Hijrah Bota
Oleh Ustaz Zulkifly Ibrahim Ketua Penerangan PKR Perak
Salam Hijrah.
Moga Rakyat Bota segera bangkit dan
melakukan perubahan. Kebangkitan rakyat telah berlaku di mana-mana
sahaja di dunia ini. Rakyat menuntut perubahan demi kebaikan semua
rakyat.Perubahan kepemimpinan di dalam begitu banyak pemimpin
perundangan yang juga pemimpin eksekutif di dalam kerajaan berdaulat di
Timur Tengah memberikan suatu petanda bahawa kepemimpinan dunia juga
menuntut perubahan yang sama.
Bagi negara yang mengamalkan sistem
demokrasi, rakyat adalah penentu halatuju kepemimpinan bagi negara
tersebut. Malaysia juga mengamalkan sistem demokrasi. Cuma demokrasi di
Malaysia adalah berparlimen dengan acuan Sistem Raja berPerlembagaan.
Pemimpin perundangan di dalam Dewan
Rakyat dipilih secara demokrasi oleh rakyat. Begitu juga pemimpin
perundangan di Dewan Undangan Negeri Perak.
Tempoh kepimpinan bagi Ahli-ahli Dewan
Undangan Negeri yang dipilih oleh rakyat adalah selama lima tahun.
Selepas tamatnya tempoh tersebut, maka Dewan Undangan Negeri hendaklah
dibubarkan dan satu pemilihan umum yang baru hendaklah dilaksanakan.
Pada masa ini kuasa penentu halatuju kepimpinan sesebuah Kerajaan Negeri
terletak sepenuhnya di tangan rakyat untuk menentukan siapakah wakil
mereka yang sepatutnya dipilih sebagai Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.
Saya amat percaya dan yakin bahawa
saudara-saudara saya dan kesemua rakan taulan yang juga adalah pengundi
di Kawasan DUN N39 Bota mahukan perubahan. Kita menuntut perubahan
kerana kita semua mahukan suatu bentuk kepemimpinan yang telus, adil,
berhemah dan penuh kebijaksanaan. Kita semua menolak amalan rasuah dan
penindasan yang berlaku di dalam kepemimpinan kerajaan masa kini kerana
ianya dipandu oleh barisan ahli-ahli perundangan yang tidak peka kepada
soal amanah, tanggungjawab ketelusan dan keadilan di dalam menjalankan
tugas mereka sebagai pemimpin perundangan. Justeru kalangan mereka yang
juga ahli-ahli kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah sama
menyetujui samada berleluasanya amalan rasuah, salah urustadbir dan
ketirisan di dalam melaksanakan tugas eksekutif sebagai pemimpin yang
menentukan polisi, dasar dan halatuju kepimpinan kerajaan negeri.
Ayuh Rakyat Bota sekalian. Marilah kita
bangkit dan segera berhijrah. Dari pasung ketidakadilan oleh pemimpin
yang zalim kita bebaskan minda dan jiwa rakyat yang terpasung itu kepada
minda yang wibawa dan jiwa yang merdeka.
Saya amat yakin dan percaya bahawa rakyat Bota akan bangkit.Kerana jika rakyat bangkit, Bota akan berubah.
Hijrah Bota! Rakyat Bangkit, Bota Berubah.