Kami, Dr Mujahid Yusoff Rawa (PAS-Parit Buntar), Ng Wei Aik
(DAP-Tanjong), Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) telah dilantik oleh
kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mewakili kerajaan negeri dalam urusan
persempadanan semula bahagian pilihan raya bagi negeri Pulau Pinang.
Perlantikan kami telah ditetapkan pada 26 September 2014 oleh Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ini dipercayai adalah
jawatankuasa yang pertama ditubuhkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di
Malaysia. Ini menunjukkan betapa serius Kerajaan Negeri Pulau Pinang
memandang perkara ini.
Menurut
laporan akhbar, Suruhanjaya Pilihanraya telah mengumumkan proses
persempadanan semula akhir tahun ini. Kami memerhati perkembangan ini
dengan teliti dan ingin bekerjasama dengan SPR dengan hati yang terbuka.
Kami menyeru SPR mencadangkan persempadanan semula dengan mematuhi
prinsip
“Persempadanan Adil, Parlimen Efektif” (Fair Delimitation,
Effective Parliament). Butiran adalah seperti berikut:
Persempadanan Adil – Perlaksanaan Prinsip “1 orang, 1 undi, 1 nilai” dalam Persempadanan Semula Pilihanraya
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan
Proses Pilihan Raya pada tahun 2012 telah mencadangkan dalam syor
ke-20nya supaya persempadanan semula kawasan pilihanraya mengambilkira
wajaran kawasan luar bandar dan juga memenuhi prinsip “satu orang, satu
undi”. SPR mesti akur kepada syor Parlimen ini dan menghapuskan gejala
“pembahagian tidak sekata” (malapportionment) dan “persempadanan tidak
adil” (gerrymandering).
Parlimen Efektif – Memastikan keberkesanan Parlimen/DUN
Pengundi mengundi Ahli Parlimen/ADUN untuk membawa suara rakyat ke
Parlimen/DUN. Ini adalah tugas utama wakil rakyat. Dengan bertambahnya
wakil rakyat, kuasa perwakilan dan fungsi setiap seorang wakil rakyat
berkurangan. Semakin ramai ahli Parlimen/ADUN, semakin susah untuk
menuntut peruntukan kawasan atau grant pembangunan untuk kawasan.
Jika Parlimen menjadi terlalu besar, wakil rakyat juga akan kurang
peluang berbahas dan membawa suara rakyat ke Parlimen/DUN. Kebanyakan
negara tidak mengubah bilangan kerusi dalam Parlimen/DUN. Sebagai
contoh, di Amerika Syarikat, House of Representatives (dewan bawahan)
dalam Kongres mempunyai 435 orang ahli pada tahun 1911 dan tetap 435
pada hari ini, sungguhpun penduduk telah bertambah menjadi tiga kali
ganda. Di India, saiz Dewan Rakyatnya dihadkan kepada 552 sahaja.
Jika SPR ingin mencadang penambahan kerusi, mereka harus menyakinkan
rakyat bagaimanakah Parlimen akan menjadi efektif dengan pertambahan
kerusi.
Pihak kami akan mengambil 2 prinsip di atas iaitu “Persempadanan
Adil, Parlimen Efektif” sebagai rujukan utama dalam menasihati kerajaan
negeri Pulau Pinang dalam menilai cadangan persempadanan kerusi
Parlimen/DUN di negeri Pulau Pinang oleh SPR.
Pihak kami juga akan mengambil langkah proaktif untuk memulakan
roadshow kami untuk mengambil maklum balas daripada pihak kerajaan
negeri, PBT, Ahli Parlimen dan ADUN, orang awam, NGO-NGO, persatuan
penduduk, parti-parti politik sebagai langkah outreach kami.
Hasil daripada usaha itu, kami akan menyediakan laporan penuh untuk
membentangkan cadangan dan syor-syor kami kepada Ketua Menteri dan Pihak
Berkuasa Negeri.
Jawatankuasa Urusan Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang:
Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar (PAS)
Ng Wei Aik
Ahli Parlimen Tanjong (DAP)
Sim Tze Tzin
Ahli Parlimen Bayan Baru (KEADILAN)