2.30pm: Polis mengiring keluar Anwar dari bilik
mahkamah tetapi pergerakannya tersekat-sekat akibat kumpulan penyokong
yang berebut-rebut memeluk beliau sebelum dibawa ke penjara.
Anwar mohon beliau ditahan di penjara Sungai Buloh, tempat beliau
dipenjarakan selama lima tahun sebelum dibebaskan pada penghujung 2004.
2.10pm: Suasana tegang menyelubungi perkarangan Istana Kehakiman. Penyokong Anwar melaungkan slogan-slogan mengecam keputusan itu.
Loceng pasukan pencegah rusuhan dibunyikan dan anggota pasukan itu dalam
keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.Sementara itu, Anwar
masih berada di mahkamah bersama peguam utamanya Gopal Sri Ram.
2pm: Hakim beredar daripada mahkamah. Laungan "reformasi" dan "Allahuakhbar" gamatkan dewan mahkamah. Anwar memeluk penyokongnya.
1.57pm: Hakim berkata mahkamah mengekalkan hukuman penjara lima tahun seperti dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
1.38pm: Lima hakim yang mendengar rayuan itu
meninggalkan tempat duduk mereka sewaktu Anwar membangkitkan konspirasi
politik, termasuk mendakwa mereka "tunduk pada tuan politik" mereka.
"Yang arif boleh mengharumkan nama (dalam keputusan ini). Tetapi yang
arif tetap memilih menyebelahi kegelapan," tambahnya, mendorong hakim
mendesaknya agar berhenti.
Apabila Anwar enggan, semua hakim itu meninggalkan tempat duduk mereka.
1.35pm Pasukan antirusuhan FRU bersedia di kawasan perkarangan Istana Kehakiman.
PUTRAJAYA
10 FEB: Mahkamah Persekutuan yang dikawal sepenuhnya Kerajaan Umno
Barisan Nasional (BN) hari ini menjatuhkan hukuman bersalah ke atas
Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat
bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.
Keputusan itu diumumkan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang
mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan
Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri
Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Hukuman akan diputuskan nanti apabila mahkamah kembali bersidang selepas rehat.
Anwar diberi peluang merayu untuk hukuman lebih ringan.
Pihak pendakwaan sebelum ini mengemukakan rayuan balas meminta agar hukuman terhadap Anwar ditambah.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat Mohd Saiful, 30,
di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit
Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Tuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaaan itu
membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Jika hukuman penjara itu dikekalkan, Anwar akan hilang kelayakan sebagai
Ahli Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan
Persekutuan bahawa seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan
sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau didenda
lebih RM2,000.

Semua mata tertumpu kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.
Seluruh dunia berdebar-debar sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim akan melangkah keluar sebagai manusia bebas atau kembali
merengkok dalam penjara.
Keputusan hari ini amat dinanti-nantikan kerana bakal memberi kesan besar kepada perjalanan politik Malaysia.
LANGSUNG
12.10pm: Peguam Sri Ram, yang mewakili Anwar, bangun minta penangguhan selama sejam untuk mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya.
Mahkamah ditangguh sementara menunggu hukuman.
12.07pm: Hakim berkata terdapat bukti kukuh bahawa Saiful diliwat. Rayuan terhadap sabitan itu ditolak.
11.55am: Hakim berkata Anwar tidak mempertikaikan
bahawa beliau berada di kondominium tempat kejadian didakwa berlaku dan
dia juga tidak mempertikaikan keberadaan Saiful di situ.
Hakim juga berkata "tiada merit" bagi dakwaan terdapat konspirasi politik dalam kes itu.
“Penafian semata-mata daripada Anwar tidak boleh diterima. (Dakwaan) konspirasi politik kekal tidak berasas,” katanya.
11.52am: Hakim sentuh dakwaan bahawa Saiful bertemu Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri, dan pegawai khasnya Khairul Anas.
11.50am: Hakim sentuh tentang saksi pembelaan lain.
Ini termasuk keterangan bekas pembantu Anwar yang lain, Najwan Halimi,
yang terkejut mendapati Saiful, seorang penyokong BN, berkhidmat untuk
ketua pembangkang.
11.45am: Ketika penghakiman dibacakan, di ruang maya ramai mula berspekulasi bahawa Anwar mungkin bersalah.
“Menuju ke arah pensabitan kes,” tulis ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya
di Twitter.
11.43am: Hakim menyentuh soal alibi Anwar.
“Anwar mendakwa sampel itu diganggu dan menyalahkan media kerana membuat kenyataan prejudis.
“Dia juga mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Saiful seorang saksi boleh dipercayai,” katanya.
Hakim ulang dakwaan konspirasi yang dibuat Anwar.
11.40am: Hakim berkata tiada ruang boleh berlaku kesalahan (
inferiorly fallible) dalam keterangan ahli kimia.
11.31am: Lebih sejam Hakim Arifin membacakan penghakiman kes liwat Anwar. Seorang anak Anwar kelihatan menitiskan air mata.
11.27am: Anwar memandang kepada isterinya, presiden
PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Dua anggota polis berdiri kiri dan kanan
kandang tertuduh tempat Anwar duduk.
11.25am: Hakim memutuskan bahawa tiada gangguan pada
penjagaan sampel dan berkata pegawai penyiasat Jude Periera berhati-hati
mengendalikannya.
Oleh itu beliau memutuskan sampel DNA Anwar tidak tercemar.
11.08am: Hakim memutuskan bahawa barang-barang daripada lokap diperoleh secara sah dan menggelarkannya sebagai “bukti bebas”.
“Kami (panel) berpandangan bahawa tidak perlu menjalankan perbicaraan
dalam perbicaraan (berhubung kebolehterimaan bukti daripada sel),”
katanya.
11.05am: Bagi bahan bukti yang diperolehi dari
lokap, ketua hakim menyimpulkan Anwar memang menggunakan barang-barang
tersebut kerana sel itu sebelumnya kosong.
11.03am: Hakim menyentuh pula keterangan ahli kimia Dr
Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon serta bagaimana hakim perbicaraan
mempunyai cukup bukti yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.
Katanya, kes
prima facie berjaya dibuktikan dan Mahkamah Rayuan bersetuju dengannya.
“Saiful tidak bersekongkol dan tiada cukup bukti saling mengukuhkan untuk menyokong keterangan itu,” katanya.
11am: Hakim berkata dalam Akta Keterangan,
pentahkikan tidak diperlukan. (Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan
bahawa keterangan ahli kimia tidak mentahkikkan keterangan Saiful).
Hakim berkata keterangan pengadu boleh dipercayai tanpa pentahkikan.
10.50am: Hakim Arifin membangkitkan keterangan mengenai
pakaian berjenama Brioni. Bagi permaidani yang dirampas, beliau berkata
ia bukanlah bukti yang sangat penting.
10.46am: Berkaitan keterangan terperinci Saiful, hakim
berkata pengadu berpegang teguh kepada keterangannya walaupun selepas
disoal balas mendalam. Ekoran itu, kata hakim, Mahkamah Rayuan
memutuskan keterangannya diterima.
10.45am: Hakim membacakan pembelaan Anwar yang
mempersoal tindakan Saiful membawa pelincir KY Jelly dan dakwaan doktor
Pusrawi bahawa objek plastik menembusi duburnya.
Hakim berkata Saiful mendakwa berlaku hubungan seks dan pasukan pembelaan membangkitkan kenapa dia tidak lari.