Friday, August 7, 2015

Ugutan terhadap agensi anti-rasuah mesti dihentikan, kata aktivis


OLEH MUZLIZA MUSTAFA
Published: 7 August 2015 7:20 PM

Aktivis sosial Animah Kosai (dua dari kiri) dan Datin Paduka Marina Mahathir (3 dari kiri) selepas pertemuan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, hari ini. Mereka menggesa rakyat memberi sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang kini berhadapan tekanan ekoran siasatan 1Malaysia Development Berhad. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 7 Ogos, 2015.

Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir menyifatkan tindakan keras polis baru-baru ini ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai keadaan yang unik kerana belum pernah terjadi sebelum ini, dan menyeru rakyat berdiri teguh di belakang pihak berkuasa anti-rasuah itu yang berdepan ugutan dalam menjalankan tugasnya.

"Kami tidak pernah melihat keadaan ini di mana pegawai yang ditugaskan membuat sesuatu kerja dihukum kerana membuat kerja itu.

"Jadi, saya rasa ia keadaan yang unik dan penting untuk masyarakat sivil dan semua orang bersatu dan memberikan sokongan," kata Marina di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.


Hadir sama, aktivis Ivy Josiah dan Animah Kosai.

Mereka mengadakan pertemuan selama kira-kira satu jam dengan Timbalan Pengarah Komunikasi SPRM Kamaruddin Ripin.

Turut hadir ialah pentadbir laman Facebook "Rakyat Malaysia Bersama SPRM", Amir Hamzah.

Marina berkata suruhanjaya itu tidak patut dihalang dalam menjalankan tugasnya.

"Saya rasa apa yang mereka perlukan ialah sokongan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas secara bebas dan profesional dan saya fikir itulah yang mereka cuba lakukan," katanya.

Suruhanjaya itu menjadi tumpuan minggu lalu selepas 7 pegawai kanan dan pengarahnya disoal siasat pihak polis berhubung dakwaan kebocoran dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Polis juga menggeledah pejabat pegawai terbabit dan merampas fail siasatan berkaitan dengan 1MDB dan sebuah syarikat yang berkaitan dengan firma pelaburan negara itu, SRC International Sdn Bhd.

Suruhanjaya itu menyiasat aliran wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti yang didakwa The Wall Street Journal awal bulan lepas.

Sementara itu, Ivy berkata rakyat Malaysia harus dibenarkan untuk menunjukkan sokongan mereka dalam apa cara sekalipun.

"Sama ada ia Bersih, menghantar memorandum mahupun membuat laporan polis, saya fikir ia sungguh menakjubkan bagaimana rakyat Malaysia bangkit beramai-ramai menyertainya kerana kami sangat kecewa... orang ramai sangat kecewa, dan kita perlu menggunakan kuasa untuk mengatakan kita mahu kerajaan yang bersih dan adil," kata Ivy.

Amir berkata semua aktivis akan mempertahankan suruhanjaya itu dalam melaksanakan tugas mereka demi kebaikan rakyat.

Terdahulu hari ini, sekumpulan mahasiswa membuat laporan kepada suruhanjaya itu terhadap Najib.

Mereka mahu badan anti-rasuah itu menyiasat sumber dana yang disalurkan kepada akaun perdana menteri itu. – 7 Ogos 2015.

MENYUSUL LAGI


No comments:

Linkwithin