Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda,
"Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun
kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan
Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka".
(Riwayat Muslim)
Keterangan:
Umat Islam akan mengikut jejak langkah ataupun "carahidup” orang-orang Yahudi dan
Nasrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah.
Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan
sempit sekali pun, orang Islam akan terus mengikuti mereka. Zaman sekarang ini kita
dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah saw. ini. Ramai orang Islam yang
kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru “carahidup” Yahudi
dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap
dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali
barut mereka. Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada mereka.
HADIS 6: GOLONGAN ANTI HADITH
Daripada Miqdam bin Ma'dikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda,
"Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas
katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka ia
berkata:"Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (Al-Quran) sahaja.Apa yang di
halalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan".
Kemudian Nabi saw. melanjutkan sabdanya, "Padahal apa yang diharamkan oleh
Rasulullah saw. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah swt."
(Riwayat Abu Daud)
Keterangan:
Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah seorang yang mengingkari
kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas Al-Quran. Ia hanya percaya
kepada Al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan
tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari ikatan Agama Islam dan
pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahani Al-Quran jika tidak merujuk
kepada hadis Nabi saw.. Al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis
panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan
serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh
kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan Al-Quran sahaja, tetapi ia
mesti disertai dengan hadis Nabi saw.
No comments:
Post a Comment