Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Saya boleh memahami betapa marahnya Ustaz Idris Ahmad terhadap tulisan Dr Aziz Bari di dalam Sinar Harian bertarikh 19/10/2009 ( “Pengajaran dari Bagan Pinang” ). Saya percaya Ustaz Idris tidak bermaksud memperkecilkan kehebatan Prof Aziz Bari yang kita tahu seorang Profesor yang bukan sahaja mendalam ilmunya tetapi amat berani dan lantang menyatakan kebenaran.
Kekerasan sahabat saya Ustaz Idris Ahamd menyanggah tulisan Dr Aziz Bari bagi saya mungkin terbit dari keletihan beliau berkempen secara intensif di Bagan Pinang. Sudahlah penat berkempen dan berhadapan pula dengan samseng-samseng Umno dan seterusnya mengalami kekalahan yang besar tiba-tiba Dr Aziz Bari pula mengkritik PAS . Tidak dinafikan saya rasa bukan sahaja Ustaz Idris malahan mungkin ramai juga pemimpin PAS yang lain yang turut berkongsi sentimen seperti Ustaz Idris.
Saya juga pemimpin PAS Pusat. Namun saya tidak sama sekali marah jauh sekali melenting dengan teguran dan kritikan Prof Aziz Bari. Malahan sebagai pemimpin PAS saya benar-benar berterima kasih dengan teguran dan kritikan beliau. Saya yakin tulisan beliau tidak mempunyai unsur mala fide ( niat jahat ). Tulisan tersebut , bagi saya, lahir dari hati suci beliau untuk melihat supaya PAS membuat koreksi diri agar tidak kecundang dalam pilihan raya yang akan datang. Tulisan itu saya yakin lahir dari satu pengamatan beliau yang amat panjang tentang beberapa insiden yang berlaku dalam PAS yang diketahui umum.
Pemimpin gerakan Islam Al-Nahdah , Tunisia yang kini hidup dalam buangan di London, Rashid Ghanouchi pernah menyatakan di dalam satu tulisannya bahawa kesilapan paling besar gerakan Islam ialah adalah ketidaksediaan atau keberatan untuk bermuhasabah dan dimuhasabah.
Orang bijaksana berkata kawan yang sebenar adalah kawan yang sudi menegur kita jika dia melihat kita melakukan kesilapan. Kawan yang buruk pula adalah kawan yang hanya mendiamkan diri malahan menyokong pula meskipun dia tahu kita melakukan kesilapan.
Saya tidak kata tulisan Dr Aziz Bari adalah sempurna dan saya juga yakin beliau juga tidak berpendapat teguran dan kritikan beliau adalah sempurna. Tidak dinafikan kenyataan beliau bahawa “Hasan ( Hasan Ali ) dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokonng mereka” agak menyenakkan sesetengah pemimpin PAS.
Namun jika kita melihat dari perspektif lain, salahkah jika Dr Aziz Bari sebagai pihak di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu.
Politik, orang kata adalah berkaitan persepsi. Saya percaya bukan sahaja Dr Aziz Bari malahan ramai lagi rakyat Malaysia yang lain yang juga mempunyai persepsi seperti Dr Aziz Bari iaitu persepsi bahawa sesetengah pemimpin PAS adalah pro Umno. Kerana kesan bahaya persepsi sebegitulah yang menyebabkan Muktamar PAS berhempas pulas membuat ketetapan dan penegasan bahawa PAS tidak akan ada hubungan dengan Umno dan akan terus bersama Pakatan Rakyat. Kalau kita tidak mahu dilihat dan dikritik pro Umno janganlah buat perkara-perkara yang menyebabkan orang ramai membuat tanggapan bahawa kita adalah pro Umno.
Adakah persepsi lahir begitu sahaja ? Salah ke jika orang-orang di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu setelah mereka melihat apa yang berlaku di dalam PAS – melalui tindak tanduk , kenyataan dan gelagat sesetengah pemimpin PAS.
Bagi saya sudah sampai masanya pemimpin PAS, mengambil istilah kata Khairy Jamaluddin, keluar dari “siege mentality ( mentaliti terkongkong ). Sila lihat di luar sana, orang ramai sedang memerhatikan kita !!!
Salahkah kita menjadi pendengar yang baik ( good listener ) demi kebaikan parti yang kita sayangi ini.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Aziz Bari. Prof, percayalah bagi saya kamu adalah sahabat yang sejati.
Thursday, October 22, 2009
Wednesday, October 21, 2009
Video seks dimainkan di perbicaraan rasuah Jamaluddin dan Osman Jailu

IPOH, 20 Oct – Perbicaraan kes rasuah membabitkan dua bekas ahli majlis tertinggi PKR Perak hari ini memperlihatkan tayangan video yang menunjukkan dua lagi rakan yang dituduh melakukan hubungan seks dengan pelacur daripada China.
Video tersebut menunjukkan bekas ahli majlis Perak Tengah, Zul Hasnan, 45, dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 31 sedang melakukan hubungan seks dengan perempuan-perempuan tersebut.
Ianya telah dirakam dengan menggunakan kamera bersaiz kecil di sebuah apartment di Batu Feringgi, Pulau Pinang, oleh ahli perniagaan Mohamad Imran Abdullah, 34, yang telah bertindak sebagai 'ejen provokasi' untuk SPRM.
Dewan mahkamah telah diperintah untuk dikosongkan oleh Hakim Mahkamah Session Azhaniz Teh Azman Teh berikutan bantahan daripada Ketua Unit Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa.
Peguam pembela Surjan Singh telah membantah arahan tersebut.
"Jika kamu mahu menari, menarilah dengan betul" katanya kepada Abdul Razak.
Hakim Azhaniz Teh berkata beliau tidak ragu-ragu untuk membenarkan pihak media untuk turut menonton video tersebut tetapi menambah dengan berkata adalah lebih baik jika ianya diputuskan sendiri oleh pihak tertuduh.
Peguam S. Muthu, yang membela Zul, kemudian bertanya kepada tertuduh. Zul, sambil tersenyum berkata dia lebih selesa jika mahkamah dikosongkan semasa tayangan video itu.
Para peguam kemudiannya mengakui bahawa video tersebut 'amat pedih' untuk ditonton. Zul, kata mereka, dilihat memeluk perempuan China itu pada mulanya, sebelum kedua-duanya beredar ke tandas dan berbogel. Mereka kemudiannya dilihat melakukan hubungan seks di atas katil.
Sebelum itu, perkara lain yang dibangkitkan didalam perbicaraan hari ini adalah berkenaan wang RM5,000 yang bekas orang PKR Jamaluddin Mohd Radzi, 52, dituduh menerima dipejabatnya didalam bangunan SUK pada 14 Ogos tahun lalu, telah diberi sebagai "derma', bukannya 'merasuah', dan untuk kegunaan pada pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Dalam keterangannya, saksi keenam pihak pendakwaraya Mohamad Imran Abdullah, 34, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memberitahu Jamaluddin bila bertemu dengannya hari itu yang beliau membawa bersamanya sedikit 'sumbangan'.
Mohamad Imran, sebagai ejen provokasi kepada pihak penyiasat, berkata bahawa Jamaluddin telah bertanya untuk apa tujuan 'sumbangan' itu.
Beliau berkata seorang lagi tertuduh, ahli politik PKR dan juga bekas ahli dewan undangan negeri Usaili Alias, yang berada bersama mereka di dalam bilik tersebut, telah memotong dengan berkata: "Ianya untuk Permatang Pauh."
Apabila Abdul Razak daripada SPRM menyoal beliau tentang kegunaan sebenar wang RM5,000 itu, Mohamad Imran berkata: "Pada saya, wang tersebut adalah untuk membantu pilihanraya kecil Permatang Pauh dan juga untuk membantu saya mendapatkan projek di Seri Iskandar."
Hakim Azhaniz Teh kemudiannya mencelah dan bertanya, "Pada awak? Awak berkata bahawa ini adalah 'pada awak'?"
Mohamad Imran mengangguk dan berkata, "Ya, pada saya. Pada saya, wang tersebut untuk Permatang Pauh dan projek."
Mahkamah juga menyaksikan rakaman video kejadian tersebut di pejabat Jamaluddin pada 14 Ogos, yang telah dirakam menggunakan kamera bersaiz kecil pemberian SPRM kepada Mohamad Imran.
Rakaman tersebut menunjukkan Mohamad Imran menyerahkan wang RM5,000, kesemuanya terdedah, kepada Jamaluddin yang tidak mengambil wang tersebut.
"Dia memberitahu saya supaya menyerahkan wang tersebut kepada Usaili, yang telah mengambilnya dan menyimpan didalam poket," tegas Mohamad Imran.
Jamaluddin, bersama-sama Mohd Osman Mohd Jailu, 57, dan tiga lagi, Usaili, 56, bekas ahli majlis bandaran Perak Tengah Zul Hasnan, 45, dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 31, menghadapi beberapa pertuduhan rasuah di atas cadangan projek pembangunan bernilai jutaan ringgit di Seri Iskandar.
Juruteknik Perbadanan Kemajuan Perak, Ruslan Sahat yang juga didakwa bersama-sama kumpulan ini pada mulanya tetapi pertuduhan keatasnya telah digugurkan selepas kematiannya Ogos lalu.
Sementara itu, mahkamah juga menayangkan dua lagi rakaman yang menunjukkan wang, di dalam jumlah yang berasingan, RM5,000 dan RM10,000 diserahkan kepada Mohd Osman, yang juga meminta supaya wang-wang tersebut diserahkan kepada Usaili.
Satu lagi kejadian berlaku di Aquarius Coffee House, Hotel Summit di Bukit Mertajam pada 16 Ogos, 2008 bila kelihatan Mohamad Imran menyerahkan wang RM5,000 kepada Mohd Osman.
“Mohd Osman lihat wang tersebut dan meminta supaya ianya diserahkan kepada Usaili, yang menerimanya,” kata Mohamad Imran yang menambah bahawa wang tersebut adalah untuk membantunya mendapatkan projek di Seri Iskandar.
Didalam kejadian yang lain pula, pada 19 Ogos di restoran Kluang Station Ipoh, Mohamad Imran telah menyerahkan sebuah beg kembara yang mengandungi RM100,000 kepada Mohd Osman.
Didalam video tersebut, mahkamah menyaksikan Mohamad Imran membuka zip beg tersebut sambil mengadap kepada Mohd Osman.
"Saya kemudiannya menutup beg itu dan menolaknya kearah dia tetapi dia memberikan isyarat kepada saya supaya memberikan kepada Usaili," kata Mohamad Imran.
Usaili, tambahnya, mengambil beg tersebut dan menyimpan disebelahnya.
Pegawai pencegah rasuah kemudiannya memasuki tempat tersebut lalu menahan Usaili dan Mohd Osman, begitu juga Ruslan yang berada didalam restoran tersebut pada hari itu.
Didalam rakaman yang lain kemudiannya, mahkamah telah menyaksikan Mohamad Imran juga menyerahkan RM2,000 kepada Ruslan di Apartmen Sri Sayang, Batu Feringgi, Pulau Pinang pada 14 Ogos, 2008.
Pertemuan hari itu telah diaturkan oleh Mohamad Imran, yang juga telah mendakwa diminta membawa bersamanya tiga orang rakyat China.
Zul, Fairul Azrim, Ruslan dan pegawai SPRM (BPR pada ketika itu) Norliza Musa, yang menyamar sebagai teman wanita Mohamad Imran, juga hadir pada pertemuan tersebut.
Perbicaraan akan disambung lagi esok untuk menyoal balas Mohamad Imran.
Tuesday, October 20, 2009
SPEAKER HALAL vs SPEAKER HARAM

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN
Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).
Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat ( PR ) .
Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar
Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar.
Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.
Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.
Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.
Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.
Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).
Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .
Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan
“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)"
Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut
“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”
Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama
Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.
Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.
Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang
Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.
Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.
Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.
Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!
Monday, October 19, 2009
Mengapa Pakatan Rakyat Perak dijatuhkan?

http://perakexpress.com: Mat Saman Kati
Kita semua tahu apa yang berlaku di Perak. Tetapi ramai yang tidak tahu, mengapa ia berlaku.
Sekiranya anda masih ingat, ianya mengambil masa seminggu untuk kerajaan baru di Perak dan Selangor mengangkat sumpah selepas pilihanraya umum Mach 2008. Kedua-dua Sultan dinegeri ini mahu ‘membincangkan’ terlebih dahulu dengan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat.Sultan kemudiannya meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju untuk melantik Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri yang baru.
Jurang masa selama seminggu itu telah memberika masa kepada kerajaan negeri yang lama iaitu Barisan Nasional untuk memindah dan memusnahkan banyak bukti-bukti penyelewengan yang dilakukan sebelum ini.
Kelewatan selama seminggu ini juga membolehkan Barisan Nasional menawarkan kemungkinan untuk Umno bergabung dengan Pas untuk membentuk kerajaan baru di Selangor dan Perak. Malah, Umno bersetuju memberikan kerusi Menteri Besar kepada Pas dikedua-dua negeri ini. dan kemuncaknya, Umno malah bersetuju untuk membenarkan Pas melaksanakan undang-undang Islam dikedua-dua negeri ini.
Tetapi, Pas terus bersama dengan dua rakan mereka, PKR dan DAP didalam Pakatan Rakyat dan menolak tawaran Umno. Akhirnya, kedua-dua Sultan tidak mempunyai pilihan melainkan menerima Pakatan Rakyat sebagai kerajaan baru di Perak dan Selangor. Tetapi ini tidak menghentikan mereka dari terus merancang dibelakang tabir tentang bagaimana untuk menjatuhkan kedua-dua kerajaan ini.
Sultan Selangor agak bersedia untuk menerima keadaan yang berlaku. Tambahan pula, Pakatan Rakyat Selangor mempunyai majoriti yang cukup banyak dan agak susah untuk membeli ramai Ahli Dewan Undangn Negeri. Tetapi, Perak agak berlainan sama sekali. Majoriti yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat Perak amat sedikit berbanding Selangor.
Sebaik saja kerajaan baru dibentuk di Perak, Sultan Perak mula meminta macm-macam. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak bersedia bertolak ansur, demi menjaga hubungan baik dengan istana. Tetapi apa yang diminta oleh Sultan dan kerabat diraja agak berlebihan dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tidak mempunyai pilihan melainkan menolak permintaan Sultan.
Dan ini menyebabkan Sultan murka. Dan apabila Pakatan Rakyat Perak kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional mempunyai jalan yang amat mudah untuk mendapatkan perkenan untuk Barisan Nasional membentuk kerajaan baru.
Pada mulanya, Sultan Perak tidak begitu pasti sama ada hendak menyingkir kerajaan Pakatan Rakyat dan memilih Barisan Nasional. Apabila Menteri Besar, Nizar Jamaludin berjumpa dengan Sultan dan memohon Dewan Undangan Negeri dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya baru diadakan, Sultan meminta masa untuk membuat pertimbangan. Tetapi sebaik saja selepas itu, Najib Tun Razak berjumpa Sultan dan mempengaruhi Sultan untuk menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, sebaliknya melantik Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan yang baru.
Taktik Najib amat mudah. Nazrin, anak kepada Sultan Azlan Shah, tidak sepatutnya menjadi Raja Muda. Dan ini bermakna, dia tidak sepatutnya menjadi Sultan kelak. sekiranya Sultan Azlan mangkat. Kerajaan Pusat tidak akan menyokong Nazrin sebagai Sultan Perak seterusnya. Lihatlah apa yang berlaku di Negeri Sembilan. walaupun Yamtuan melantik anaknya sebagai Raja Muda, tidak bererti dia akan menjadi Yamtuan.
Oleh itu, sama ada Nazrin boleh menjadi Sultan atau tidak bergantung kepada hubungan baik dengan kerajaan Pusat. Tetapi hubungan baik itu hanya boleh diperolehi sekiranya Barisan Nasional menjadi kerajaan negeri. Kalau Pakatan Rakyat masih lagi menjadi kerajaan negeri, maka Nazrin terpaksa membayar harganya apabila tiba masa untuk menggantikan bapanya.
Tambahan pula, Sultan dan keluarganya telah meminta banyak perkara dari kerajaan Pakatan Rakyat, semuanya telah ditolak. Umno pula akan memastikan bahawa semua permintaan Sultan dan keluarganya akan dipenuhi sekiranya Barisan Nasional dipilih sebagai kerajaan negeri.
Dan dengan itu, Pakatan Rakyat menemui ajalnya di Perak. Sultan memilih Barisan Nasional sebagai kerajaan negeri yang baru dan Pakatan Rakyat menjadi pembangkang.
Apakah permintaan Sultan dan keluarganya yang ditolak oleh Pakatan Rakyat dan sebaliknya diterima oleh Barisan Nasional? Mari kita tengok, dalam masa beberapa bulan saja, Sultan dan keluarganya tiba-tiba menjadi salah satu keluarga diraja yang terkaya di Malaysia, sebaik saja Pakatan Rakyat tumbang.
1. Umno menghadiahkan kepada Sultan sekeping tanah yang dikenali sebagai lot 183578. Tanah seluas kira-kira 600 ekar ini terletak di Tanjung Tualang, dalam daerah Kinta. Tanah ini telah di berikan kepada salah seorang proksi Sultan yang bernama Mohamed Khaair Johari Hj. Osman.
2. Umno menghadiahkan kepada Sultan konsesi balak seluas 1,000 ekar yang terletak di Ulu Kenderong, Gerik, Hulu Perak, disepanjang lebuhraya Gerik-Kupang. Konsesi ini pada mulanya diberikan kepada Universiti Utara Malaysia. Walaubagaimanapun, pemberian ini ditarik balik dan diberikan kepada Pusat Kreatif Kanak-Kanak dimana Pengerusinya ialah Raja Datuk Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah.
3. Umno menghadiahkan kepada Sultan tujuh konsesi balak di kompartmen 39, 41, 42, 43, 44, 45 dan 49 di Hutan Simpan Kenderong di Hulu Perak. Ketujuh-tujuh lot ini, yang berjumlah kira-kira 600 ekar, diberikan kepada dua syarikat proksi Sultan - Syarikat Zotonjaya Sdn Bhd dan Kibaran Wang Sdn. Bhd.
4. Umno akan meluluskan satu cadangan penghutanan semula (reforestation) yang melibatkan 10,781 hektar. 5,781 hektar terletak di Hutan Simpan Gunung Besout, di selatan Perak wementara 5,000 hektar lagi di Pondok Tanjung dalam daerah Larut Matang. Syarikat yang akan mendapat projek ini ialah Permatang Utama Sdn. Bhd (nombor syarikat 513583-D) dimana Pengerusi Eksekutifnya ialah Datuk Seri Ismail Farouk Abdullah, menantu kepada Sultan Azlan Shah).
5. Berikutan dengan itu, Datuk Seri ismail Farouk Abdullah dibenarkan untuk mengambil alih Hotel Casuarina milik kerajaan negeri dengan harga yang paling murah iaitu RM43 juta dimana harga sebenar jauh lebih tinggi dipasaran terbuka. Hotel tersebut terletak dikawasan paling strategik di Ipoh malah harga tanah lapang saja mempunyai nilai yang amat tinggi.
Keluarga Diraja Perak bukan orang susah. Tetapi nampaknya mereka tamak. Raja datuk seri Eleena Azlan Shah merupakan Pengarah kepada Gamuda Berhad dan juga merupakan orang ke 25 kaya di Malaysia dengan harta bernilai RM773 juta. Ini menjadikan beliau wanita kedua terkaya di malaysia selepas Puan Sri Chong Chook Yew, yang menduduki tangga ke 18 dengan harta bernilai RM1 billion.
Gamuda Berhad juga telah diberikan kontrak bernilai lebih RM10 billion. Ia juga mengurus dan menyelenggara lebuhraya sepanjang 230 kilometer dan juga merupakan pemaju hartanah di empat projek bandar baru yang melibatkan lebih dari 30,000 rumah.
Itulah kisahnya. Rakyat Perak, khususnya orang Melayu, merasakan bahawa pembangkang tidak menunjukkan hormat kepada Sultan. Apa yang tidak diketahui oleh mereka ialah Sultan tidak seharusnya diberikan penghormatan. Dan ramai juga yang tidak tahu mengapa Sultan mahukan Pakatan Rakyat disingkir di Perak.
Sekarang, kita berharap, rakyat Perak tahu apa yang berlaku.
(Artikel diatas adalah terjemahan daripada artikel asal Raja Petra “Why the Pakatan Rakyat government was brought down in Perak” yang disiarkan di Malaysia Today)
Era Najib Altantuya : Kumpulan UG Perosak Sebenar PAS

Pengajaran dari Bagan Pinang
Oleh Prof Ab Aziz Bari
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang berlangsung, 11 Oktober lalu, sudah pun diketahui keputusannya. Kemenangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Samad memang dijangkakan meskipun kegagalan calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat, Zulkefly Mohamad Omar, untuk mengurangkan undi majoriti Barisan Nasional (BN) agak memeranjatkan.
Pelbagai analisis dibuat dan saya tidak mahu menambah apa-apa. Saya sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting daripada sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya. Hal-hal ini penting kerana selain menjadi tema dan mauduk utama ruangan ini, itu semua penting dalam membina sebuah Malaysia yang adil, telus dan sistematik walau siapa dan apa pun warna politik kita. Saya ada menyebut betapa kewujudan sebuah sistem dua parti yang mantap penting bagi memperkasa ideal perlembagaan kita. Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.
Berbalik kepada Bagan Pinang apa yang kita lihat ialah betapa wakil rakyat – yakni Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – pada hakikatnya dianggap sebagai ‘pegawai kebajikan’. Walaupun ini tidak salah tanggapan dan imej memberi kesan yang besar kepada kedudukan dan peranan wakil rakyat berkenaan dan kualiti dewan perundangan kita. Dan seterusnya ini memberi kesan langsung kepada kualiti undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kita. Begitu juga dengan fungsi dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.
Ada kemungkinan pengundi dalam DUN Bagan Pinang, kerana ia adalah pilihan raya kecil dan tidak memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Negeri, mahu mengingatkan Pakatan supaya lebih berhati-hati dan memberi perhatian kepada masalah dan kebajikan rakyat. Ada pihak yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Teluk Kemang yang merangkum DUN berkenaan gagal memainkan peranan. Ini mungkin benar. Tetapi apakah ini cukup kuat untuk mereka memenangkan calon Barisan yang diketahui korup, yang hanya dikatakan ‘teknikal’ oleh pemimpin utamanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun tidak suka calon itu meskipun selepas keputusan diumumkan Mahathir berubah dan turut bergembira dengan keputusan di Bagan Pinang itu.
Keputusan pilihan raya kecil itu menyebabkan sesetengah pihak kesal dan sedih kerana kemenangan besar itu menandakan sikap pengundi yang semacam tidak kisah dengan soal integriti dan kebersihan calon. Apatah lagi mengingat bahawa calon Pas adalah seorang yang begitu aktif dalam isu-isu umum, termasuk alam sekitar dan kes pelupusan sampah Broga. Dalam pada itu sebagaimana di tempat-tempat lain khidmat Barisan bukanlah sempurna, di sana sini banyak juga kegagalan dan kelemahan pentadbiran Mohd Isa sewaktu beliau menjadi Menteri Besar dahulu. Begitu juga dengan pentadbiran sekarang di bawah Datuk Seri Mohamad Hassan.
Hal ini memberi gambaran bahawa kemenangan besar Barisan itu adalah kerana kawasan itu memang kubu UMNO. Sebab itulah ada pihak yang berkata bahawa parti itu tidak harus terlalu seronok kerana apa yang terjadi di Bagan Pinang itu tidak semestinya aliran umum yang akan mendominasi politik negara.
Walau apa pun imej Pakatan yang dipaparkan dalam media yang dikuasai Barisan juga tidak membantu. Imej yang dipaparkan membayangkan betapa gabungan ini rapuh dan tidak berupaya mengambil tempat Barisan. Secara kebetulan itulah kesimpulan yang dibuat oleh Merdeka Center dalam tinjauan lapangan yang diselesaikannya pada awal bulan ini: sekitar 43 peratus dari pengundi berdaftar yang diselidikinya tidak yakin kepada kemampuan Pakatan untuk memerintah di peringkat persekutuan.
Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali atau menyingkirkannya terus. Dalam beberapa portal berita Hasan dilihat sebagai liabiliti kepada Pakatan umumnya dan Pas khususnya. Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.
Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Pas. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan salah Hasan itu secara terbuka. Tindakan dan perangai Hasan itu memang pelik kerana adalah mustahil seorang pegawai tadbir beliau tidak faham konsep tanggung jawab bersama dan bezanya dengan kedudukan penyokong kerajaan.
Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam Pas yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti. Secara perlahan-lahan lulusan syariah Universiti Al-Azhar dan sarjana undang-undang perbandingan Universiti Kent itu mula dilihat sebagai mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Mohd Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 2002.
Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda Pas dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi Pas di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu. Ini menyedihkan kerana selain pernah memerintah dari 1999-2004 Pas juga mentadbir negeri itu dari 1959-1961.
Perubahan kepemimpinan penting bukan saja untuk Pas, tetapi juga dalam konteks mereformasikan sistem kita. Perubahan mendasar hanya akan berlaku sekiranya ada kerajaan baru di peringkat persekutuan. Kita semua maklum Barisan tidak akan berbuat apa-apa kepada SPR dan undi pos umpamanya. Begitu juga dengan kedudukan perkhidmatan awam umumnya dan pasukan polis khususnya. Perubahan-perubahan ini amat penting jika kita mahu Malaysia membuat perubahan sebagaimana yang mula kelihatan di Indonesia selepas dua penggal Susilo Bambang Yudiyono memimpin negara. Jika tidak kita akan terus ketinggalan dan menggigit jari.
Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika Pas kekal dengan kapten yang ada ini mungkin akan berkurang. Sejumlah 21 peratus pengundi yang masih berada di atas pagar kemungkinan besar akan berpihak kepada BN dan untuk memperkasa demokrasi di Malaysia akan gagal lagi.
Sunday, October 18, 2009
Jamuan bersama TBO dan Kelab Veteran Dan Syawal Bersama TBO
Pada 13 hb Oktober lepas,TBO telah berkesempatan meraikan idul fitr bersama dengan Kelab Pemuda Veteran Telok Bakong di Hotel Excelsior Ipoh.Tujuan jamuan ini adalah untuk mengeratkan jalinan muhibah antara TBO dan Kelab Pemuda Veteran.Majlis juga turut disertai oleh Pengerusi PKR Telok Bakong Encik Zainal Aznam.Dalam ucapan beliau menyeru supaya TBO dan Kelab Veteran berusaha mendekati masyarakat dan dapat memahami permasalahan mereka.Antara program lain disamping jamuan,Kelab dan Tbo telah merangka beberapa aktiviti masyarakat yang bakal dijalankan sepang tahun ini dan tahun depan.
Wakil TBO juga telah berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada penduduk Telok Bakong.Ini adalah kesinambungan dari projek Syawal Bersama TBO.Encik Nazri selaku wakil TBO mengucapkan ribuan terima kasih kepada penderma dan beliau berharap pada masa-masa akan datang lebih ramai lagi dermawan akan tampil untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan ini.Kepada mereka-mereka yang berminat untuk menderma secara peribadi boleh juga berhubung dengan beliau.Bagi pihak TBO pula berharap supaya budaya menderma ini tidak berbatas pada bulan Ramadhan atau Syawal sahaja tetapi adalah lebih baik ianya dapat dijalankan sepanjang tahun.Semoga Allah memberi rahmat kepada mereka yang menderma.
Msinc…bersyukur….
Friday, October 16, 2009
Jangan Harap Umno Berubah!!

Perhimpunan Agung Umno masih kekal dengan aksi 'stereotype'nya.Saban tahun kita di sajikan dengan 'hiburan yang di jangkakan'.Setiap perwakilan berlumba-lumba menonjolkan diri dan mahu membuktikan aku lah pemgampu no wahid!!!
Apakah yang telah di laungkan dalam perhimpuan 2008 telah di laksanakan ?.Keris sana sini dan semua ini tidak lebih sekadar retorik yang di agung di angguk oleh setiap perwakilan.Apa perlunya di siarkan di muka utama buletin utama?Ia adalah perhimpunan Agung Umno,bukan semua rakyat malaysia ahli Umno!!!
Ini penyalahgunaan jentera kerajaan apabila RTM memberi liputan tak berbelah bagi.Maka tahun depan pasti berulang lagi.Ini contoh yang mudah Umno tetap tak berubah cuma sekadar menjadi bahan jenaka rakyat Malaysia.
Apa perlunya menyerang Anwar setiap kali perhimpunan,tindakkan bodoh sombong yang tak mendatangkan manfaat malah memakan diri balik menambah kebencian rakyat.Anwar pasti tersenyum girang melihat gelagat angkuh Khairy Jamaluddin.Kenapa Ezam kurang menonjol dalam perhimpunan kali ni...!!!Dah tak laku kot...Umno dah tak relevan,ucapan Najib membuktikan pemimpin Umno lebih mementingkan diri dari mendampingi masalah rakyat.Itulah amalan Umno selama ini dan di sahkan oleh Najib semalam.Tak percaya tengok perhimpunan tahun depan pasti masih berlegar2 isu yang sama.Perhimpunan yang membazirkan masa.
Kesimpulannya perhimpuan agung Umno bukan menyelesaikan masalah cuma sekadar membangkitkan masalah tanpa kerja2 mengatasinya.Jangan harap kata-kata manis dari Umno.
Veteran Umno berkata tanpa Umno tiada melayu ...porahhh...sehingga kini masalah melayu makin bertambah di bawah pemerintah Umno.
'Umno Haprak Membikin Semak Kepala Hotak'
Wednesday, October 14, 2009
Bagan Pinang: PAS macam Team Bola Malaysia

Gambar ihsan tok sidang al-husseyn
moniermatdin@yahoo.com
Sabtu mlm ahad baru ni (10 Oct 09), bersama beberapa orang rakan, kami ditakdirkan berada di Bagan Pinang. Depa kata mlm tu jalan jem, polis road blok merata - tak boleh masuk ke sana; tapi mlm tu tak ada masalah sangat pun, senang saja kami masuk, lebih kurang jam 8:30 mlm kami sampai ke sana.
Parking pun tak ada masalah sangat, tak jauh daripada Masjid Kariah Bagan Pinang.
Oleh kerana kami-kami ini hanyalah rakyat biasa, yang curious nak pi tengok suasana Pilihanraya kecik yang diberi liputan besar ini, dan kami ini pula tidak punya apa-apa jawatan dalam parti, maka perjalanan kami ke sana tu memang tak ada tempat khas untuk dituju. Saya dari Kedah, walau pun kat situ ada rumah PAS Kedah, tapi sebab saya ini hanyalah penyokong biasa PAS, taklah boleh nak pi masuk ke sana sewenang-wenangnya. Macam tu juga dengan sahabat saya dari Selangor, walaupun penyokong PAS, tapi dia pun tak boleh nak masuk ke rumah PAS Selangor macam tu saja. Last sekali, kami end up kat markas utama kat depan Masjid Bagan Pinang.
Saya cuma nak berkongsi dua tiga perkara yang sempat saya perhatikan sewaktu di sana.
Antaranya, kalau nak dibandingkan dengan PRK yang sebelum sebelum ini yg pernah saya dok ikut perhati, misalnya PRK Bukit Selambau, Permatang Pauh, Penanti dan juga Permatang Pasir, suasananya memang jauh sangat berbeza.
Malam tu lagi kami dok sembang sesama sendiri, memang boleh agak dah PAS akan kalah esok hari - bukan takat kalah, tapi kami dok agak sure kalah teruk punya.
Apa tidak, kalau hangpa ada sana malam tu, hangpa sendiri boleh dapat rasa; nampak macam Jentera PAS dan Pakatan start malam tu lagi dah mula surrender!!
Kalau kat Permatang Pasir dan Penanti serta Bukit Selambau hari tu, nu - dekat nak pukul 12:00 mlm pun depa dok balun ceramah lagi. Ceramah-ceramah ini sebenarnya bukan setakat sebab nak kempen tarik pengundi tapi juga dari segi saikologi nak penaikkan semangat petugas-petugas PAS itu sendiri. Malangnya, malam itu, kat markas besar depan masjid Bagan Pinang tu, saya tengok cuma brother yg dok jual ubat tu saja yg dok bagi ceramah - jual ubat apa entah.
Saya tengok penuh org-org PAS dari seluruh pelusuk tanahair pakat dok berhimpun dengar brother tu ceramah - sure laku punya ubat dia malam tu!!
Ceramah PAS tak nampaklah pula, yg ada cuma skrin VCD ceramah lama-lama, sebijik mcm bilik gerakan UMNO kat beberapa PRK di Utara hari tu, ceramah pakai skrin VCD saja. Mungkin jentera PAS dah tau kata PAS nak kalah, nak ceramah pun buat apa, buat sakit tekak ja. Maka jadinya, mlm tu saya tengok moral dan semangat org-org PAS memang dah merudum, mungkin sebab tu kot ramai yg saya tengok dok sembang melepak pekena Mee Sup kat gerai-gerai makan di situ.
Di celah-celah tu, saya tengok pemuda-pemuda UMNO dengan berani dan ceroinya bawa bendera BN ikat kat kat Mutu, dok rem - selamba saja lalu kat depan-depan markas PAS di celah-celah penyokong-penyokong PAS yg ramai dok ada tu. Org-org PAS pakat buat tak tau saja, macam tarak pa-pa, mcm dah tau kata esok nak kalah dah. Kalau kat Utara hari tu - hmm, kat Kg Padang Ibu PRK Permatang Pauh hari tu, saya tengok sendiri, budak-budak BN tu naik gabrah sampai tak leh cari jalan keluar - kena sekat kiri kanan - sampai kena ikut short cut masuk kot taman mana-mana entah!!
Kat Bagan Pinang ini, saya tengok org-org PAS macam dah lembik lutut, kalau ada pun yg bersemangat, saya tengok cuma sorang brader tu saja.
Lebih kurang jam 8:45 mlm tu, kami lalu kat round-about menghala ke Teluk Kemang; sebelum round about tu, tak jauh dari kem Askar, ada polis ka SB dok tangkap gambaq bendera besar PAS bekas kena bakar kat tepi jalan tu. Sorang brader tu lalu tepi kereta saya, dia naik mutu, sampai kat situ, dia maki polis ka SB yg dok ambik gambaq tu. Macam-macam maki hamun yg dia hamburkan, tapi takat maki ja la, lepas tu dia terus pecut mutu dia pi dari situ.
Saya pun tak pasti sapa yg dok pi bakaq bendera tu, org UMNO ka atau pun org PAS sendiri yg nak bagi naik semangat org-org PAS. Dalam politik ini, macam macam boleh jadi; tapi apa-apa hal pun melihat bendera PAS kena bakar dan melihat kain rentang PAS kena sembur dengan cat merah, sikit sebanyak sebagai penyokong PAS, kita rasa marah lah jugak, tapi takat rasa marah saja lah. Rasa marah tak akan membantu PAS menambah undi, dan bertindak ganas melawan provokosi juga tidak akan dapat membantu menawan hati pengundi.
Adalah dirasakan, PAS kalah besar hari tu sebab utamanya ialah kerana kegagalan mereka yg diamanahkan untuk mengepalai jentera PAS ini untuk mengatur strategi. Boleh nampak moral dan semangat petugas PAS macam dah merudum dah belum pun tiba hari mengundi. Sebijik macam team Bola Malaysia masuk sukan SEA (tahun bila entah hari tu, tak ingat dah); belum masuk lagi pun, keluar dalam suratkhabar depa kata depa target nak dapat gangsa saja.
Kalau nak dapat GANGSA - baik tak payah masuk!
Macam tu juga dengan PAS di Bagan Pinang, seseorang perlu bertanggungjawab.
PAS bukan kalah sikit, tapi kalah teruk sangat - sampaikan nak guna faktor undi POS pun tak boleh pakai dah. Ya lah, kalau semua hat undi POS tu sokong PAS pun, PAS masih lagi kalah dalam 1300 undi.
Bottom Line, PAS kalah teruk!
Kalau sesuatu tidak dilakukan, tempat lain saya tak tau, tapi kat Kedah ini rasanya siapa-siapa yg sekarang ini full time jadi ahli Majlis ka kerja dengan kerajaan PAS Kedah ka, mai PRU13 ini, baiklah siapkan payung sebelum hujan - dok nampak hujan macam dah nak mai Kedah dah ni!!
Wallah hu aklam,
http://www.mindapolitikmoniermatdin.blogspot.com
12.10.09
Perbicaraan Rasuah.....

IPOH, 14 Okt: Mahkamah Sesyen Ipoh diberitahu, Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang meminta seorang agen sebanyak RM100,000 untuk membantu meluluskan projek bernilai RMN180,000 di Seri Iskandar.
Agen provokasi dari Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM), Mohamad Imran Abdullah telah menceritakan hal ini dalam perbicaraan kes rasuah terhadap enam orang termasuk dua Adun PKR yang melompat menjadi Adun bebas.
Beliau memberikan keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas ahli majlis Perak Tengah, Zul Hassan, ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail and jurutektik dari Lembaga Pembanguna Perak, Ruslan Sahat.
Mereka didakwa bersama bekas Exco, Mohd Osman Mohd Jailu, 57, Jamaluddin Mohd Radzi, 52 dan bekas ahli Majlis Perak Tengah Usaili Alias, 56.
Tuduhan ke atas Ruslan telah digugurkan kerana telah meninggal dunia.
Selepas didakwa, Osman dan Jamaludin kemudiannya telah meninggalkan PKR dan menjadi Adun Bebas yang pro-Umno. Ekoran itu, kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah jatuh.
Menurut cerita Imran, beliau mulanya bersama seorang pegawai BPR yang berlakun sebagai teman wanitanya telah membawa bersama mereka tiga wanita warganegara Cina, satu kotak Carlsberg dan meninggal RM2,000 wang untuk mereka bertiga di sebuah hotel dekat Batu Feringi.
(Gambar:Jamaludin dan Osman di Mahkamah Sesyen semalam)
Selepas beberapa hari kemudian, Imran menemui Osman Jailu dan Usaili Alias di sebuah coffe house di Bukit Mertajam untuk menyerahkan wang bernilai RM5,000 kepada Osman.
Imran berkata, Osman tidak menerimanya tetapi memberikan isyarat agar ia diserahkan kepada Usaili.
Selepas menyerahkan wang itu, Imran berharap projeknya diluluskan segera, namun Usaili meminta lebih banyak wang untuk meluluskannya iaitu antara RM30,000 hingga RM50,000.
"Saya bertanya, mereka yakin ke hendak RM30,000 ke RM50,000 sahaja kerana projek itu bernilai RM180 juta.
"Mohd Osman kemudiannya berkata, "RM100,000".
Pada 19 Ogos datanglah hari mereka mereka nantikan itu. Ia berlaku di sebuah restoran di Bukit Mertajam.
Imran telah meletakkan sebuah beg tangan yang mengandungi wang tunai RM100,000 di atas meja.
"Saya bukakan beg itu dan tunjukkan Mohd Osman wang itu. Dia melihatnya dan mengarahkan saya untuk serahkannya kepada Usaili," beritahu Imran.
Usaili kemudiannya menarik beg itu ke arahnya.
Imran kemudian memohon diri untuk pergi dan serentak dengan itulah juga pegawai BPR masuk dan menangkap mereka.
Perbicaraan bersambung _
Sunday, October 11, 2009
Jamuan Aidilfitri Rumah Anak Anak Yatim Bait Al -Amin Parit
Sebentar tadi berlangsung Jamuan Aidilfitri Rumah Anak Anak Yatim Bait Al -Amin di Parit.Majlis bermula jam 2.30 ptg dan berakhir jam 6.00 ptg dengan hadirin yang bertali arus mengunjungi majlis yang di usahakan oleh Bait Al- Amin yang di pengerusikan oleh En. Rozelan Bin Zamzuri.
Majlis meraikan anak-anak yatim yang bukan sahaja dari kawasan sekitar malah dari pelusuk negara berjalan dengan suasan harmoni dan mengeratkan hubungan sillarturrahim pihak pentadbiran dengan masyarakat setempat.
Pihak TBO merakamkan jutaan terima kasih di atas jemputan En. Rozelan ke majlis tersebut.Semoga acara sebegini diteruskan di masa hadapan.Mengenali sifat Pengerusi Bait Al -Amin dari zaman persekolahan lagi saya percaya beliau mampu meneruskan koje cemerlangnya mengemudi Bait Al-Amin dengan lebih mantap lagi.
Rumah Anak Anak Yatim Parit Bait Al - Amin amat memerlukan sumbangan kita.Sila layari http://bait-alamin.blogspot.com/ atau http://www.bait-alamin.com untuk maklumat lanjut.
Subscribe to:
Posts (Atom)