Beliau yang juga bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM turut diganggu secara sihir termasuk menggunakan santau.
Dugaan itu didedahkan sendiri anak Bahri, Eila melalui kemas kini di Facebook beliau malam tadi.
Namun, kata Eila, semua halangan itu tidak menjejaskan tumpuan Bahri, malah tetap yakin "mempertahankan kebenaran".
"Hidup ni, bukan nak tongkat langit, tapi nak cari sebanyak mana sebab untuk Allah redha," tulisnya.
Semalam Bahri menamatkan tugasnya di SPRM kerana dipindahkan secara mengejut ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sebelum itu beliau lantang mengecam serbuan dan pemeriksaan polis terhadap anggota pasukannya yang kini menyiasat isu dana awam yang dikaitkan dengan perdana menteri.
Bahri juga berikrar - dan bersumpah - untuk mencari dalang kepada gangguan dialami SPRM.
Turut ditukarkan, Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob, yang menerima kunjungan wakil parti politik pembangkang ke pejabat agensi berkenaan.
"Ayah saya, Bahri Muhamad Zin hampir 33 tahun berkhidmat di SPRM.
"Berpuluh tahun dia bekerja menjalankan amanah rakyat, siasat dan tangkap malaun-maluan (penjahat) yang suka sangat bedal duit haram (hak rakyat).
"Beratus juta juga dia dan jabatan berjaya selamatkan dari hilang ke tangan-tangan tahi," katanya lagi meluahkan perasan semalam.
Pada tulisan itu juga Eila mendedahkan ayahnya seorang yang tegas terutama dalam soal agama.
Justeru, katanya, dia dan adik-beradiknya terlebih dahulu mengenali Saiyidina Umar al-Khattab berbanding Cinderella.
Sementara itu, Eila juga mempersoalkan pertukaran kerja Bahri ke JPM.
"Saya tahun dia pakar dalam tiga perkara: mengajar agama, siasat, buktikan dan tangkap orang jahat dan tanam pelbagai jenis pokok.
"Apabila ayah dipindahkan, saya terfikir apa yang mereka (orang yang pindahkan Bahri) mahu beliau lakukan.
"Mengajar agama di JPM? tanam pokok di JPM dan hasilnya untuk membayar bil orang kenamaan? atau lagi banyak mereka mahu dia kantoikan orang?," soal Eila.
Mkini