielakkan dengan menghapuskan projek-projek mega yang tiada manfaat dan dengan menangani rasuah secara serius.
“Selagi BN tidak membuktikan mereka boleh mengurangkan pembaziran dan membanteras rasuah dengan berkesan, kerajaan tidak mempunyai hak untuk memperkenalkan GST,” tegas Wong Chen.
Terdahulu, beliau membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dalam satu forum Jumaat lalu membayangkan kerajaan mungkin melihat kepada kadar tujuh peratus, berdasarkan model Singapura.
Katanya, pelaksanaan mekanisma percukaian baru itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion.
“Sudahlah gaji rendah, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya, sekarang nak tambah GST sampai tujuh peratus pula. GST tidak sesuai untuk negara yang menterinya korup dan rasuah macam Malaysia,” tempelak Wong Chen.
Tegasnya, jumlah RM20 bilion setahun itu jika ditolak dengan jumlah ketirisan yang mencecah RM40 bilion setahun, rakyat masih perlu menanggung beban RM20 bilion setahun hanya untuk membayar jenayah rasuah menteri.
“Kalau dia (Idris) nak samakan dengan negara maju macam Singapura, dia perlu lihat dulu berapa banyak gaji rakyat Singapura.
“Kebanyakan negara yang perkenalkan GST tiada hasil bumi. Mereka perlu untuk suntik dana negara, tapi Malaysia mempunyai hasil bumi yang banyak. Konon nak tambah GST untuk tambah dana, tapi hutang negara makin bertambah, rakyat pula tak kaya-kaya,” katanya.
Dalam perbahasan Parlimen tahun lalu, kerajaan menyatakan jumlah GST yang dicadangkan sebanyak empat peratus.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=52249

Thursday, May 30, 2013

Pesan Safwan Anang buat rakyat Malaysia

safwan_anang

Semalam empat orang aktivis iaitu Haris Ibrahim (ABU), Safwan Anang (SMM), Tian Chua (KEADILAN) dan Tamrin Ghaffar telah ditangkap untuk siasatan dibawah Akta Hasutan. Dakwaan ini berkenaan ucapan mereka pada program Malam Anak Bangsa Malaysia pada 13 Mei lalu.

Hari ini kesemua mereka telah dibawa ke mahkamah untuk dibaca pertuduhan. Mereka semua tidak mengaku bersalah dan masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM 5000.
Namun Safwan Anang membuat keputusan di luar jangkaan bahawa dia enggan diikat jamin. Semasa pendengaran perbicaraan beliau menyatakan bahawa dia tetap menjunjung sistem raja berperlembagaan serta menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah. Namun apa yang mendukacitakan ialah seluruh sistem di negara ini telah menjadi tunggangan untuk kepentingan politik UMNO/BN.
Beliau sempat memberi 3 pesanan penting kepada kami supaya disampaikan kepada rakyat seluruhnya;
1) Penahanan dan dakwaan ini bermotifkan politik. Tindakan saya ini sebagai protes dan memberi signal penolakan terhadap salahguna kuasa untuk kepentingan hayat UMNO/BN.
2) Tindakan saya juga demi sayangkan negara dan ingin pulihkan demokrasi yang makin tenat.
3) Dan ini juga mesej jelas kepada anak muda bahawa kita benar-benar serius perjuangkan hak kita. Saya di dalam tetapi saya yakin kalian di luar sana tetap akan terus bangkit brrjuang lawan penipuan!
Dalam fasa kebangkitan anak muda hari ini, UMNO/BN jelas terdesak sehingga sanggup menggunakan apa cara sekalipun demi menjaga survivial politik mereka yang kian rosak. Tangkapan kepada mahasiswa dan anak muda jelas bermotif politik demi menyekat kemaraan dan kebangkitan yang kian memuncak. Kerajaan minoriti ini jelas tergugat dengan kebangkitan rakyat.
Demi menyelamatkan demokrasi yang kian nazak di Malaysia, Safwan Anang rela untuk terus dikurung di lokap. Safwan Anang rela berhadapan dengan polis dan SB sepanjang di dalam lokap nanti. Safwan Anang rela untuk tidur beralas simen dan makan ala kadar seperti banduan. Safwan Anang berkorban masa untuk bersama isterinya yang sedang mengandung. Ini semua demi perjuangan menuntut keadilan.
Justeru saya seru seluruh mahasiswa, anak muda dan rakyat yang cintakan keadilan untuk sama-sama bangkit lawan regim yang jelas menindas rakyat dengan kekuasaan. Ayuh kita nyatakan solidariti untuk Safwan Anang dengan berhimpun secara aman di hadapan Lokap Sungai Buloh.
Mohammed Bukhairy Mohammed Sofian
Presiden PMIUM / Sekretariat SMM

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=52804

Tuesday, May 28, 2013

Hakisan ancam penduduk


Wartawan Sinar Harian
25 Mei 2013
Hakisan ancam penduduk
Meor menunjukkan lubang yang terdapat di celah akar pokok akibat hakisan tebing sungai.
PARIT- Penduduk Kampung Dusun Hulu meluahkan rasa bimbang apabila hakisan tebing sungai semakin menghampiri kawasan rumah mereka, di sini.

Seorang penduduk, Meor Ahmad Najmi, 39, berkata, rumah ibunya paling hampir dengan tebing sungai itu dan ia menimbulkan kerisauannya.

Menurutnya, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat mempercepatkan lagi hakisan tebing sungai itu.

“Tebing sungai dengan rumah ibu saya hanya berjarak beberapa meter sahaja kerana hakisan tebing ini semakin lama semakin kuat.

“Kami amat risau dengan keadaan ini dan tidak mustahil jika ia dibiarkan tanpa sebarang tindakan rumah ibu akan roboh dan terjunam dalam sungai,” katanya.

Katanya, struktur tanah di kawasan tebing berkenaan hanya mampu bertahan disebabkan terdapat sebatang pokok besar di situ.

“Jika dilihat di bawahnya terdapat banyak lubang yang menunjukkan kesan hakisan tebing ini dan ia masih bertahan disebabkan akar pokok yang menyokongnya.

“Saya khuatir jika pokok ini tumbang maka jalan yang memisahkan rumah ibu saya dengan tebing sungai ini juga akan turut roboh di bawa arus sungai,” katanya.

Katanya, tindakan segera oleh pihak berkenaan harus diambil sama ada memasang cerucuk atau sebagainya untuk dijadikan alternatif bagi menghalang hakisan.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan cepat kerana dengan keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan proses hakisan ini semakin cepat," katanya.

Linkwithin