BOTA: “Mak cik sedih dan hanya mampu mengalirkan air mata setiap kali penyakitnya menyerang. Mak cik merayu kepada sesiapa yang sudi membantu mengubati penyakit misteri yang dialami anak mak cik sejak berusia tiga bulan,” kata Zainab Kulop Ibrahim, 67.
Anak Zainab, Farizah Abdul Shukor, 42, menderita penyakit misteri dan sehingga kini, masih menyerangnya.
Zainab berkata, penyakit anaknya itu tidak dapat diketahui jenis dan puncanya walaupun dia sudah membawanya berjumpa doktor dan berubat tradisional.
“Apabila penyakitnya menyerang, badan anak saya jadi panas dan rebah secara tiba-tiba serta tidak sedarkan diri sehingga terkencing.
“Sudah ramai doktor termasuk doktor pakar serta pengamal perubatan tradisional merawatnya namun penyakitnya belum sembuh,” katanya.
Zainab berkata, dia bimbang jika penyakit itu menyerang ketika dia dan suaminya tiada di rumah.
“Anak saya tinggal bersama saya dan suami. Kami khuatir jika penyakit itu menyerang ketika kami tiada di rumah dan saya memang tidak membenarkannya memasak kerana bimbang akan berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Katanya, perkara paling ditakutkan ialah siapa akan menjaga kebajikannya apabila dia dan suami tiada.
Dia merayu sesiapa yang sudi menghulurkan bantuan kewangan atau perubatan kepada anaknya itu supaya dia dapat hidup seperti orang lain.
“Saya merayu agar anak saya mendapat bantuan kewangan bulanan,” katanya.
Orang ramai yang mahu membantu Zainab boleh datang ke rumahnya di Batu 14 ½, Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan, 32900, Parit, Perak.
-Dari Harian Metro
No comments:
Post a Comment