Wednesday, December 23, 2009

KENYATAAN RASMI MENGENAI PERMASALAHAN PELANTIKAN AHLI JAWATANKUASA KARIAH SELURUH NEGERI PERAK

Isnin, 21 Disember 2009
Pelantikan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid adalah dilantik berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 memperuntukkan bahawa :

Seksyen 93. (1)

Majlis boleh, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan-peraturan bagi –

(a) penubuhan Jawatankuasa Kariah bagi sesuatu kariah masjid;

(b) menetapkan cara bagaimana anggota Jawatankuasa Kariah itu hendak dilantik; dan

(c) menetapkan fungsi-fungsi Jawatankuasa Kariah itu.



Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998 pula memperuntukkan bahawa :

Kaedah 3. (1)

Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan, hendaklah mencadangkan kepada Majlis melalui Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, ahli Jawatankuasa Kariah bagi jawatan yang dinyatakan dalam subkaedah (2) (a) hingga (j) dalam Borang JK 1 Jadual Pertama.

Jabatan Agama Islam Perak telah menerima berbagai cadangan senarai Jawatankuasa Kariah bagi sesi 2009-2012 samada daripada pihak Ahli Jawatankuasa sedia ada, individu tertentu dan organisasi tertentu. Jabatan Agama Islam Perak tidak terikat untuk menerima pakai semua cadangan-cadangan tersebut walaupun ianya boleh dijadikan sebagai panduan bagi membuat pemilihan dalam urusan pelantikan. Di antara kelemahan yang didapati dari senarai yang dicadangkan adalah seperti berikut :

(a) Mengandungi beberapa nama mereka yang sudah meninggal dunia.

(b) Mengandungi beberapa nama yang tinggal di luar kariah.

(c) Tidak menepati kehendak undang-undang dari segi keanggotaan seperti tidak mempunyai wakil wanita, wakil belia, wakil surau dan wakil imam.

(d) Mengandungi beberapa nama yang dikenali tidak bermoral tinggi di kalangan masyarakat.



Oleh kerana tidak ada satu senaraipun yang menepati kehendak Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998, maka prosedur asal terpaksa digunakan bagi mengemukakan senarai nama kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Berdasarkan Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998, Pegawai Tadbir Agama Daerah telah mengadakan perbincangan dengan Penghulu dan Orang Besar Jajahan bagi mengemukakan senarai nama cadangan Jawatankuasa Kariah bagi sesi 2009 – 2012 kepada Majlis.

Oleh kerana senarai yang dikemukakan oleh ketiga-tiga pihak ini berbeza dengan senarai yang dicadangkan oleh pihak yang memberikan cadangan awal tersebut, maka ianya dijadikan isu seolah-olah Pegawai Tadbir Agama berniat jahat membuat pindaan dan pertukaran daripada senarai asal yang pada hakikatnya tidakpun diperkenankan oleh pihak Majlis.

Apa yang pasti, pindaan yang dikatakan dilakukan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah adalah dilakukan dengan berdasarkan peruntukkan undang-undang dan dilakukan sebelum ianya dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan Persidangan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak. Tidak berlaku langsung apa yang didakwa sebagai pertukaran dibuat setelah mendapat perkenan DYTM Raja Muda Perak, sebagai Yang Dipertua Majlis memandangkan tidak ada pihak yang mengetahui senarai yang dikemukakan kepada Majlis melainkan pihak Jabatan Agama Islam Perak.

Adalah diharapkan agar semua pihak dapat berlapang dada dalam persoalan ini memandangkan jawatan Ahli Jawatankuasa Kariah ini adalah merupakan satu amanah yang besar dalam mengimarahkan rumah Allah, bukan merupakan satu kebanggaan yang menjadi rebutan di kalangan umat Islam.

Wallhu A’lam.

No comments:

Linkwithin